Cari @ Amanz

Seiring pengenalan Oppo K9 Pro, jenama ini dilihat turut sama mengemaskini rangkaian peranti boleh pakai dengan penawaran produk baharu. Dikenali sebagai Oppo Watch Free, jam tangan ini didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan emas. Oppo Watch Free juga dilengkapi rekaan jam tangan bermuka segi empat tanpa sebarang butang fizikal padanya.

Dari segi reka bentuk, Oppo Watch Free menampilkan panel kaca 2.5D dan tali jam yang diperbuat daripada silikon. Untuk spesifikasi khusus, Oppo Watch Free mempunyai paparan bersaiz 1.64-inci AMOLED dengan resolusi 280 x 456 piksel. Menurut Oppo, ia juga menyokong sehingga ratusan pilihan muka jam yang boleh diubah mengikut kesesuaian.

Dari segi fungsi, ia hadir dengan sejumlah sensor terbina untuk pemantauan kesihatan termasuk – sensor gerakan enam paksi, kadar denyutan jantung sepanjang hari, pemantauan dengkur, sensor cahaya ambien dan banyak lagi. Oppo Watch Free lebih memfokuskan pada pemantauan tidur lebih baik.

Di mana, ia mempunyai kebolehan pemantauan tiur dengan tiga ciri utama iaitu sebelum, semasa dan selepas pengguna tidur. Di mana, ia sangat membantu perbaiki masalah tidur dengan lebih saintifik. Ia tidak hanya memantau pola tidur sahaja, sebaliknya turut sama mengambil kira beberapa aspek lain. Misalnya, pemantauan oksigen dalam darah, kebolehupayaan denyutan jantun dan memantau dengkur sewaktu tidur.

Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi lebih 100 mod sukan berbeza dan berupaya mengesannya secara automatik untuk kemudahan pengguna. Spesifikasi lain termasuk – bateri 230mAh dengan ketahanan maksimum 14 hari, kemampuan kalis air 5ATM, bluetooth 5.0 dan sebagainya. Oppo Watch Free dijual pada harga RMB549 (~RM356). Buat masa ini, ia ditawarkan untuk pasaran China terlebih dahulu.

Sumber : Oppo China

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd