Cari @ Amanz

Shopee kini telah pun melancarkan ujian rintis untuk ShopeeFood bagi kawasan Lembah Klang, sekaligus membolehkan pengguna di Lembah Klang melakukan tempahan makanan menggunakan aplikasi Shopee.

Ciri ini sedang diaktifkan secara berperingkat kepada semua pengguna sekitar Lembah Klang, dan dijangka diaktifkan sepenuhnya untuk semua pengguna Lembah Klang pada bulan September ini – seperti jangkaan awal.

ShopeeFood dilihat sedia menyenaraikan sejumlah kedai makan popular di Lembah Klang, bukan sahaja kedai makan dan restoran biasa, tetapi termasuk jenama seperti Kenny Rogers Roasters, Tealive, Boost, dan juga Marrybrown.

ShopeeFood beroperasi antara 10 pagi ke 10 malam, dan bersempena pengenalan ini, Shopee turut menyediakan beberapa kupon melalui laman ShopeeFood untuk ditebus pengguna, dan lebih berjimat lagi.

Melalui laman FAQ, Shopee turut mengatakan ShopeeFood turut mengenakan caj perkhidmatan tambahan untuk tempahan makanan melalui platform mereka. Caj ini berbeza mengikut penjual, dan Shopee mengatakan ia dikenakan bagi memastikan pengalaman dan kualiti perkhidmatan terbaik ditawarkan mereka.

Bagi anda yang berminat dan berada di Lembah Klang, boleh menyemak aplikasi Shopee anda untuk ikon Shopee Food hari ini, dan menebus sejumlah kupon untuk digunakan bagi pembelian melalui Shopee Food ini. Jika segalanya berjalan lancar, tidak mustahil kita melihat ShopeeFood diperluaskan ke lokasi lain dalam bulan-bulan akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd