Carian
Surface Duo 2 Mempunyai Skrin Notifikasi Sisi Apabila Ditutup
September 23, 2021 Effi Saharudin

Surface Duo 2 ialah percubaan kedua Microsoft untuk melancarkan sebuah telefon dengan skrin boleh lipat. Percubaan tahun lalu gagal kerana perisian tidak sempurna, kamera yang lemah, dan pemproses yang lewat satu generasi. Tahun ini Microsoft menggandakan usaha dan mendengar maklum balas bagi memperbaiki kesilapan Surface Duo.

Antara ciri menarik yang diperkenalkan tahun ini ialah skrin notifikasi yang dapat dilihat apabila peranti di dalam kedudukan tertutup. Salah satu skrin dalaman Duo 2 melengkung pada bahagian sisi membolehkan ia masih dilihat apabila ditutup. Oleh itu notifikasi yang diterima seperti emel, Teams, tahap kekuatan audio, telefon berdering dan tahap pengecasan bateri boleh dipaparkan dengan lebih mudah. Ciri ini mengingatkan kami kepada sistem notifkasi pada Samsung Galaxy Note Edge.

Sekiranya anda ingat pada Surface Duo asal pengguna perlu membuka skrin setiap kali deringan notifikasi diterima dan ini adalah amat tidak mesra pengguna. Dengan pelbagai penambahbaikan tahun ini Microsoft berharap pengguna akan membeli peranti yang harganya mencecah $1800 (RM7540) sebuah.

Komen