Xiaomi telah menjual hampir 800 juta unit telefon pintar sejak awal pengenalannya sekitar tahun 2011, sekaligus menjadi antara jenama yang paling pantas berkembang dalam pasaran peranti mudah alih. Baru-baru ini, Xiaomi telah muncul dengan ‘buah tangan’ menerusi pengenalan siri Xiaomi 11T. Siri yang diperkenalkan kali ini berjaya menarik perhatian dan menjadi buat mulut ramai yang kini tidak henti-henti bercakap mengenainya. Terdapat dua buah model yang diperkenalkan iaitu Xiaomi 11T dan Xiaomi 11T Pro.
Apa yang menariknya tentang siri kali ini adalah kedua-duanya merupakan antara model terawal keluaran Xiaomi yang tidak lagi menggunakan penjenaan “Mi” seperti yang dilakukan pada sejumlah peranti sebelum ini. Pengenalan peranti pintar ini membolehkan Xiaomi sekali lagi cuba bersaing dalam segmen peranti mercu mampu milik di pasaran. Di samping, ia juga diletakkan dalam kategori produk pilihan pengguna yang mahukan sebuah peranti dengan keupayaan kamera yang baik.

Selain daripada itu, kedua-duanya juga menampilkan sejumlah aspek yang sama baik sari segi penawaran dalaman mahupun luaran. Namun begitu, artikel ulasan kali ini akan lebih memberi fokus pada model Xiaomi 11T. Bagi melihat sejauh mana kehebatannya dalam dunia nyata, mari kami kongsikan pengalaman penggunaan selama hampir dua minggu untuk peranti pintar ini.
Spesifikasi Ringkas
Telefon Pintar | Xiaomi 11T |
Skrin | 6.67-inci AMOLED DotDisplay, FHD+ (1080 x 2400 piksel), 120Hz (~395 ppi) |
Pemproses | MediaTek Dimensity 1200 5G (6 nm) 1 x 3.0 GHz Cortex-A78 3 x 2.6 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G77 MC9 |
RAM | 8GB RAM |
Muatan Dalaman | 128GB / 256GB ROM |
Kamera Utama | Utama – 108MP (f/1.8) Sudut Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2) Makro-5MP (f/2.4) |
Kamera Swafoto | 16MP (f/2.5) |
Bateri | 5,000mAh Pengecasan Pantas Berwayar 67W |
SIM/Telefoni | SIM Nano + SIM Nano |
NFC | Ada |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP53 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari sisi Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM1,699 (8GB/128GB) RM1,899 (8GB/256GB) |
Reka Bentuk
Ibarat pelanduk dua serupa, itulah yang boleh dikatakan kepada peranti ini apabila ia memiliki reka bentuk yang mirip sepenuhnya seperti Xiaomi 11T Pro. Adakalanya agak sukar untuk membezakan antara kedua-dua model, terutama ketika diletakkan secara bersebelahan.

Xiaomi 11T boleh dikatakan antara peranti yang menarik untuk dilihat, seimbang malah mampu mencipta elemen tersendiri. Ia diserlahkan dengan panel belakang yang melengkung, sekaligus membuatkannya selesa untuk digenggam walaupun mempunyai saiz tubuh yang agak besar. Namun begitu, panel belakang tanpa sebarang tekstur terasa sedikit licin dan sangat mudah memerangkap kotoran cap jari apabila tidak menggunakan sebarang aksesori perlindungan.
Seterusnya, panel belakang turut memperlihatkan modul kamera berbentuk segi empat lengkap dengan tiga sensor utama yang disusun menegak. Dua sensor dengan saiz yang besar menjadi titik fokus pada modul kamera tersebut. Kemudian, ia diikuti satu lagi lensa yang terletak di tengah-tengah antara dua sensor berkenaan.
Bonggol kameranya bagaimanapun sedikit terkeluar daripada tubuh menjadikannya sukar diletakkan secara rata di atas permukaan meja. Justeru, anda disarankan supaya berhati-hati sewaktu menggunakannya. Ini penting bagi mengelakkan sebarang kerosakan yang tidak diingini berlaku pada peranti.

Bagi memantapkan lagi gaya, pilihan warna yang disediakan juga direka khas bagi mereka yang menginginkan penampilan ringkas dan polos, lagi praktikal. Melaluinya, Xiaomi menggunakan beberapa warna yang tidak begitu menonjol bagi menghasilkan daya penarik pada peranti yang lain daripada lain. Antara warna pilihan yang ditawarkan ialah Moonlight White, Celestial Blue dan Meteorite Gray (seperti unit ulasan yang kami terima).
Pada sisi kanan terdapat dua butang untuk kuasa dan kawalan tahap audio. Pada masa sama, butang kuasa ini juga dilengkapi sistem imbasan cap jari. Kedua-duanya mempunyai saiz yang hampir sama tetapi pengalaman menekan butang kuasanya terasa kurang selesa. Ini mungkin disebabkan rekaannya yang rata dan terasa seakan tiada beza dengan bingkai.
Tetapi, perkara positif yang boleh diberikan sistem imbasan jarinya berfungsi dengan baik. Di mana, ia mampu menyahkunci peranti dengan pantas tanpa sebarang masalah. Anda hanya perlu meletakkan jari sahaja dan peranti akan di nyahkunci dengan serta-merta. Untuk kemudahan tambahan, ia turut sama menawarkan fungsi imbasan wajah, yang prestasinya juga boleh dipuji. Ia juga boleh boleh berfungsi dalam gelap tanpa sebarang masalah.

Seterusnya, tiada sebarang butang, lubang atau slot yang ditemui pada sisi bertentangan. Sebaliknya, Xiaomi menempatkan talam SIM pada bahagian bawah bersama-sama dengan pembesar suara dan port sambungan USB-C. Apabila dibuka, ia menyokong dwi-SIM nano tanpa kebolehan sokongan kad mikro SD. Seterusnya, sebuah lagi pembesar suara turut boleh dijumpai pada bahagian atas kerana Xiaomi 11T menyokong pembesar suara jenis stereo. Sokongan Dolby Atmos turut melengkapinya untuk pengalaman audio lebih baik.
Bercakap lebih lanjut mengenainya, sejujurnya kami katakan kemampuan audionya adalah kurang memuaskan. Lontaran audio muzik yang dihasilkan adalah rata, suram dan kurang mengujakan. Malahan, audio yang terhasil juga tidak seimbang. Di mana, bunyi pada bahagian bawah kedengaran lebih lantang. Sementara itu, pembesar suara di bahagian atas pula kedengaran agak perlahan. Meskipun, keadaan ini boleh ditambah baik dengan mengaktifkan sistem Dolby Atmos, namun ia masih belum mampu mencapai tahap kepuasan kami.
Paparan Skrin
Dari segi paparan pula, Xiaomi 11T menggunakan skrin rata sebesar 6.67-inci AMOLED beresolusi FHD+ (2400 x 1080 piksel) dengan kadar segar semula 120Hz. Paparannya juga menggunakan Corning Gorilla Glass Victus sebagai pelindung utama. Kami tidak mempunyai komen negatif untuk skrin rata yang digunakan kerana ia lebih memudahkan penggunaan. Seterusnya, lubang kamera pada peranti turut tidak mengganggu penggunaan kerana saiznya yang kecil. Tidak ketinggalan, saiz bezel juga kelihatan seimbang dengan binaan yang sederhana tebal pada semua bahagian.

Kualiti paparan juga sememangnya baik dan tajam. Paparan warna juga baik dan terang. Ini ditambah dengan sokongan adaptive colour yang berupaya memberikan pengalaman paparan terunggul di setiap persekitaran. Sekaligus menjadikan kandungan pada skrin juga boleh dibaca dengan baik meskipun ketika berada di bawah cahaya matahari. Seterusnya, paparannya juga mempunyai kemampuan untuk memaparkan kandungan HDR10+. Namun, ia tidak menyokong format Dolby Vision seperti yang terdapat pada versi pro.
Penggunaan & Perisian
Menjengah ke bahagian dalaman, Xiaomi 11T menggunakan cip MediaTek Dimensity 1200-Ultra. Menurut MediaTek, penghasilan cip ini adalah sebahagian daripada program MediaTek’s Dimensity Open Resource Architecture. Melaluinya, ia membolehkan pengeluar mengakses perkakasan dan perisian dalaman cip lebih cekap. Ia juga membawakan rekaan cip lapan-teras berkelajuan mencapai 3.0GHz dengan padanan GPU sembilan teras dan pemproses AI berkuasa yang dibina di dalam cip berteknologi 6nm.

Padanan memori pula adalah sebesar 8GB RAM (LPDDR4X) dan storan dalaman sehingga 256GB (UFS 3.1). Pada masa sama, Xiaomi 11T turut menyokong sistem penambahan memori secara maya sehingga 3GB RAM. Tidak ketinggalan, ia juga didatangkan dengan jaminan sokongan tiga versi Android dan tampalan sekuriti selama empat tahun.

Jujur kami katakan, prestasinya boleh dipuji disebabkan oleh pengalaman penggunaan yang cukup memuaskan. Peranti mampu untuk berfungsi dengan baik dan kebanyakan aplikasi dapat dilancarkan tanpa sebarang masalah. Begitu juga dengan prestasi untuk permainan, rata-ratanya boleh dimainkan dengan baik.
Bercakap sedikit mengenai tetapan permua pula, Mobile Legends: Bang Bang boleh dimainkan sehingga grafik tertinggi Ultra, di samping sokongan HD dan HFR Mode yang boleh diaktifkan. Seterusnya, permua-permua lain seperti PUBG Mobile mempunyai tetapan asal grafik pada HD dan kadar bingkai High. Namun, ia masih boleh dimainkan dengan tetapan tertinggi grafik HDR pada kadar bingkai Ultra.
Tetapan tertinggi MLBB Tetapan Tertinggi COD Mobile
Lebih menariknya lagi, ia turut dimainkan dengan kadar bingkai setinggi 90FPS apabila dimainkan pada grafik Smooth. Tapi seperti biasa, tetapan sebegeni sudah tentulah menyebabkan bateri akan menurun dengan cepat. COD Mobile pula mempunyai tetapan asal grafik High dan kadar bingkai High. Tetapi turut boleh dimainkan mencapai kadar bingkai Max apabila dimainkan pada grafik tertinggi Very High.
Tetapan Lalai PUBG Mobile Tetapan Tertinggi PUBG Mobile
Xiaomi 11T dilengkapi antaramuka MIUI 12.5.3 yang berasaskan Android 11. Ia mempunyai rekaan paparan yang ceria, kemas dan cantik. Baik dari segi ikon, mahupun susun aturnya. Aplikasi gendut terpasang juga sedia ada, namun ia masih boleh dinyahaktifkan dengan mudah.



Telefoni
Panggilan telefon dapat dilakukan dengan jelas tanpa masalah. Satu ciri yang turut disokong ialah panggilan telefon menggunakan rangkaian WiFi (VoWiFi) dan VoLTE. Namun begitu, kadang kalanya unit Xiaomi 11T di tangan kami menghadapi masalah rangkaian sepertimana yang boleh ditemui pada sejumlah peranti mampu milik Xaiomi, Redmi atau Poco.
Apa yang kami maksudkan di sini ialah rangkaian 4G yang kurang stabil. Ia kelihatan kerap terputus-putus, lebih-lebih lagi sewaktu peranti digunakan sebagai hotspot. Ini adalah amat mengecewakan kerana kami menggunakan peranti sebagai sumber internet di rumah. Apabila kerap terputus-putus proses melalukan kerja terganggu. Ini bukanlah masalah rangkaian selular telco yang kami gunakan kerana sebaik sahaja SIM dipindahkan ke peranti lain isu ini langsung tidak timbul.
Kamera
Xiaomi 11T menggunakan sistem tri-kamera utama dengan tetapan 108-Megapixel untuk sensor utama. Seterusnya, diikuti dengan 8-Megapixel untuk Ultra-Lebar serta dua lagi lensa sebesar 5-Megapixel untuk sensor telemakro. Pada masa sama, ia juga menyokong LED Flash bersama-sama dengannya. Kemudian, gambar swafoto pula boleh diambil menerusi kamera hadapan 16-Megapixel. Antaramuka kamera sangat mudah difahami dan tiada langsung masalah untuk mengakses setiap mod kamera yang tersedia.

Beberapa fungsi lain turut boleh didapati seperti Night mode 2.0, Photo clones, 108MP mode, Document mode 2.0 dan banyak lagi bagi fungsi tangkapan gambar lebih baik. Tidak ada pilihan video beresolusi 8K di Xiaomi 11T tetapi ia mampu merakam video dengan tetapan tertinggi sehingga 4K/30FPS. Ia bagaimanapu, turut diserlahkan lagi dengan fungsi rakaman video yang pelbagai menerusi ciri seperti Audio zoom, One-click AI cinema, Cinematic Video filters, HDR Video, Pro Time-lapse, Video pro mode, VLOG dan Telemacro Recording.

Menyentuh soal prestasi, kamera utama berfungsi dengan baik untuk kebanyakan situasi. Jelas kelihatam, ia sememangnya mampu menangkap gambar dengan keadaan yang memuaskan, pada masa sama hasilnya juga mempunyai penghasilan semula warna yang boleh diterima.
Namun begitu, sesetengah situasi menunjukkan hasil yang kurang memuaskan. Di mana, masalah MIUI dengan kecerdasan buatan kamera yang tidak konsistem masih boleh ditemui. Seterusnya, peranti sebegini yang menggunakan sensor bersaiz kecil untuk zum sudah pastinya akan menghasilkan butiran yang tidak diperlihara dengan baik. Lebih-lebih lagi sekiranya anda menggunakannya dengan sokongan zum melebihi 2X.



Meskipun ia mampu mengambil gambar yang baik secara amnya. Tetapi, kami perasan adakalanya terdapat juga hasil gambar yang kelihatan pudar untuk sesetengah situasi. Di mana, ini sedikit pertanyaan menimbulkan persoalan yang mana bukankah tangkapan dengan sumber cahaya yang banyak sepatutnya lebih membantu kepada hasil lebih baik?
Pada masa sama, ia juga tidak mempunyai sistem imbangan putih yang baik – di mana warna yang terhasil adakalanya kelihatan tidak begitu tepat dan kelihatan agak pudar. Tangkapan makro bagaimanapun boleh dipuji. Ia mampu menghasilkan gambar makro dengan butiran terperinci bersama warna yang baik.


Tangkapan mod malam pada peranti turut boleh dipuji. Menerusi ujian sebelah menyebelah dengan versi pro, hasil tangkapan pada peranti ini lebih memuaskan terutama dari segi penghasilan semula warnanya. Di mana, ia dilihat mampu mengendali kebanyakan situasi pencahayaan rendah denfan baik sekali.
Meskipun tiada sokongan OIS dan ISP adalah daripada MediaTek, Xiaomi 11T sememangnya mempunyai kualiti yang sedap mata memandang. Untuk makluman, mod malam turut tersedia pada kamera utama dan ultrawide, serta pada tahap zoom 2x.



Keupayaan rakaman video berada di tahap memuaskan. Hasilnya boleh diterima dari segi fokus, warna dan kestabilan. Hingar masih kelihatan, tetapi boleh diterima. Audio juga adalah baik dan ia kemudiannya diserlahkan lagi dengan fungsi Audio Zoom yang sangat membantu dalam rakaman video untuk vlog atau perkongsian di media sosial. Tidak ketinggalan, ia juga mempunyai fungsi telemacro recording yang boleh digunakan untuk rakaman video jarak dekat. Hasilnya juga adalah baik sekali untuk sebuah peranti sebegini.
Bateri
Xiaomi 11T dibekalkan kapasiti bateri sebesar 5,000 mAh. Ia juga menyokong pengecasan pantas berwayar 67W bagi memastikan bateri yang besar ini mampu dicas semula dalam masa yang singkat. Xiaomi mengiklankan bahawa teknologi pengecasan ini mampu mengecas semula peranti secara penuh dalam hanya 36 minit.
Namun begitu, dakwaan berkenaan seakan tidak berasaskan apabila pengalaman penggunaan kami mendapati pengecasan penuh boleh dibuat dalam masa sekitar 55 minit dengan bateri berbaki 3%. Kami turut mengujinya buat kali kedua dan hasilnya adalah sekitar 53 minit dengan bateri berbaki 8%. Untuk makluman, kami menggunakan kepala pengecas dan kabel yang tersedia di dalam kotak bungkusan.
Seterusnya, prestasi ketahan bateri boleh dikatakan cukup memuaskan. Xiaomi 11T mencatatkan bacaan SoT lebih daripada 9 jam untuk penggunaan yang ekstrem. Seterusnya, ia juga boleh mencapai lebih 11 jam lamannya dalam penggunaan yang sederhana. Bagaimanapiun, kesemua ini bergantung juga pada penggunaan anda sendiri.
Pesaing Peranti
Xiaomi 11T | OnePlus Nord2 | Vivo X70 |
6.67-inci AMOLED DotDisplay, FHD+ (1080 x 2400 piksel), 120Hz, HDR10+, FHD+ (~395 ppi) | 6.43-inci Fluid AMOLED, FHD+, (1080 x 2400 piksel), 90Hz, HDR10+, FHD+ (~409ppi) | 6.56-inci AMOLED 120Hz, HDR10+, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~395 ppi) |
MediaTek Dimensity 1200(6 nm) 1 x 3.0 GHz Cortex-A78 3 x 2.6 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 | MediaTek Dimensity 1200(6 nm) 1 x 3.0 GHz Cortex-A78 3 x 2.6 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 | MediaTek Dimensity 1200(6 nm) 1 x 3.0 GHz Cortex-A78 3 x 2.6 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Mali-G77 MC9 | Mali-G77 MC9 | Mali-G77 MC9 |
8GB RAM 128GB / 256GB ROM | 8GB / 12GB RAM 128GB / 256GB ROM | 8GB RAM 128GB ROM |
Utama – 108MP (f/1.8) Sudut Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2) Makro-5MP (f/2.4) | Utama – 50MP (f/1.9) Sudut Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2) Monokrom-2MP (f/2.4) | Utama – 40MP (f/1.9) Sudut Ultra-Lebar – 12MP (f/2.2) Makro-12MP (f2.0), OIS |
16MP (f/2.5) | 32MP (f/2.2) | 32MP (f/2.5) |
NFC | NFC | Tiada |
IP53 | Tiada | Tiada |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Mono |
5,000mAh Pengecasan Pantas Berwayar 67W | 4,500 mAh Pengecasan pantas 65W | 4,400mAh Pengecasan pantas 44W |
RM 1,699 (8GB/128GB) RM 1,899 (8GB/256GB) | RM 1,699 (8GB/128GB) RM 2,299 (12GB/256GB) | RM 2,499 (8GB/128GB) |
Kesimpulan
Kami menyukai Xiaomi 11T. Ia adalah sebuah peranti serba boleh dengan sejumlah penawaran yang menarik. Skrin AMOLED 120Hz yang baik, prestasi mengagumkan, keupayaan kamera yang hebat untuk kebanyakan situasi dan ketahanan bateri yang memuaskan. Ia juga sesuai untuk anda yang menggemari fotografi makro.
Di mana, sensor 5MP untuk tujuan berkenaan mampu menangkap setiap perincian pada subjek atau objek yang cukup jelas. Maka, anda sudah pastinya boleh meneroka lebih luas dunia makro. Lebih menariknya lagi, Xiaomi turut menjanjikan kemas kini jangka masa panjang dengan jaminan sokongan tiga versi Android dan tampalan sekuriti selama empat tahun.
Bagaimanapun, waktu pengecasan masih boleh diterima tetapi tidaklah seperti yang diiklankan oleh Xiaomi. Bagaimanapun, jikalau anda memerlukan peranti dengan sokongan pengecasan yang luar biasa, lebih baik pilih model pro dengan pengecasan pantas 120W. Di Malaysia, Xiaomi 11T dijual pada RM1,699 untuk variasi 8GB/128GB. Kemudian, Xiaomi 11T dengan memori 8GB/256GB pula beharga RM1,899.
Pro
- Binaan baik dengan reka bentuk menarik.
- Skrin adalah baik, terang dan cantik.
- Kadar segar semula 120Hz yang pantas & lancar.
- Cip pemproses dengan prestasi yang unggul.
- Sokongan RAM secara maya membantu prestasi lebih baik.
- Kemampuan kamera yang memuaskan dalam kebanyakan situasi – baik untuk tangkapan foto mahupun rakaman video.
Kontra
- Panel belakang mudah kotor.
- Tiadanya ruang slot microSD.
- Kualiti audio yang tidak seimbang.
- Masalah rangkaian kurang stabil.
- Tiada bicu audio 3.5mm.
