TWS Technics EAH-AZ60 Berharga RM1049 Dan EAH-AZ40 RM649 – Jualan Bermula Oktober Ini

Diterbitkan pada Sep 29, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Peminat tegar produk audio pasti mengenali jenama Technics. Malam tadi mereka telah melancarkan dua TWS baru yang menarik perhatian kami, kerana ia mempunyai sokongan LDAC. Sokongan ini jarang terdapat pada banyak TWS dan kerap kami lihat ada pada TWS Sony sahaja.

Dua model yang dilancarkan malam tadi adalah Technics EAH-AZ60 dan EAH-AZ40. Kedua-dua TWS ini direka dengan fokus terhadap bukan sahaja kualiti pendengaran tetapi turut mempunyai fungsi JustMyVoice untuk kualiti mikrofon yang lebih jelas.

Technics EAH-AZ60 mempunyai sokongan pembatalan hingar hibrid dan juga LDAC. Pemacu audio adalah bersaiz 8mm dan mempunyai 8 mikrofon. Ia juga mempunyai mod tebus bunyi tersendiri Ambient dan Attention. Perlindungan yang ada adalah IPX4, ketahanan bateri adalah mencapai 7 jam dan 25 jam dengan pod pengecasan.

Technics Malaysia mengesahkan kepada kami harga jualan model ini adalah RM1,049.

Technics EAH-AZ40 pula adalah model yang lebih mampu milik. Ia tiada pembatalan hingar dan LDAC. Menggunakan pemacu audio 6mm dan mempunyai 6 mikrofon. Sokongan JustMyVoice, Ambient dan Attention dikekalkan begitu juga perlindungan IPX4. Ketahanan bateri adalah sedikit lebih lama, iaitu mencapai 7.5 jam secara terus dan 25 jam dengan pod pengecasan.

Model ini akan dijual di Malaysia pada harga RM649.


Kedua-dua TWS baharu daripada Technics ini akan dijual di Malaysia bermula Oktober akan datang. Pra-tempahan akan dibuka bermula 30 September sehingga 15 Oktober melalui Lazada dan Shopee rasmi Panasonic Malaysia. Jualan dikatakan adalah melalui kedai-kedai Panasonic. Selain daripada itu, Technics juga akan menjual lebih banyak produk audio lain mereka di pasaran tempatan di masa-masa akan datang.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami