Nampaknya OnePlus sudah semakin aktif dalam industri audio, selepas hadir dengan semakin banyak set fon telinga nirwayar sebenar (TWS) seperti pesaing mereka. Jika dulu mereka aktif dengan set fon telinga berwayar dan jenis neckband, kini mereka sedari TWS adalah aksesori audio yang diingini ramai.
Selepas hadir dengan OnePlus Buds Z, pada sekitar hujung tahun lalu. OnePlus dilihat sudah bersedia hadir dengan penggantinya OnePlus Buds Z2.

Baru-baru ini, pihak 91Mobiles bersama dengan OnLeaks telah mendedahkan rekaan TWS baharu daripada OnePlus ini. Ia dilihat masih menggunakan rekaan lebih kurang sama, iaitu seakan AirPods tetapi dengan panel belakang rata serta tangkai berbentuk silinder.
OnePlud Buds Z2 ini dilihat hadir dengan putik telinga yang lebih kecil, mungkin untuk keselesaan pengguna untuk penggunaan jangka masa panjang, serta juga didakwa hadir dengan sensor mengesan-pemakai untuk fungsi auto-jeda yang tiada ada Buds Z. Ia juga masih kekal dengan port pengecasan USB-C dan turut mempunyai lampu LED berwarna hijau untuk pemberitahuan status bateri dan tambatan.

Spesifikasi lain masih menjadi misteri. OnePlus dijangka akan memperkenalkan OnePlud Buds Z2 ini semasa pelancaran OnePlus 9RT bulan Oktober kelak. Sama-sama kita nantikan.