MediaTek Kompanio 900T Dilancarkan – Cip Pemprosesan Khusus Untuk Tablet Dan Chromebook Kelas Pertengahan

Diterbitkan pada Sep 10, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Dua bulan lalu, MediaTek mula melancarkan cip pemprosesan Kompanio 1300T khusus untuk tablet dan Chromebook bertarah peranti mercu. Ia adalah cip Dimensity 1200 yang diubahsuai menjadi lebih baik dan dioptimasikan untuk digunakan pada komputer riba dan tablet serta dibina berasaskan rekaan 6nm.

Terbaru daripada mereka adalah MediaTek Kompanio 900T yang juga berasaskan 6nm daripada TSMC. Kali ini ia memfokuskan kepada tablet dan Chromebook kelas pertengahan, yang mampu menawarkan prestasi tinggi dengan penggunaan kuasa yang rendah. Cip ini dilihat hanyalah Dimensity 900/920 yang diubahsuai.

Ia adalah cip lapan-teras 2x Cortex-A78 dan 6x Cortex-A55, menggunakan GPU Mali-G68 MC4 dan turut mempunyai APU tersendiri. Cip ini menyokong memori LPDDR5 dan LPDDR4X berserta storan dalaman sehingga UFS 3.1. Kompanio 900T turut menyokong modem 5G SA dan NSA sub-6GHz dengan teknologi UltraSave yang menggunakan 50% kurang kuasa daripada biasa selain menyokong rangkaian WiFi 6 2×2 MIMO bersama-sama dengan Bluetooth 5.2.

Cip ini turut menyokong paparan 2K 2000×1200 dengan kadar segar semula mencapai 120Hz, boleh mengubah video SDR kepada kualiti menghampiri HDR dan turut boleh mengoptimasikan kandungan HDR10+ menjadi lebih baik. Pada kamera, ia menyokong pelbagai sensor 20MP maksima atau satu sensor 108MP pada satu masa yang boleh merakam video 4K jika pengeluar ingin sertakan kamera berkuasa pada sesebuah tablet atau Chromebook.

Cip ini akan tiba dalam masa terdekat, sama-sama kita nantikan produk apa yang bakal dilancarkan bersama produk ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami