Untuk memandu dengan lebih selamat sambil menggunakan peranti untuk melihat peta, peranti haruslah di letak atau dipasangkan pada aksesori khas. Namun, ia masih akan mengganggu konsentrasi pemandu kerana mata tidak memandang terus ke hadapan.
Huawei memperkenalkan jalan penyelesaian pada Petal Maps dengan menyertakan sokongan mod navigasi Head Up Display (HUD). Terkini, Huawei dilihat mengambil konsep HUD ini dengan serius melalui gabungan teknologi realiti terimbuh dengan memperkenalkan Huawei AR-HUD pula.

Ia adalah paparan Head Up Display yang boleh dipantulkan pada cermin hadapan kereta, untuk digunakan pada kereta pintar. Huawei turut menggelar konsep produk ini sebagai “paparan pintar” pertama untuk inforia pada sesebuah kenderaan. Produk ini adalah sejenis aksesori yang boleh menjadi pengganti kepada inforia sedia ada.

Seperti inforia biasa, “skrin” ini akan memaparkan pelbagai maklumat kenderaan, peta untuk arahan selok-belok, bantuan memandu dengan selamat, pengoptimasian pada waktu malam atau kabus, dan juga hiburan video dan audio. Ia menyokong sehingga 13 darjah x 5 darjah sudut pandangan dan boleh mencapai sehingga 70-inci saiz paparan untuk pengalaman lebih imersif.


Kualiti paparan adalah FHD dan mempunyai teknologi anti-ghosting agar pemandu tidak pening kepala sambil melihat skrin ini ketika memandu. Ketika parkir, mengisi minyak atau semasa kenderaan berhenti skrin boleh digunakan untuk menstrim video, bermain permainan seakan yang ditawarkan oleh Tesla. Malah, Huawei turut mendakwa akan menyertakan sokongan untuk pemandu-bersama.

Huawei tidak mendedahkan sama ada bilakah teknologi ini akan digunakan pada kereta pintar. Sama-sama kita nantikan teknologi seakan HUD dalam helmet Iron Man.