Ulasan Xiaomi 11 Lite 5G NE – Badan Dahulu, Enjin Baharu, Harga Mampu

Diterbitkan pada Sep 23, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kembali kita ke rancangan “Ada berapa Xiaomi Mi 11/Xiaomi 11 yang dipasarkan oleh Xiaomi tahun ini”. Jika jawapan anda ialah 11 anda menang motor maya yang hanya di dala kepala anda. Tetapi dalam kita berjenaka hakikatnya Xiaomi memang telah melancarkan 11 varian berbeza siri Xiaomi Mi 11/Xiaomi 11 tahun ini. Jumlah yang agak tinggi untuk satu keluarga peranti yang dilancarkan dalam tahun yang sama. Lebih banyak varian peranti ini dari jumlah varian Loki dalam siri Disney+ Hotstar.

Saya berpeluang untuk mengulas Xiaomi 11 Lite 5G NE yang merupakan model dengan nama terpanjang pernah saya ulasan sejak menjadi penulis di Amanz. Nama mungkin panjang tetapi hakikatnya ini ialah sebuah Xiaomi 11 Lite 4G atau Xiaomi 11 Lite 5G dengan pemproses yang berbeza sahaja. Cip Snapdragon 732G atau Snapdragon 780G ditukar pula dengan Snapdragon 778G. Ini berlalu kerana masalah kekurangan cip memerlukan pengeluar menukar ‘enjin’ peranti dengan enjin yang di dalam kelas yang sama.

Memandangkan saya jugalah yang telah mengulas Xiaomi Mi 11 Lite 4G sebelum ini, maka sayalah orang yang paling sesuai untuk mengulas Xiaomi 11 Lite 5G NE ini. Adakah penukaran enjin membawakan perbezaan prestasi, penggunaan dan markah akhir? Jawapan adalah di akhir ulasan pendek ini.

Spesifikasi Dan Rekaan

Xiaomi Mi 11 Lite 5G NE
Skrin6.55″ AMOLED
FHD+, 90Hz, Dolby Vision
PemprosesSnapdragon 778G (8nm)
Cip1 X 2.4 GHz Kryo 670 Prime
3 X 2.2 GHz Kryo 670 Gold
44 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Cip GrafikAdreno 642L
RAM6/8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128/256 GB UFS 2.2 (Mikro SD sehingga 1TB)
Kamera Utama64+8+5 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4, Zum Digital 10X
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.5
Bateri4250 mAh
Pengecasan berwayar 33W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 4G VoLTE
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanRM 1199/1399/1599

Seperti yang telah saya katakan di perenggan mukadimah di atas, Xiaomi 11 Lite 5G NE hanyalah Mi 11 Lite 4G yang ditukar cip pemproses sahaja. Skrin masih lagi 6.55″ AMOLED tetapi menyokong kadar segar semula 90Hz. Dengan skrin AMOLED, kandungan dengan warna yang lebih terang dan HDR Dolby Vision dapat dinikmati. Selain pada iPhone, 11 Lite 5G NE dan Xiaomi Pad 5 adalah dua peranti yang pernah saya ulas menyokong format Dolby Vision. Dalam ujian kandungan Dolby Vision dari Netflix dan Disney+ Hotstar dapat dimainkan pada peranti ini.

Kekurangan hanyalah skrin ini tidak menyokong kadar segar semula adaptif yang lebih menjimatkan bateri. Jika bateri adalah penting buat anda, terdapat pilihan memilih 60Hz. Skrin adalah cantik menawan dengan penghasilan warna yang sekata dan tiada isu imej yang dipaparkan tidak lancar. Penggunaan di bawah matahari yang terik juga amat memuaskan kerana skrin masih mudah dibaca.

Skrin rata dengan bezel yang sederhana tebal. Mengikut standard 2021, bezel pada skrin mungkin boleh dikatakan tebal tetapi tidak mengganggu penggunaan peranti. Sebuah lubang kamera yang bersaiz kecil diletakkan pada bucu atas kiri. Kewujudannya mencacatkan sesi menonton video dan permua apabila menggunakan keseluruhan skrin. Kami tahu ramai yang sudah membiasakan diri dengan takuk serta lubang pada skrin, tetapi bagi golongan purist visual kewujudan lubang ini boleh disorokkan tetapi dahi menjadi terlalu tebal.

Pemproses Snapdragon 778G masih baru sahaja dilancarkan pada Mei lalu. Konfigurasi teras 1+3+4 digunakan menggantikan konfigurasi 2+6 pada Snapdragon 732G sebelum ini. Satu teras utama kini berasaskan Cortex-A78, tiga teras lagi juga berasaskan Cortex-A78 dan empat teras berasaskan Cortex A55. Ini dipadankan dengan GPU Adreno 642L serta turut membawakan sokongan rangkaian 5G.

Di skala prestasi ia di antara Snapdragon 765G dan di atas Snapdragon 780G yang tidak lagi dihasilkan. Ini ialah peranti pertama yang saya ulas dengan cip ini dan amat mengujakan untuk melihat sebaik manakah ia jika dibandingkan dengan cip mercu seperti Snapdragon 888 juga dengan teras Cortex-A78.

Memori sehingga 8GB RAM dipadankan dengan storan sebesar sehingga 256GB UFS 2.2 yang boleh ditambah menggunakan kad mikro SD sehingga 1TB. Kad mikro SD berkongsi slot dengan SIM kedua bersaiz nano. Oleh itu fikir-fikirkanlah jika anda ingin menggunakan dua SIM nano kerana ia tidak boleh digunakan jika anda mahu menambah lebih banyak storan. Peranti ini menyokong sistem penambahan memori secara maya Memory Extension sehingga 2GB RAM.

Sistem kameranya pula 64MP sudut lebar, 8MP sudut ultra lebar dan 5MP untuk makro. Tiada sistem telefoto optikal yang tinggi disertakan. Malahan apabila melihat peranti keluaran Xiaomi, Poco dan Redmi mereka tidak begitu gemar menyertakan sistem telefoto. Ini mungkin untuk mengurangkan kos kerana dalam keluarga Mi 11 hanya Mi 11 Ultra mempunyai kemampuan telefoto optikal yang tinggi.

Pada bahagian hadapan pula kamera sebesar 16MP digunakan dan diletakkan di dalam sebuah lubang pada skrin. Kemampuan rakaman video adalah sehingga 4K 30FPS sahaja atau 1080P 120FPS. Rekaan kamera yang digunakan adalah besar dan mirip yang ditemui pada Mi 11 tetapi bonggolnya tidak begitu tinggi. Peranti masih boleh digunakan di atas meja tanpa terjungkat-jungkit seperti bas di akhir filem The Italian Job.

Bateri sebesar 4250 mAh menyokong pengecasan pantas 33W menerusi port USB-C. Pengecasnya juga disertakan oleh Xiaomi dengan setiap pembelian. Pada tahun 2021, Xiaomi masih percaya pengguna masih inginkan pengecas dengan setiap pembelian. Pengecas yang diberikan juga lebih pantas jika dibandingkan yang disokong pada peranti mercu Samsung dan Apple.

Kesemua butang kuasa dan laras suara diletakkan pada sisi kanan. Binaannya terasa tegap dengan kemasan yang tidak terasa mewah walaupun ia diperbuat daripada bahan plastik. Pada butang kuasa ini diletakkan sebuah pengimbas cap jari fizikal. Ia berfungsi dengan pantas cuma tidak begitu mesra pengguna bertangan kidal. Pengimbas kerap gagal mengimbas jari tangan kiri.

Situasi berubah apabila menggunakan tangan kanan dan ibu jari diimbas. Bagi mereka yang memerlukan sistem biometri lain, imbasan wajah diberikan. Sistem ini pantas tetapi di zaman kita sentiasa memakai pelitup muka, ia semakin jarang digunakan.

Panel belakang diperbuat daripada kaca yang juga rata. Panel ini mempunyai kemasan licin yang amat mudah memerangkap kotoran. Ia amatlah licin sehingga beberapa kali 11 Lite 5G NE terjatuh daripada meja. Kami berterima kasih kepada Xiaomi kerana turut memberikan kerangka silikon yang agak kasar permukaannya. Disamping melindungi peranti ia juga mengurangkan insiden kerap tergelincir dari meja.

11 Lite 5G NE adalah peranti paling nipis pernah kami ulas sejak Mi 11 Lite 4G. Selalunya apabila peranti menjadi terlalu nipis ia tidak selesa untuk digunakan. Tetapi sisi peranti dibulatkan dan memegangnya adalah amat selesa walaupun untuk jangka masa yang lama. Yang menjadi canggung adalah ia juga antara peranti paling ringan pernah kami gunakan. Kadang kala ia terasa seperti menggunakan sebuah peranti demo yang boleh ditemui di kedai. Nasib baiklah kerangka silikon diberikan oleh Xiaomi kerana apabila dipakai barulah kecanggungan akibat ia terlalu ringan dapat diselesaikan.

Tiada bicu audio pada 11 Lite 5G NE tetapi sepasang pembesar suara stereo sedikit sebanyak mengurangkan sebarang kekecewaan yang ada. Pemancar infra merah dan NFC juga disertakan menjadikannya sebuah peranti yang hampir lengkap walaupun di kelas pertengahan. Melengkapi spesifikasi ialah sokongan WiFi 5GHz, bluetooth 5.1, pelbagai sistem navigasi satelit dan VoLTE.

Penggunaan Dan Perisian

Bukan rahsia kami bukan peminat nombor satu MIUI kerana mempunyai reputasi meletakkan banyak aplikasi gendut dan iklan dalam aplikasi sebagai salah satu usaha mengurangkan harga jualan peranti. Pada 11 Lite 5G, MIUI 12.5.4 digunakan dan ia berasaskan Android 11. Ini ialah binaan MIUI terkini selain Enhanced Edition yang hanya ditawarkan pada peranti dan tablet mercu sahaja. Rekaan antaramuka adalah amat kemas dan hampir tiada lagi menggunakan elemen warna cerun yang sinonim dengan MIU sebelum ini.

Kebanyakan elemen antara muka kini sebenarnya lebih hampir kepada Android asli dengan beberapa kustomasi yang kami rasakan lebih baik dari yang digunakan pada Android Asli. Misalnya ialah skrin multi-tugas yang memaparkan lebih banyak aplikasi dalam satu skrin dan secara menegak. Pada MIUI proses memilih aplikasi yang dibuka 7-8 aplikasi yang lalu adalah lebih mudah dan pantas kerana kurangnya keperluan untuk menatal. Dari skrin yang sama pengguna boleh mengakses ciri mengimbas virus dalam peranti dan membersihkan storan serta penggunaan RAM. Bagi yang melanggan kepada Netflix pula, kandungan resolusi HD boleh distrim kerana peranti dilengkapi sistem DRM Widevine L1.

Ciri tambahan ini tidak wujud pada Android Asli tetapi diberikan sebagai standard. Biasanya apabila ini dilakukan peranti akan menjadi perlahan (masihkah anda ingat dengan TouchWiz?) tetapi pada MIUI 12 pengalan penggunaan adalah hampir sempurna. Aplikasi yang dibuka tidak menjalani proses segar semula atau ditutup secara agresif untuk mengurangkan penggunaan RAM.

Pada hemat kami mod Memory Extension perlu diaktifkan setiap masa kerana MIUI 12.5.4 adalah agak berat. Apabila dimatikan dan peranti bergantung sepenuhnya kepada 6GB RAM ia terasa sedikit kurang lancar. Kadang kala boleh terasa sedikit tersekat-sekat.

Isu iklan yang membuatkan kami benci dengan MIUI juga sudah diselesaikan. Masih ada sedikit tetapi proses menyahaktifkannya kini lebih jelas. MIUI sekaligus tidak lagi kami masukkan ke dalam senarai sistem operasi yang membuatkan kami ingin menumbuk dinding.

Ia lancar, pantas, cantik, kemas dan paling penting sekali lebih selari dengan apa yang ditawarkan pada Android Asli tetapi dengan penambahan yang berguna. Contohnya ialah Second Space, Dual App, Game Turbo dan Lite Mode.

Telefoni Dan GPS

Panggilan telefon dapat dilakukan dengan jelas dan peranti tiada masalah untuk mendapatkan tambatan kepada rangkaian 4G menerusi SIM yang kami gunakan. Kualiti panggilan yang lebih jelas dapat dinikmati sekiranya mod VoLTE diaktifkan tetapi ini amat bergantung kepada syarikat telekomunikasi yang dilanggan. Satu ciri yang tidak disokong ialah panggilan telefon menggunakan rangkaian WiFi (VoWiFI). Peranti menyokong rangkaian 5G tetapi ini tidak dapat diuji kerana masih belum ditawarkan di Malaysia.

Prestasi GPS juga amat pantas dengan lokasi dapat dijejak dalam masa bawah dua saat apabila diuji menggunakan Waze dan Google Maps. Ia berfungsi dengan baik walaupun ketika diuji di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ketika masa puncak. Kesemua sistem penjejakan satelit utama seperti GPS, BeiDou dan Galileo disokong memudahkan ia digunakan di luar negara apabila perjalanan udara dibuka semula.

Penanda Aras

Dalam ujian Geekbench 5, 11 Lite 5G NE mencatatkan 702/2193 markah dan dalam ujian Antutu 3D pula mencatatkan 483,647 markah. Ini adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan Snapdragon 732G pada Mi 11 Lite 4G yang mencatatkan 563/1768 markah dalam ujian Geekbench 5 dan dalam ujian Antutu 3D pula mencatatkan 349,772 markah.

Cip kelas pertengahan tingi ini masih mampu memberikan prestasi permua pada tetapan sederhana tinggi yang memuaskan tanpa isu pemanasan melampau. Aplikasi dapat dilancarkan tanpa sebarang masalah dan peranti terasa pantas ketika digunakan. Bagi yang mementingkan prestasi dalam permua dan aplikasi harian, Snapdragon 778G pada 11 Lite 5G NE tidak mengecewakan.

Kamera

Sistem kamera yang agak konservatif digunakan dengan lensa sudut lebar, ultra sudut lebar dan makro sahaja digunakan. Kualiti gambar yang diambil menggunakan lensa utama adalah baik lebih-lebih jika terdapat pencahayaan yang sempurna. Imej tajam dengan penghasilan semula warna yang hidup cuma sedikit kuning dengan situasi sebenar.

Apabila zum dilakukan, kami menyedari terdapat perbezaan warna ketara. Anda boleh lihat sendiri warna menjadi sedikit pudar pada tetapan zum 2X. Pada tetapan 10X imej mula menjadi pecah dan kabur. Keperincian hilang bersama dengan warna menjadi tidak bermaya. Tanpa OIS, viewfinder mula terhoyong-hayang sehingga menyukarkan proses mendapatkan gambar yang diingini.

Dalam tempat tertutup kualiti gambar memuaskan cuma jika anda sumber cahaya, ketajaman gambar sedikit hilang. Mod HDR pada peranti ini tidak setanding peranti mercu tetapi ini dimaafkan kerana ia setanding dengan peranti kelas mercu lain yang pernah diulas. Mod makro juga tidak mengecewakan. Akhir sekali mod malam memuaskan cuma terdapat hingar yang agak ketara.

Sebagai kesimpulan kemampuan kamera 11 Lite 5G NE adalah memuaskan untuk peranti kelas pertengahan. Ketiadaan lensa telefoto khusus dirasai kerana gambar yang baik hanya boleh diambil sehingga tetapan 2X zum sahaja pada hemat kami.

Audio

Kemampuan audio adalah sekadar memuaskan sahaja. Walaupun speaker stereo disertakan, audio dilontar terasa rata dan berkecamuk pada kelantangan bunyi yang tinggi. Bass dan treble di tahap sederhana dan sebenarnya tidak berapa mengujakan. Audio yang kurang menyinar ini adalah kerana sistem audio Dolby tidak disokong. Kekurangan ini boleh dimaafkan kerana peranti kualiti audio adalah jauh lebih baik apabila menggunakan aksesori audio luaran berbanding pada speaker fizikal yang disertakan.

Bateri

Bateri 4250 mAh Mi 11 Lite dapat bertahan hampir 24 jam dan SOT pula sehingga 8 jam dalam penggunaan yang sederhana. Bagi sebuah peranti dengan saiz bateri yang tidak berapa besar (peranti lain dalam kelasnya dilengkapi bateri 5000 mAh) dan skrin 90Hz, prestasi bateri 11 Lite 5G NE adalah memuaskan. Dengan pengecas 33W yang diberikan oleh Xiaomi dengan setiap pembelian, bateri boleh dicas semula dalam masa kurang 60 minit.

Pesaing

Xiaomi 11 Lite 5G NERealme GT Master EditionSamsung Galaxy A52s 5G
6.55″ AMOLED, 1080 x 2400, 90Hz (402 ppi), Dolby Vision6.43″ SAMOLED, 1080 x 2400, 120Hz (409 ppi), HDR10+6.5″ SAMOLED, 1080 x 2400, 120Hz (405 ppi), HDR10+
Snapdragon 778G (6nm)
1 X 2.4 GHz Kryo 670 Prime
3 X 2.2 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Snapdragon 778G (6nm)
1 X 2.4 GHz Kryo 670 Prime
3 X 2.2 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Snapdragon 778G (6nm)
1 X 2.4 GHz Kryo 670 Prime
3 X 2.2 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Adreno 642LAdreno 642LAdreno 642L
6/8 GB LPDRR4X8 GB LPDRR4X8 GB LPDDR4X
128/256 GB UFS 2.2
Mikro SD sehingga 1TB
128/256 GB UFS 2.2
256 GB UFS 2.2
Mikro SD sehingga 1TB
Kamera Utama
64+8+5 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4)
Kamera Utama
64+8+2 Megapixel (f/1.8+f/2.4+f/2.4+), OIS
Kamera Utama
64+12+5+5 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4), OIS
Kamera Hadapan
20-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.5
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.2
Tidak kalis airTidak kalis airIP67
Tiada bicu audioBicu audio Bicu audio
Audio Stereo Audio StereoAudio Stereo
4250mAh (Berwayar 33W)4300mAh (Berwayar 65W)4500 mAh (Berwayar 25W)
Harga bermula RM1199Harga bermula 1499Harga 1899

Kesimpulan

Xiaomi Mi 11 Lite 4G ialah antara peranti kelas pertengahan yang kami cukup suka tahun ini. Oleh itu apabila Xiaomi Lite 5G NE dilancarkan, ia menjadikan peranti yang sudah cukup menjadi lebih memuaskan. Pujian kami berikan kepada sokongan Dolby Vision yang dari hemat kami nampak lebih cantik berbanding HDR10 yang digunakan pada peranti lain. Skrin masih cantik dengan paparan warna yang menyerlah serta mudah dibawa di bawah cahaya matahari.

Prestasi cip juga amat memuaskan kerana ia adalah antara cip kelas pertengahan yang baik pada waktu ini. Memainkan permua adalah lancar dengan peranti tidak menjadi terlalu hangat selepas sesi permua yang lama. Kemampuan kamera ada sederhana tetapi amat baik untuk peranti kelas pertengahan. Bateri juga tidak mengecewakan dengan sistem pengecasan yang juga agak pantas.

Kekurangan hanyalah tiada sistem OIS pada kesemua lensa. Mod malam tidak begitu tajam dan terang jika dibandingkan dengan peranti seperti Huawei P40 Pro atau Samsung Galaxy S21 Ultra. Tetapi kita perlu adil kerana 11 Lite 5G bukan peranti mercu dengan harga jualan separuh dari dua peranti tadi.

Sebagai peranti kelas pertengahan mercu, pesaingnya yang paling hampir ialah Galaxy A52s 5G yang sedikit lebih mahal tetapi ia kalis air, mempunyai bicu audio 3.5mm dan storan yang lebih besar. Sungguhpun begitu jika anda kesemua yang kami katakan tadi tidak penting bagi anda, Xiaomi 11 Lite 5G NE ialah peranti yang tiada masalah kami sarankan kepada anda kerana pada harga bermula RM1199, ia adalah sama dengan harga Mi 11 Lite 4G semasa dilancarkan di Malaysia awal tahun ini.

Pro

  • Rekaan yang selesa walaupun tubuhnya amat nipis.
  • Prestasi yang memuaskan dengan kombinasi cip, RAM dan storan yang baik.
  • Skrin 90Hz membuatkan peranti terasa pantas.
  • Prestasi bateri yang amat memuaskan dengan pengecasan pantas.
  • Menyokong kad mikro SD.
  • Pemancar infra merah terbina.

Kontra

  • Tiada bicu audio.
  • Tiada kemampuan kalis air.
  • Pengimbas cap jari sisi tidak mesra pengguna kidal.
  • Versi 6B RAM sedikit kurang lancar jika Memory Extension dimatikan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami