Cari @ Amanz

Twitter sungguh rajin mengemaskini ciri baharu sejak akhir-akhir sehingga ia berlaku hampir seminggu sekali. Hari ini mereka mengesahkan pula ujian paparan lebih lebar pada aplikasi iOS. Menerusi ciri ini, gambar yang dikongsi akan menggunakan keseluruhan lebar skrin dan bukan dengan ruang kosong pada sisi kiri.

Ujian diberikan pada sebilangan kecil pengguna iOS hari ini. Video, gambar dan GIF beranimasi akan dipaparkan dengan lebih besar. Ia mirip apa yang berlaku jika ciapan yang dihantar ditekan untuk melihatnya secara satu persatu. Kerana ini hanya sekadar ujian, tidak diketahui sama ada ia akan diberikan kepada semua pengguna termasuk Android dalam masa terdekat. Ciri ciapan audio misalnya masih belum disokong di Android walaupun telah diberikan pada aplikasi iOS sejak Jun 2020.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd