Cari @ Amanz

Apple iPhone 13 akan dilancarkan kurang seminggu sahaja lagi pad 15 September waktu Malaysia. Pelbagai ura-ura mula didengari mengenai model tahun ini seperti bateri lebih besar, kamera lebih baik dan takuk yang semakin mengecil. Tetapi bagi mereka yang membenci takuk pada skrin, iPhone 14 mungkin model yang perlu anda nantikan.

Menurut Jon Prosser dan Front Page Tech, iPhone 14 akan menjadi telefon pintar pertama Apple dengan Face ID tetapi skrin tanpa takuk. Sensor sistem Face ID akan diletakkan di bawah skrin dan peranti akan hanya mempunyai satu lubang sahaja untuk kamera swafoto. Laporan Jon Prosser ini disokong juga oleh Ross Roung, penganalisa yang sebelum ini meramal dengan tepat teknologi skrin yang bakal digunakan Apple dan Samsung.

Menurut beliau iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max bukan sahaja nirtakuk dengan Face ID bawah skrin tetapi akan kembali menggunakan TouchID dengan pengimbas bawak skrin. Ini adalah strategi yang sama semasa iPhone X dilancarkan sebelum ini dengan pengenalan Face ID tidak diberikan pada iPhone 8 pada tahun tersebut.

Jon Prosser turut mendakwa rekaan butang laras audio akan kembali kepada dua butang bulat seperti iPhone 4. Rekaan klasik dihidupkan semula bagi peminat nostalgia. Selain itu bonggol kamera yang tinggi juga berjaya dipupuskan sama seperti iPhone 4. Ini mungkin dilakukan dengan menebalkan kembali tubuh dan sekaligus membesarkan saiz bateri.

Satu perkara yang masih mengecewakan ialah penggunaan port Lighthing. Apple masih belum bersedia untuk mengunakan USB-C walaupun Kesatuan Eropah misalnya sudah bersedia untuk menyeragamkan penggunanya pada kesemua peranti elektronik di kalangan negara ahli.

Buat masa ini, ia boleh dikategorikan sebagai desas-desus awal, memandangkan iPhone 14 masih mempunyai tempoh setahun lagi untuk diperkenalkan, disamping mungkin mengalami pelbagai perubahan sebelum model akhir diperkenalkan secara rasminya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd