Realme ini hadir dengan buah tangan buat penggunan di India. Melaluinya, mereka telah memperkenalkan Realme C25Y yang dilengkapi cip Unisoc T610. Ini adalah cip yang sama boleh ditemui pada Realme C21Y sebelum ini. Rekaan fizikalnya turut sama jelas diinspirasikan daripada Realme C21Y, C25 dan C25s. Namun begitu, ia mengetengahkan kepelbagaian dalam ciri dan fungsinya. Antaranya seperti sensor lebih baik untuk kamera utamanya.

Untuk spesifikasi khusus, Realme C25Y didatangkan dengan paparan skrin bersaiz 6.5-inci LCD beresolusi HD+ (1600 x 720 piksel). Melengkapinya adalah GPU ARM Mali-G52, memori 4GB (LPDDR4X) dan storan dalaman 128GB. Bateri yang disertakan pula adalah 5000mAh yang menyokong pengecasan 18W.

Bercakap mengenai fotografi pula, ia menggunakan sistem tri-kamera di belakang dengan tetapan 50-Megapixel (utama) + 2-Megapixel (B&W) + 2-Megapixel (makro). Seterusnya, kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel. Lain-lain spesifikasi termasuklah – port sambungan microUSB, bicu audio 3.5mm, Android 11 dan sebagainya. Untuk harga, Realme C25Y dijual pada INR 11,999 (~RM681).