Cari @ Amanz

Ray-Ban ialah syarikat yang menghasilkan cermin mata dengan rekan ikonik kerana digunakan oleh bintang filem serta dalam filem popular seperti Top Gun dan The Talented Mr Ripley. Facebook pula ialah syarikat yang memegang tiga platform media sosial utama dunia. Apabila Facebook dan Ray-Ban mengumumkan kerjasama untuk menghasilkan cermin mata pintar, ramai termasuk saya amat teruja.

Hari ini rekaan empat cermin mata pintar Facebook ditiriskan oleh @evleaks dan jelas menggunakan empat rekaan bingkai klasik Ray-Ban. Antara bingkai yang digunakan ialah Wayfarer, Round dan Meteor – tiga rekaan yang cukup popular di kalangan peminat cermin mata hitam. Perbezaannya dengan cermin mata biasa ialah dua kamera di hadapan yang digunakan untuk merakam gambar dan video. Kerana ia masih lagi bingkai biasa, pengguna rabun boleh menukar lensa dengan lensa berkuasa sendiri.

Dengan kaca mata ini pengguna bukan sahaja boleh menstrim tetapi melakukan rakaman tanpa perlu memegang kamera dalam tangan. Panggilan telefon juga boleh dijawab kerana terdapat mikrofon dan speaker terbina pada tangkai. Facebook Ray-Ban telah mengesahkan acara yang akan berlangsung pagi esok. Dengan Snap Glasses gagal mendapat sambutan, adakah kerjasama dua gergasi ini akan berjaya? Hanya masa akan menentukan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd