Xiaomi Pad 5 ialah tablet yang saya dapat lihat ramai yang teruja semasa ia dilancarkan dalam acara global dan juga pelancarannya di Malaysia minggu lalu. Saya yakin keterujaan ini berlaku kerana ia tablet pertama dilancarkan Xiaomi untuk jangka masa yang lama, rekaan yang amatlah cantik serta spesifikasi yang amat memberangsangkan.

Keteruajaan ini dibantu dengan peranti yang dijual pada harga yang tidak merabakkan poket pengguna yang memang sudah sinonim dengan Xiaomi sejak dari awal pengenalan mereka ke dunia peranti pintar lagi. Jadi adakah ini tablet Android pilihan untuk 2021 ataupun pilihan lalai masih lagi sebuah iPad? Ini ulasan ringkas Amanz untuk Xiaomi Pad 5.
Spesifikasi Dan Rekaan
Xiaomi Pad 5 | |
---|---|
Skrin | 11″ IPS LCD 1600 x 2560, 120Hz, Dolby Vision |
Pemproses | Snapdragon 860 (7nm) |
Cip | 1 X 2.96 GHz Kryo 485 Prime 3 X 2.42 GHz Kryo 485 Gold 4 X 1.78 GHz Kryo 485 Silver |
Cip Grafik | Adreno 640 |
RAM | 6GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 13 Megapixel f/2.0 |
Kamera Swafoto | 8 Megapixel f/2.0 |
Bateri | 8720 mAh Pengecasan berwayar 33W |
SIM/Telefoni | Tiada |
NFC | Tiada |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Wajah |
Harga Jualan | RM 1399/1599 |
Skrin
Perkara pertama yang menarik perhatian ialah ‘muka’ Pad 5 yang sebesar 11″ IPS LCD QHD yang cukup mewah. Mewah kerana ia menyokong kadar segar semula 120Hz yang tinggi bersama dengan format HDR Dolby Vision yang jarang disokong pada peranti Android. Selama ini hanya LG sahaja yang saya sedari menyokong Dolby Vision dengan format HDR10+ kini lebih popular kerana penggunaannya tidak memerlukan pembayaran royalti.

Skrin walaupun dari keluarga LCD masih lagi terang dengan paparan warna yang cantik. Antara panel LCD yang tidak mengecewakan untuk digunakan menonton kandungan video. Dalam ujian sempat saya lakukan kandungan Dolby Vision boleh distrim menerusi Netflix tetapi tidak di Disney+ Hotstar. Mungkin kerana peranti masih belum melepasi piawaian Disney+ HotStar. Apabila profil Dolby Vision tidak disokong, peranti boleh menyokong HDR10+ yang turut disertakan sekali oleh Xiaomi.
Harus diakui bezel skrin adalah sedikit tebal jika dibandingkan dengan Huawei MatePad Pro yang pernah saya ulas sebelum ini. Tetapi tidaklah terlalu melampau kerana mirip dengan rekaan skrin iPad Mini, iPad Pro dan Galaxy Tab S7. Saya merasakan bezel lebih tebal adalah perlu pada tablet bagi mengelakkan tersentuh skrin ketika menggunakan peranti.

Keluarga IPS LCD mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Kelebihan ialah kos lebih rendah membolehkan Pad 5 dijual pada harga yang boleh dikatakan tak masuk akal murah. Kekurangan ialah walaupun pada tetapan 120Hz ada ghosting yang ketara semasa menatal dengan laju. Sebagai pengguna skrin SAMOLED 120Hz sejak dua tahun yang lalu, kekurangan ini ketara di mata saya. Satu lagi kekurangan ialah di bawah cahaya matahari yang terik memang sukar sedikit untuk melihat apa yang dipaparkan pada skrin.
Stylus Xiaomi Smart Pen boleh digunakan pada skrin peranti dan turut boleh disimpan menerusi sambungan magnet ke bahagian sisi tubuh. Saya akan membincangkan mengenai prestasi stylus ini dalam segmennya sendiri di bawah.

Jika sekadar digunakan untuk menonton video dan melayari web saya rasakan skrin ini lebih dari memuaskan kerana dua aplikasi ini tidak memerlukan kadar segar semula yang tinggi. Jika hitam yang paling hitam dan paparan gred tertinggi, pada hemat saya skrin Galaxy Tab S7 dan MatePad Pro adalah lebih padu (dengan harga yang juga hinggap dengan padu ke dompet).
Rekaan
Selain ‘muka’, tubuh Pad 5 juga akan menarik perhatian. Dengan sisi yang rata ia terasa tegap di dalam tangan. Bingkai logam terasa dan kelihatan amat premium sehingga mampu memberikan persaingan kepada iPad Pro yang dijual pada harga yang berlipat ganda lebih tinggi. Malah tidak melampau untuk mengatakan Pad 5 ialah klon kepada iPad Pro cuma tanpa Face ID.

Butang kuasa yang besar mempunyai permukaan rata seolah-oleh menyokong pengimbas cap jari. Malang sekali ini adalah tidak benar sama sekali kerana Pad 5 sekadar menyokong sistem imbasan wajah 2D. Tiada ciri tambahan pengimbas cap jari bawah skrin atau sisi. Ini satu langkah penjimatan Xiaomi yang boleh dilihat positif atau negatif bergantung kepada pilihan peribadi. Saya tiada isu dengan tiada sistem imbasan biometri lain kerana memang tidak menggunakannya pada tablet lain di rumah.
Butang laras audio juga tegap di bahagian atas tablet. Empat lubang kekisi speaker diletakkan di bahagian sisi (dua di setiap sisi) yang menyokong audio Dolby Atmos. Pada bahagian bawah juga terdapat port pengecasan USB-C. Walaupun tubuh tablet adalah cukup besar, Xioami tidak menyertakan bicu audio atau pemancar infra merah Pilihan yang agak aneh tetapi dunia memang sudah beralih dari aksesori audio berwayar dan peranti berhubung iOT tidak memerlukan alat kawalan jauh.

Panel belakang diperbuat daripada panel plastik tetapi mempunyai kemasan warna cerun yang warnanya berubah mengikut pantulan cahaya. Memang nampak amat cantik dan seksi. Ia turut mendapat markah bonus kerana tidak memerangkap kotoran dengan mudah.
Yang sedikit kurang seronok ialah bonggol kamera yang walaupun tidak begitu tinggi masih menyebabkan tablet tidak begitu selesa diletakkan di permukaan meja kerja. Malahan risiko lensa tercalar agak tinggi kerana Xiaomi tidak melengkapi kamera dengan lensa pelindung Gorilla Glass DX. Secara keseluruhan rekaan tubuh Pad 5 adalah amat baik, setanding dengan tablet mercu yang lebih premium dan paling penting sekali tidak terasa atau kelihatan murah.
Penggunaan Dan Perisian
MIUI for Pad digunakan pada tablet ini berasaskan Android 11. Ia adalah MIUI 12 yang diubahsuai untuk digunakan pada tablet dengan lebih baik. Antara perubahan yang dilakukan ialah taskbar pada bahagian bawah untuk aplikasi yang paling kerap diakses.
Kita mulakan dahulu dengan perkara positif mengenai MIUI Pad. Terdapat sokongan melancarkan dua aplikasi serentak. Dengan skrin yang besar melancarkan dua aplikasi sekali tidak membuatkan skrin kelihatan semak. Wujud juga ciri untuk melancarkan aplikasi dalam tetingkap kecil bagi mereka yang ingin menggunakannya secara terapung. Xiaomi hanya memberikan sokongan SATU aplikasi terapung pada satu-satu masa.

Antaramuka adalah cantik dengan animasi juga agak molek. Penggunaannya adalah mudah cuma aneh sekali butang tetapan yang biasanya ada pada talam Quick Settings telah dipindahkan ke talam notifikasi. Mengapa ia dilakukan adalah misteri bagi saya. Setelah bertahun menggunakan MIUI tanpa masalah, perubahan yang tak dipinta dan tidak boleh diubah ini sedikit mengecewakan.
Kekecewaan diteruskan lagi dengan aplikasi yang masih tidak dioptimasikan untuk tablet. Ini ialah kesilapan Android yang seperti sudah menyerah kalah kepada iPadOS. Twitter masih lagi versi telefon dengan skrin melebar. Netflix menjadi tingkap kecil apabila kandungan cuba dilihat maklumat mengenainya. Terdapat beberapa lagi aplikasi yang jelas dibangunkan untuk telefon dan bukan untuk tablet. Melihat keadaan ini tidak mengejutkan iPad semakin jauh meninggalkan Android dalam pasaran tablet. Selagi tiada usaha serius dari Android untuk menyokong tablet selagi itulah ia akan berdiri di dalam bayang-bayang iPad.

Adalah lebih menarik jika Xiaomi menambah sendiri ciri yang boleh menjadikan aplikasi lebih mesra tablet. Saya melihat Samsung masih serius kerana pada Z Fold3 misalnya ada sokongan sehingga tiga aplikasi dilancarkan serentak. Aplikasi kemudian boleh digabungkan dan disimpan untuk pelancaran pantas di waktu lain. Skrin dalam tetingkap terapung juga disokong lebih banyak. Samsung Labs pula memaksa aplikasi yang tidak disokong pada Fold untuk menyokong mod unik seperti Flex Mode.
Papan kekunci misalnya hanya memaparkan kekunci maya yang besar memanjang dalam mod landskap. Pilihan yang diberikan hanya kekunci kecil yang terapung yang menyukarkan lagi proses menaip. Tiada mod papan kekunci dibelah dua seperti yang diberikan oleh Samsung atau Apple pada tablet mereka.

Di China, mod PC desktop (yang mirip Samsung DeX) disertakan tetapi tidak pada peranti global. Pengguna boleh melakukan pemasangan sendiri menggunakan APK tetapi aplikasinya masih mempunyai beberapa pepijat. Ada aplikasi seperti YouTube yang tidak boleh digunakan secara skrin penuh. Netflix pula langsung tidak boleh mempamerkan kandungan. Mungkin isu-isu ini menyebabkan mod desktop tidak disertakan dengan ROM Global.
Mod desktop juga nampaknya tak cukup masak tak cukup garam. Saya cuba memancarkan skrin Pad 5 ke televisyen Android TV dan Chromecast with Google TV yang dimiliki tetapi tidak berjaya. Aneh kerana ini ciri yang tiada masalah dilakukan dari peranti Android lain yang diulas sebelum ini. Sambungan USB-C ke HDMI juga tidak dapat dilakukan. Televisyen mengayakan tiada isyarat dapat dikesan. Isu ini juga dilaporkan oleh rakan pengulas lain seperti Nasi Lemak Tech.

Saya ingin memberikan peluang kepada Xiaomi kerana ini percubaan melancarkan tablet yang pertama untuk jangka masa yang lama. Mereka perlu bertatih sebelum boleh berjalan dan kemudiannya memecut seperti Usain Bolt. Tetapi pada waktu ini perisian pada Xiaomi Pad 5 perlu banyak ditambah baik sebelum boleh memberikan persaingan sebenar kepada keluarga Apple iPad.
Secara keseluruhan Xiaomi Pad 5 masih terasa seperti menggunakan sebuah telefon Xiaomi dengan skrin lebih besar. Ada pro dan kontra tersendiri yang akan menguji pengguna bergantung kepada tahap kesabaran mereka.
Penanda Aras
Dalam ujian Geekbench 5, cip Snapdragon 860 yang digunakan peranti mencatatkan 656/2701 markah dan dalam ujian Antutu 3D pula mencatatkan 573,655 markah. Ini ialah markah yang meletakkan Pad 5 sebagai peranti kelas mercu mampu milik yang terbaik di pasaran setakat ini.
Permua 3D seperti COD Mobile boleh dimainkan pada tetapan tinggi dengan kadar bingkai 60 FPS yang stabil. Permua 2D langsung tidak menyebabkan peranti menjadi panas. Dalam ujian Genshin Impact permua boleh dijalankan dengan stabil pada tetapan sederhana. Tetapan tinggi pada waktu ini boleh membuatkan Snapdragon 888 menangis inikan pula Snapdragon 860.

Stylus Xiaomi Smart Pen
Xiaomi Smart Pen ialah jawapan Xiaomi kepada Samsung S Pen dan Apple Pencil. Dari segi rekaan ia stylus yang selesa di dalam tangan keran ia mempunyai dimensi yang sama seperti sebuah pensel sebenar. Mata pena juga mempunyai kemampuan mengesan 4096 tahan tekanan. Dengan sokongan tambatan bluetooth, Smart Pen boleh digunakan sebagai alat kawalan jauh ketika melakukan pembentangan tetapi tidak boleh mengawal kamera seperti pada siri Galaxy Note.

Melakar pada skrin adalah selesa cuma saya sedari terdapat sedikit masa pendam sebelum apa yang dilakar dipaparkan pada skrin. Ia ketara memandangkan saya sudah bertahun menggunakan S Pen dan Apple Pencil. Pengecasan semula Smart Pen dilakukan dengan sambungan magnet. Stylus sebenarnya tidak bersambung dengan kuat pada tubuh tablet. Jadi kami menyarankan sebelum dibawa berjalan, stylus disimpan di tempat lain dahulu untuk mengelakkan ia tercicir.

Kamera
Kamera utama 13MP dipadankan dengan kamera hadapan 8MP. Sangat menyegarkan mengulas peranti yang hanya dilengkapi kamera yang asas kerana kita kini hidup di dalam dunia telefon pintar mempunyai mata yang hampir sama banyak dengan labah-labah.
Tablet bukanlah peranti yang digunakan untuk tujuan fotografi dan oleh itu sensor yang digunakan akan kecil serta tidak hadir dengan gimik melampau. Kualiti gambar yang diambil saya boleh katakan tidak akan melayakkan Xiaomi Pad 5 memenangi sebarang anugerah fotografi tahun 2021. Ia terlalu asas dan prestasinya ala kadar.

Dalam situasi pencahayaan yang baik gambar yang diambil terang tetapi white balance kurang seimbang. Walaupun mod HDR dan AI diaktifkan gambar mempunyai masalah dedahan berlebihan kadang kala dan tiada julat dinamik pula dalam situasi yang sama. Perisian kamera adalah tidak konsisten. Dalam keadaan sedikit kelam, dapat dilihat hingar mula muncul pada gambar.
Apabila subjek diletakkan berhampiran lensa, sekali lagi white balance kurang memuaskan. Lihat gambar nasi yang bergabung dengan pinggan dalam satu warna sekata. Imej juga kurang tajam. Penghasilan semula warna juga kurang menyerlah. Boleh saya katakan lebih mirip prestasi kamera peranti kelas permulaan Xiaomi.
Kamera swafoto pula sekadar senonoh untuk telesidang asalkan tiada sumber cahaya terang di belakang kepala. Jika tidak muka akan jadi gelap. Sensor 8MP tidak terlalu besar dan gambar yang diambil nampak sedikit lembut. Tidak cukup tajam dengan penghasilan warna yang lebih tidak bermaya jika dibandingkan dengan kamera utama.






Audio
Audio pada tablet adalah amat memuaskan. Dengan empat speaker audio dilontarkan lantang dan jelas. Sistem audio Dolby Atmos yang disertakan boleh digunakan walaupun tanpa aksesori audio bagi membolehkan audio yang lebih mantap dan tidak kedengaran rata didengari. Secara lazimnya peranti dari China hanya mengaktifkan Atmos apabila menggunakan aksesori audio seperti fon kepala. Mengikut telinga saya, ia lebih sedap digunakan untuk menonton video, filem atau siri TV berbanding muzik. Sungguhpun begitu speaker pada iPad Pro saya rasakan lebih mantap. Serasi dengan harganya yang tiga kali ganda lebih mahal.

Bateri
Dengan bateri 8720 mAh, hayat penggunaan Pad 5 adalah amat baik. Ia tiada masalah untuk beroperasi sepanjang hari. Saya mencubanya dengan sesi PdPR anak dan selepas empat jam sesi telesidang, bateri masih gagak melebihi 60%. Di akhir hari dengan penggunaan video yang agak berat, masih terdapat sekitar 20 peratus dengan SOT mencecah 15 jam. Harus saya katakan SOT yang agak lama ini dinikmati tanpa sebarang sesi permua kerana yang melakukan ujian ialah anak saya sendiri. Pengecas 33W yang diberikan masih memerlukan sekitar 2 jam untuk mengecas bateri sepenuhnya. Agak lama tetapi untuk bateri sebesar hampir 9000 mAh ini dapat dimaafkan.
Pesaing
Xiaomi Pad 5 | iPad Gen-9 | Samsung Galaxy Tab S6 Lite |
11″ IPS LCD, 1600 x 2560, 120Hz (274 ppi), Dolby Vision | 10.2″ IPSLCD, 1620 x 2160, 60Hz (265 ppi) | 10.4″ TFT, 1200 x 2000, 60Hz (224 ppi) |
Snapdragon 860 (7nm) 1 X 2.96 GHz Kryo 485 Prime 3 X 2.42 GHz Kryo 485 Gold 4 X 1.78 GHz Kryo 485 Silver | A13 Bionic (7nm) 2 X 2.65 GHz Lightning 4 X 1.8 GHz Thunder | Exynos 9611 (10nm) 4 X 2.3 GHz Cortex-A73 4 X 1.7 GHz Cortex-A53 |
Adreno 640 | Apple GPU | Mali-G72 MP3 |
6 GB LPDRR4X | 3 GB LPDDR4X | 4 GB LPDDR4X |
128/256 GB UFS 3.1 | 64/256 GB NVMe | 64 GB Mikro SD sehingga 1TB |
Kamera Utama 13Megapixel (f/2.0) | Kamera Utama 8 Megapixel (f/2.4) | Kamera Utama 8 Megapixel |
Kamera Hadapan 8-Megapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 12-Megapixel f/2.4 | Kamera Hadapan 5-Megapixel |
Tidak kalis air | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Tiada bicu audio | Bicu audio | Bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
8720 mAh (Berwayar 33W) | 32.4 Wh (Berwayar 20W) | 7050 mAh (Berwayar 15W) |
Harga bermula RM1399 | Harga bermula RM1499 | Harga RM1499 |
Kesimpulan
Xiaomi Pad 5 ialah sebuah tablet yang saya boleh katakan seperti Dr Jekyll dan Mr Hyde. Skrin yang mantap, pemproses yang berkuasa, rekaan yang masih premium dan bateri yang berstamina tinggi dipadankan dengan perisian yang berat serta kekurangan sokongan aplikasi khusus untuk tablet.
Sebagai sebuah tablet untuk telesidang, PdPR dan menonton kandungan video ia adalah antara yang paling seronok pernah saya ulas. Walaupun skrin IPS LCD, ianya amat cantik lebih-lebih lagi jika menonton kandungan Dolbu Vision. Menstrim video 4K dari YouTube juga tiada masalah kerana Snapdragon 860 adalah cukup berkuasa.Menjadikannya tablet untuk permua juga tidak mengecewakan kerana majoriti aplikasi boleh dijalankan pada tetapan yang tinggi. Lancar tetapi tidak menjadi talam panas seperti peranti dengan Snapdragon 888.
Tetapi kerap kali MIUI 12.5 memberikan pengelaman penggunaan yang tidak begitu lancar. Skrin 120Hz mempunyai isu ghosting dan drop frames secara rawak. Apabila banyak aplikasi berat dilancarkan, dapat dirasakan sela masa semasa melakukan penukaran aplikasi. Saya sedari semua ini kerana sudah membiasakan diri dengan pengalaman lebih lancar pada peranti dengan 8GB dan ke atas.

Ini isu yang saya tidak alami pada Xiaomi 11 Lite 5G NE yang diulas sebelum ini. Aneh ciri menambah RAM Memory Extension tidak diberikan kepada Pad 5 sedangkan penambahan memori boleh menyelesaikan isu-isu yang saya sebutkan tadi.
Kamera sekadar cukup makan tetapi siapa yang gunakan tablet sebagai kamera utama. Maka oleh sebab itu saya tidak akan mengkritik lebih. Stylus juga sekadar boleh tahan kerana masih belum di tahap Samsung S Pen atau Apple Pencil. Ada sedikit sela masa yang dapat dilihat.
Adakah saya masih menyarankan Xiaomi Pad 5 kepada anda? Ya jika anda mencari tablet untuk menonton video, permua dan kelas atas talian. Android perlu lebih serius menawarkan aplikasi untuk tablet jika mahu menendang iPad ke dalam lubang seperti Leonidas menendang utusan Farsi. Memang iPad Gen 9 yang baru dilancarkan adalah lebih mahal tetapi jika anda benar-benar inginkan tablet, sukar untuk mengatakan tidak kepada Apple pada waktu ini.
Pro
- Rekaan yang cantik dan terasa premium.
- Pemproses Snapdragon 860 berkuasa untuk majoriti permua
- Skrin juga cantik dengan sokongan HDR Dolby Vision.
- Audio yang juga mantap.
- Hayat bateri yang baik dengan pengecasan pantas.
- Ada sokongan stylus Xiaomi Smart Pen.
Kontra
- Perisian khusus untuk tablet masih tidak mencukupi.
- 6GB RAM tidak mencukupi untuk sebuah tablet.
- Tiada aksesori dijual. Stylus dan papan kekunci tiada di pasaran Malaysia.
- Kamera sekadar sederhana.
