Beberapa hari lalu kami ada melaporkan bahawa kolaborasi perabot gaming IKEA dan ASUS ROG akan hadir untuk pasaran global tidak lama lagi. Hari ini, kami ada menerima maklumat bahawa perabot kolaborasi tersebut akan ditawarkan melalui IKEA Malaysia secara rasmi tidak lama lagi.
Sumber kami memberitahu bahawa kolaborasi IKEA dan ASUS ROG tersebut akan ditawarkan di pasaran tempatan melalui kesemua pasaraya IKEA di Malaysia, termasuklah di IKEA Damansara, IKEA Cheras, IKEA Batu Kawan dan juga IKEA Tebrau.
ASUS Malaysia dan IKEA dijangka akan membuat pengumuman rasmi mengenai pengenalan kolaborasi ini tidak lama lagi, tetapi ia dijangka bahawa perabot-perabot gaming ini akan tiba di pasaran tempatan sekitar minggu pertama atau minggu kedua bulan November ini.
Jenis-jenis perabot yang akan ditawarkan juga tidak diketahui buat masa ini, tetapi kami menjangkakan IKEA Malaysia akan sekurang-kurangnya membawa masuk produk seperti kerusi, meja, rak dan lampu gaming mereka. Secara global, Ikea menawarkan lebih 30 produk dalam kolaborasi ini, termasuklah produk dalam siri UPPSPEL, LANESPELARE, MATCHSPEL, GRUPPSPEL, UTESPELARE dan HUVUDSPELARE.