Cari @ Amanz

Ketua pegawai eksekutif Xiaomi, Lei Jun pagi ini berkongsi imej Xiaomi Smart Glasses yang agak menarik menerusi akaun Twitter beliau. Peranti konsep ini menurut beliau menggunakan teknologi skrin mikro LED untuk memaparkan informasi terus pada bahagian cermin kaca mata pintar ini. Terdapat sistem paparan imej terbina pada cermin mata sebelah kanan.

Tidak ada maklumat lain dikongsi oleh beliau setakat ini. Tetapi pengumuman dilakukan beberapa hari selepas Facebook Ray-Ban Stories dilancarkan. Perbezaan paling ketara ialah teknologi paparan terus pada kaca mata Xiaomi tidak wujud pada kaca mata pintar keluaran Facebook.

Dalam video yang dikongsi ke YoTube pula, Smart Glasses diperlihatkan menyokong panggilan suara, memaparkan navigasi, menayangkan mesej yang diterima dan boleh menangkap gambar dengan kamera pada mata kiri. Arahan suara juga boleh dilakukan bagi mengarahkan Smart Glasses melakukan alih bahasa dari menu yang tidak difahami oleh pemakai. Untuk mengambil gambar pula, pengguna hanya perlu melakukan dwi-tap pada bahagian bingkai.

Kaca mata pintar pernah diramalkan menjadi peranti hangat di pasaran selepas Google Glassses dilancarkan. Tetapi pembangunan dihentikan selepas tiada keperluan yang praktikal berjaya dicipta. Dengan Facebook, Xiaomi dan kelak Apple akan melancarkan kaca mata pintar mereka mungkin era peranti boleh-pakai akan berlaku sekali lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd