Cari @ Amanz

Entah kenapa tahun ini Xiaomi melakukan perkara aneh dengan melancarkan pelbagai peranti di bawah siri Mi 11 dalam tempoh yang pendek. Ketika artikel ditulis Xiaomi Mi 11, Mi 11 Ultra, Mi 11 Pro, Mi 11i, Xiaomi Mi 11 Lite 5G dan Mi 11 Lite telah diumumkan. Di antara enam peranti ini, Mi 11 Lite 4G ialah model dengan spesifikasi paling rendah dan juga harga yang paling mesra ekonomi merudum.

Saban tahun kami menerima soalan dari pembaca – “adakah peranti murah juga bermakna ia tidak mempunyai nilai yang baik apabila dibeli?”. Ulasan ini akan cuba menjawab persoalan yang kerap ditanya dengan sepantas dan semudah yang boleh.

Spesifikasi Dan Rekaan

Xiaomi Mi 11 Lite
Skrin6.55″ AMOLED
FHD+, 90Hz
PemprosesSnapdragon 732G (8nm)
Cip2 X 2.3 GHz Kryo 470 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 470 Silver
Cip GrafikAdreno 618
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128 UFS 2.2 (Mikro SD sehingga 512GB)
Kamera Utama64+8+5 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4, Zum 10X
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.5
Bateri4250 mAh
Pengecasan berwayar 33W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 4G VoLTE
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanRM 1199

Walaupun nama Lite digunakan, Xiaomi tidak lokek pada teknologi skrin yang digunakan. Skrin 6.55″ yang digunakan adalah bukan sahaja dari keluaran AMOLED tetapi menyokong kadar segar semula 90Hz. Dengan skrin AMOLED, kandungan dengan warna yang lebih terang dan HDR turut boleh dinikmati. Kekurangan hanyalah skrin ini tidak menyokong kadar segar semula adaptif yang lebih menjimatkan bateri. Jika bateri adalah penting buat anda, terdapat pilihan memilih 60Hz. Skrin adalah cantik menawan dengan penghasilan warna yang sekata dan tiada isu imej yang dipaparkan tidak lancar. Penggunaan di bawah matahari yang terik juga amat memuaskan kerana skrin masih mudah dibaca.

Skrin rata dengan bezel yang sederhana tebal. Mengikut standard 2021, bezel pada skrin mungkin boleh dikatakan tebal tetapi tidak mengganggu penggunaan peranti. Sebuah lubang kamera yang bersaiz kecil diletakkan pada bucu atas kiri. Kewujudannya mencacatkan sesi menonton video dan permua apabila menggunakan keseluruhan skrin. Kami tahu ramai yang sudah membiasakan diri dengan takuk serta lubang pada skrin, tetapi bagi golongan purist visual kewujudan lubang ini boleh disorokkan tetapi dahi menjadi terlalu tebal.

Pemproses Snapdragon 732G masih lagi agak baru kerana dilancarkan kurang setahun yang lalu. Dengan dua teras berasaskan Cortex A76 dan enam teras berasaskan Cortex A55, ia mampu menawarkan prestasi kelas pertengahan yang tidak mengecewakan. Di skala prestasi ia di bawah Snapdragon 765G dan di atas Snapdragon 710. Dari pengalaman mengulas peranti lain dengan cip Snapdragon 732G, ia adalah antara cip tidak mendatangkan masalah cuma tiada sokongan 5G sahaja.

Memori 8GB RAM dipadankan dengan storan sebesar 128GB yang boleh ditambah menggunakan kad mikro SD sehingga 512GB. Kad mikro SD berkongsi slot dengan SIM kedua bersaiz nano. Oleh itu fikir-fikirkanlah jika anda ingin menggunakan dua SIM nano kerana ia tidak boleh digunakan jika anda mahu menambah lebih banyak storan.

Sistem kameranya pula 64MP sudut lebar, 8MP sudut ultra lebar dan 5MP untuk makro. Tiada sistem telefoto optikal yang tinggi disertakan. Malahan apabila melihat peranti keluaran Xiaomi, Poco dan Redmi mereka tidak begitu gemar menyertakan sistem telefoto. Ini mungkin untuk mengurangkan kos kerana dalam keluarga Mi 11 hanya Mi 11 Ultra mempunyai kemampuan telefoto optikal yang tinggi.

Pada bahagian hadapan pula kamera sebesar 16MP digunakan dan diletakkan di dalam sebuah lubang pada skrin. Kemampuan rakaman video adalah sehingga 4K 30FPS sahaja atau 1080P 120FPS. Rekaan kamera yang digunakan adalah besar dan mirip yang ditemui pada Mi 11 tetapi tidak tinggi. Peranti masih boleh digunakan di atas meja tanpa terjungkat-jungkit seperti bas di akhir filem The Italian Job.

Bateri sebesar 4250 mAh menyokong pengecasan pantas 33W menerusi port USB-C. Pengecasnya juga disertakan oleh Xiaomi dengan setiap pembelian. Pada tahun 2021, Xiaomi masih percaya pengguna masih inginkan pengecas dengan setiap pembelian. Pengecas yang diberikan juga lebih pantas jika dibandingkan yang disokong pada peranti mercu Samsung dan Apple.

Kesemua butang kuasa dan laras suara diletakkan pada sisi kanan. Binaannya terasa tegap dengan kemasan yang tidak terasa mewah walaupun ia diperbuat daripada bahan plastik. Pada butang kuasa ini diletakkan sebuah pengimbas cap jari fizikal. Ia berfungsi dengan pantas cuma tidak begitu mesra pengguna bertangan kidal. Pengimbas kerap gagal mengimbas jari tangan kiri.

Situasi berubah apabila menggunakan tangan kanan dan ibu jari diimbas. Bagi mereka yang memerlukan sistem biometri lain, imbasan wajah diberikan. Sistem ini pantas tetapi di zaman kita sentiasa memakai pelitup muka, ia semakin jarang digunakan.

Panel belakang diperbuat daripada kaca yang juga rata. Panel ini mempunyai kemasan licin yang amat mudah memerangkap kotoran. Ia amatlah licin sehingga beberapa kali Mi 11 Lite terjatuh daripada meja. Kami berterima kasih kepada Xiaomi kerana turut memberikan kerangka silikon yang agak kasar permukaannya. Disamping melindungi peranti ia juga mengurangkan insiden kerap tergelincir dari meja.

Mi 11 Lite adalah peranti paling nipis pernah kami ulas sejak Oppo R5. Selalunya apabila peranti menjadi terlalu nipis ia tidak selesa untuk digunakan. Tetapi sisi Mi 11 Lite dibulatkan dan memegangnya adalah amat selesa walaupun untuk jangka masa yang lama. Yang menjadi canggung adalah ia juga antara peranti paling ringan pernah kami gunakan. Kadang kala ia terasa seperti menggunakan sebuah peranti demo yang boleh ditemui di kedai. Nasib baiklah kerangka silikon diberikan oleh Xiaomi kerana apabila dipakai barulah kecanggungan akibat ia terlalu ringan dapat diselesaikan.

Tiada bicu audio pada Mi 11 Lite tetapi sepasang pembesar suara stereo sedikit sebanyak mengurangkan sebarang kekecewaan yang ada. Pemancar infra merah dan NFC juga disertakan menjadikannya sebuah peranti yang hampir lengkap walaupun di kelas pertengahan. Melengkapi spesifikasi ialah sokongan WiFi 5GHz, bluetooth 5.1, pelbagai sistem navigasi satelit dan VoLTE.

Penggunaan Dan Perisian

Bukan rahsia kami bukan peminat nombor satu MIUI kerana mempunyai reputasi meletakkan banyak aplikasi gendut dan iklan dalam aplikasi sebagai salah satu usaha mengurangkan harga jualan peranti. Pada Mi 11 Lite, MIUI 12.0.7 digunakan dan ia berasaskan Android 11. Rekaan antaramuka adalah amat kemas dan hampir tiada lagi menggunakan elemen warna cerun yang sinonim dengan MIU sebelum ini.

Kebanyakan elemen antaramuka kini sebenarnya lebih hampir kepada Android asli dengan beberapa kustomasi yang kami rasakan lebih baik dari yang digunakan pada Android Asli. Misalnya ialah skrin multi-tugas yang memaparkan lebih banyak aplikasi dalam satu skrin dan secara menegak. Pada MIUI proses memilih aplikasi yang dibuka 7-8 aplikasi yang lalu adalah lebih mudah dan pantas kerana kurangnya keperluan untuk menatal. Dari skrin yang sama pengguna boleh mengakses ciri mengimbas virus dalam peranti dan membersihkan storan serta penggunaan RAM. Bagi yang melanggan kepada Netflix pula, kandungan resolusi HD boleh distrim kerana peranti dilengkapi sistem DRM Widevine L1.

Ciri tambahan ini tidak wujud pada Android Asli tetapi diberikan sebagai standard. Biasanya apabila ini dilakukan peranti akan menjadi perlahan (masihkah anda ingat dengan TouchWiz?) tetapi pada MIUI 12 pengalan penggunaan adalah hampir sempurna. Aplikasi yang dibuka tidak menjalani proses segar semula atau ditutup secara agresif untuk mengurangkan penggunaan RAM.

Isu iklan yang membuatkan kami benci dengan MIUI juga sudah diselesaikan. Masih ada sedikit tetapi proses menyahaktifkannya kini lebih jelas. MIUI sekaligus tidak lagi kami masukkan ke dalam senarai sistem operasi yang membuatkan kami ingin menumbuk dinding.

Ia lancar, pantas, cantik, kemas dan paling penting sekali lebih selari dengan apa yang ditawarkan pada Android Asli tetapi dengan penambahan yang berguna. Contohnya ialah Second Space, Dual App, Game Turbo dan Lite Mode.

Telefoni Dan GPS

Panggilan telefon dapat dilakukan dengan jelas dan peranti tiada masalah untuk mendapatkan tambatan kepada rangkaian 4G menerusi SIM yang kami gunakan. Kualiti panggilan yang lebih jelas dapat dinikmati sekiranya mod VoLTE diaktifkan tetapi ini amat bergantung kepada syarikat telekomunikasi yang dilanggan. Satu ciri yang tidak disokong ialah panggilan telefon menggunakan rangkaian WiFi (VoWiFI).

Prestasi GPS juga amat pantas dengan lokasi dapat dijejak dalam masa bawah dua saat apabila diuji menggunakan Waze dan Google Maps. Ia berfungsi dengan baik walaupun ketika diuji di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ketika masa puncak. Kesemua sistem penjejakan satelit utama seperti GPS, BeiDou dan Galileo disokong memudahkan ia digunakan di luar negara apabila perjalanan udara dibuka semula.

Penanda Aras

Dalam ujian Geekbench 5, Mi 11 Lite mencatatkan 563/1768 markah untuk satu teras dan multi teras dan dalam ujian Antutu 3D pula mencatatkan 349,772 markah. Apa yang kami rasakan menarik ialah dalam ujian Antutu, Snapdragon 690 mencatatkan markah lebih tinggi walaupun ia dari siri Snapdragon 600. Seperti yang katakan dalam ulasan Nord N10 tempoh hari, teras utama pada Snapdragon 690 (Cortex-A77) adalah lebih terkini berbanding yang digunakan pada Snapdragon 732G (Cortex-A76).

Cip kelas pertengahan ini masih mampu memberikan prestasi permua pada tetapan sederhana yang memuaskan tanpa isu pemanasan melampau. Aplikasi dapat dilancarkan tanpa sebarang masalah dan peranti terasa pantas ketika digunakan. Jelas sekali cip yang sudah berusia lapan bulan ni masih lagi sesuai digunakan pada tahun 2021.

Kamera

Sistem kamera yang agak konservatif digunakan dengan lensa sudut lebar, ultra sudut lebar dan makro sahaja digunakan. Kualiti gambar yang diambil menggunakan lensa utama adalah baik lebih-lebih jika terdapat pencahayaan yang sempurna. Imej tajam dengan penghasilan semula warna yang hidup cuma sedikit kuning dengan situasi sebenar.

Apabila zum dilakukan, kami menyedari terdapat perbezaan warna ketara. Anda boleh lihat sendiri warna menjadi sedikit pudar pada tetapan zum 2X. Pada tetapan 10X imej mula menjadi pecah dan kabur. Keperincian hilang bersama dengan warna menjadi tidak bermaya. Tanpa OIS, viewfinder mula terhoyong-hayang sehingga menyukarkan proses mendapatkan gambar yang diingini.

Dalam tempat tertutup kualiti gambar memuaskan cuma jika anda sumber cahaya, ketajaman gambar sedikit hilang. Mod HDR pada peranti ini tidak setanding peranti mercu tetapi ini dimaafkan kerana ia setanding dengan peranti kelas mercu lain yang pernah diulas. Mod makro juga tidak mengecewakan. Akhir sekali mod malam memuaskan cuma terdapat hingar yang agak ketara.

Sebagai kesimpulan kemampuan kamera Mi 11 Lite adalah memuaskan untuk peranti kelas pertengahan. Ketiadaan lensa telefoto khusus dirasai kerana gambar yang baik hanya boleh diambil sehingga tetapan 2X zum sahaja pada hemat kami.

Audio

Kemampuan audio adalah sekadar memuaskan sahaja. Walaupun speaker stereo disertakan, audio dilontar terasa rata dan berkecamuk pada kelantangan bunyi yang tinggi. Bass dan treble di tahap sederhana dan sebenarnya tidak berapa mengujakan. Audio yang kurang menyinar ini adalah kerana sistem audio Dolby tidak disokong. Kekurangan ini boleh dimaafkan kerana peranti kualiti audio adalah jauh lebih baik apabila menggunakan aksesori audio luaran berbanding pada speaker fizikal yang disertakan.

Bateri

Bateri 4250 mAh Mi 11 Lite dapat bertahan hampir 24 jam dan SOT pula sehingga 8 jam dalam penggunaan yang sederhana. Bagi sebuah peranti dengan saiz bateri yang tidak berapa besar (peranti lain dalam kelasnya dilengkapi bateri 5000 mAh) dan skrin 90Hz, prestasi bateri Mi 11 Lite adalah memuaskan. Dengan pengecas 33W yang diberikan oleh Xiaomi dengan setiap pembelian, bateri boleh dicas semula dalam masa kurang 1 jam.

Pesaing

Xiaomi Mi 11 LiteSamsung Galaxy A52OnePlus Nord N10 5G
6.55″ AMOLED, 1080 x 2400, HD, 90Hz (402 ppi)6.5″ SAMOLED, 1080 x 2400, 90Hz (407 ppi)6.49″ IPS LCD, 1080 x 2400, HD, 90Hz (406 ppi)
Snapdragon 732G (8nm)
2 X 2.3 GHz Kryo 470 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 470 Silver
Snapdragon 720G (8nm)
2 X 2.3 GHz Kryo 465 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 465 Silver
Snapdragon 690 (8nm)
2 X 2.0 GHz Kryo 560 Gold
6 X 1.7 GHz Kryo 560 Silver
Adreno 618Adreno 618Adreno 619L
8 GB LPDRR4X8 GB LPDRR4X6 GB LPDDR4X
128 GB UFS 2.2
Mikro SD sehingga 512GB
256 GB UFS 2.2
Mikro SD sehingga 1TB
256 GB UFS 2.1
Mikro SD sehingga 512GB
Kamera Utama
64+8+5 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4)
Kamera Utama
64+8+2+2 Megapixel (f/1.8+f/2.4+f/2.2+f/2.4),OIS
Kamera Utama
64+8+2+2 Megapixel (f/1.8+f/2.3+f/2.4+f/2.4)
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.5
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.1
Tidak kalis airIP67Tidak kalir air
Tiada bicu audioBicu audio Bicu audio
Audio Stereo Audio StereoAudio Stereo
4250mAh (Berwayar 33W)4500mAh (Berwayar 25W)4300 mAh (Berwayar 30W)
Harga RM1199Harga 1499Harga 1199

Kesimpulan

Seperti mana Mi 11 Lite ialah peranti mercu pilihan bagi mereka yang tidak mahu berbelanja lebih, Mi 11 Lite ialah sebuah peranti kelas pertengahan pilihan juga untuk mereka yang tidak mahu berbelanja lebih. Dua peranti keluaran Xiaomi ditawarkan di Malaysia pada harga yang mesra pandemik tetapi masih memberikan nilai yang baik untuk setiap ringgit yang dibelanjakan pembeli.

Rekaan yang selesa, skrin 90Hz yang baik, pemproses yang tidak mengecewakan, kamera yang memuaskan dan bateri yang mampu bertahan seharian menjadi Mi 11 Lite peranti yang “ringan” pada nama tetapi “berat” pada nilai yang ditawarkan.

Reputasi Xiaomi yang sentiasa menawarkan peranti pada harga yang mampu milik kekal tahun ini membuatkan pengeluar lain perlu mengubah strategi pemasaran. Sekiranya alternatif yang anda cari peranti yang kami rasakan lebih baik adalah Samsung Galaxy A52 (RM1499) yang dilengkapi bateri lebih besar, kemampuan kalis air, storan lebih besar, sokongan perisian lebih lama dan bicu audio.

Tetapi jika kesemua ini tidak penting bagi anda Xiaomi Mi 11 Lite yang dijual pada harga RM1199 ini dengan mudah kami sarankan kepada mereka yang mencari telefon pintar dengan nilai terbaik di pasaran.

Pro

  • Rekaan yang selesa walaupun tubuhnya amat nipis.
  • Prestasi yang memuaskan dengan kombinasi cip, RAM dan storan yang baik.
  • Skrin 90Hz membuatkan peranti terasa pantas.
  • Prestasi bateri yang amat memuaskan dengan pengecasan pantas.
  • Menyokong kad mikro SD.
  • Pemancar infra merah terbina.

Kontra

  • Tiada bicu audio.
  • Tiada kemampuan kalis air.
  • Pengimbas cap jari sisi tidak mesra pengguna kidal.
  • Tidak bersedia untuk rangkaian 5G.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd