Carian
Dengan Mercedes-Maybach Concept EQS Kereta Elektrik Tidak Perlu Lagi Kelihatan Bosan
September 7, 2021 Effi Saharudin

Majoriti kereta elektrik yang dilancarkan sekarang dijual pada harga yang mahal berbanding kereta biasa walaupun menyasarkan golongan berkeluarga. Satu segmen yang masih belum ditawarkan secara meluas ialah kereta elektrik mewah untuk golongan yang benar-benar berada. Mercedes-Maybach Concept EQS yang diperlihatkan semalam cuba menawarkan rekaan premium pada kenderaan yang lebih lestari kepada alam sekitar.

Mercedes-Maybach Concept EQS dilengkapi gril hadapan besar yang klasik pada kesemua kenderaan Maybach sebelum ini. Perbezaannya gril hanya sekadar sebuah panel rata yang dicat untuk kelihatan seperti mempunyai kekisi kerana kereta elektrik tidak memerlukan sebuah radiator di hadapan. Kenderaan diberikan cat dua warna Maybach iaitu Obsidian Black Metallic dan Zircon Red Metallic.

 Di dalam kokpit skrin gergasi MBUX Hyperscreen digunakan seperti pada Mercedes EQS. Skirn gergasi 55″ menjadi pusat kawalan infohibur, navigasi dan memaparkan sistem kenderaan yang lain. Setiap penumpang mempunyai kerusi peribadi lengkap dengan skrin infohibur 12.3″ OLED. Kemasan dalaman kenderaan adalah mewah lengkap dengan lampu LED yang memberikan mod ketenangan.

Walaupun ia masih sekadar kenderaan konsep, Mercedes berkata kenderaan sebenar akan ditawarkan seawal 2022 dengan rekaan yang hampir sama. Tiada maklumat mengenai kapasiti bateri atau kuasa motor elektrik yang digunakan tetapi pengeluar menyasarkan jarak operasi sehingga 600 kilometer dengan sekali caj.

Komen