Beberapa bulan lepas, Qualcomm telah hadir dengan cip Snapdragon 780G – iaitu cip siri-7 pertama dengan binaan 5nm serta menyokong 5G. Qualcomm menawarkan spesifikasi hampir seakan Snapdragon 888, tetapi untuk peranti mampu milik. Terkini, Qualcomm telah hadir dengan cip Snapdragon 778G pula.
Ia lebih kurang sama dengan 780G, tetapi dibina berasaskan 6nm, mempunyai kuasa yang sedikit lebih rendah serta menggunakan GPU Adreno 642L. CPU adalah Kryo 670 dengan 1x Cortex A78 utama, 3x Cortex A78 untuk prestasi dan 4x Cortex A55 untuk kecekapan. Kuasa maksimum terhad kepada 2.4GHz sahaja. Qualcom menjanjikan 40% peningkatan pada CPU dan GPU berbanding generasi lama.
Untuk paparan, cip ini boleh menguasakan skrin FHD+ sahaja. Tetapi kadar segar semula adalah sehingga 144Hz. HDR10 dan HDR10+ sedia disokong dan jika menggunakan paparan luaran seperti untuk mod Desktop – resolusi 4K 60FPS adalah tahap yang paling tinggi.
Untuk kamera, cip ini menyokong rakaman mod letus 120FPS pada 8MP atau 90FPS dengan 12MP. Ia menggunakan ISP Spectra 570L yang membolehkan tiga lensa digunakan dengan gabungan sensor maksimum imej 22MP, 36+22 Megapixel jika tetapan dwi-lensa dan sehingga 192 Megapixel jika satu lensa. Rakaman gerak perlahan 720p+240FPS disokong, begitu juga dengan rakaman 10-bit HDR, serta kemampuan rakaman video maksimum 64MP.
Seperti kebanyakan cip generasi baharu, Snapdragon 778G turut menyokong HDR10+, enjin kecerdasan buatan Hexagon 770, mod permua Snapdragon Elite Gaming, , sistem audio Snapdragon Sound, Bluetooth 5.2 yang terkini dan juga sistem sekuriti pada kamera.
Untuk rangkaian 5G, cip ini hadir dengan modem Snapdragon X53 dengan kelajuan muat turun sehingga 3.3Gbps. 5G pula disokong melalui sub-6 GHz, mmwave dan menyokong dwi-SIM. WiFi pula menggunakan teknologi FastConnect 6700 untuk sokongan WiFi 6. Dengan sokongan Bluetooth 5.2 tadi, ia turut boleh menerima tambatan aksesori audio aptX Adaptvive Audio, aksesori jenis LE, dan lain-lain lagi. Cip dalam siri-7 dikira premium, jadi sokongan NFC dikekalkan. Pada GPS pula, Beidou, Galileo, GLONASS, NavIC, GPS dan QZSS sedia digunakan.
Cip ini turut menyokong sistem pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge 5 dan sistem sekuriti imbasan jari, mata, suara dan wajah. Jika Snapdragon 780G dijana pada peranti Xiaomi, 778G dikatakan akan hadir pada peranti Honor 50 terlebih dahulu. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut.