Seperti yang kita sedia maklum, sebelum ini Honor sedia hadir dengan penawaran Honor Tab V7 Pro. Ia merupakan sebuah tablet yang dilengkapi cip MediaTek Kompanio 1300T, skrin dengan kadar segar semula 120Hz dan sistem penyejukan 7 lapisan untuk aliran haba yang baik.

Dalam perkembangan terkini, Honor dalam perancangan untuk memperkenalkan variasi baru pula dikenali sebagai Honor Tablet V7. Poster pelancaran rasmi jelas menunjukkan bahawa Honor Tablet V7 akan mempunyai paparan yang hampir sama seperti versi Pro. Namun, sedikit berbeza dari aspek binaan tubuhnya. Di mana, Honor tablet V7 dilihat bakal mempunyai reka bentuk lengkung bulat di sisi dan bukannya rata seperti yang terdapat pada versi pro. Buat masa ini, tiada butiran lanjut mengenai spesifikasi pada peranti yang didedahkan.

Tablet ini akan diperkenalkan dalam acara Honor Smart Life yang bakal berlangsung pada 26 September ini. Bersama-sama dengannya, Honor dijangka turut sama hadir dengan beberapa lagi produk elektronik lain seperti komputer riba, jam tangan dan sebagainya.
Sumber : Weibo, MyFixGuide