Cari @ Amanz

Oppo mengemaskini rangkaian televisyen pintar di China dengan memperkenalkan sebuah lagi produk dikenali sebagai Oppo Smart TV K9 75″. Secara amnya, ia mempunyai banyak persamaan dengan model Oppo Smart TV K9 65-inci yang dilancarkan sekitar bulan Mei lepas. Perbezaan utama terletak pada sokongan storan dalaman yang kini sebesar 32GB berbanding 16GB yang terdapat pada model 65-inci.

Seperti namanya, ia dilengkapi paparan berasaskan LCD yang menyokong resolusi 4K (3840 x 2160) dengan kadar segar semula 60Hz. Dalam pada itu, ia juga menawarkan nisbah skrin-ke-badan mencecah 95% gamut warna DCI-P3, di samping beberapa ciri tambahan seperti HDR10+, HDR10 dan HLG untuk pengalaman penggunaan lebih baik. Turut kelihatan, rekaannya menampilkan binaan bezel yang nipis selari dengan trend kebanyakan televisyen di pasaran.

Seterusnya, ia juga menggunakan cip pemproses empat-teras MediaTek 64-bit (ARM Cortex A73 CPU) dengan padanan memori 2GB RAM dan 32GB storan dalaman secara terbina. Turut melengkapinya adalah dwi-pembesar suara dengan output 30W yang menyokong Dolby Audio, selain turut sama hadir dengan aksesori kamera secara berasingan untuk penggunaan lebih baik.

Tidak ketinggalan, televisyen ini juga menjalankan sistem operasi ColorOS TV 2.2 yang menyokong pembesar suara pintar menerusi mikrofon jarak jauh, selain juga dilengkapi alat kawalan yang menyokong NFC. Untuk harga, Oppo Smart TV K9 75″ dijual pada RMB5,799 (~RM3,758) dan buat masa ini ia ditawarkan untuk pasaran China terlebih dahulu.

Sumber : Oppo China

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd