Cari @ Amanz

Jika ditanya apakah model fon kepala kegemaran kami di Amanz, jawapannya mungkin adalah siri XM keluaran Sony kerana sistem pembatalan hingar ANC yang baik dipadankan dengan prestasi bateri yang tahan lama. Malam ini Sony melancarkan sebuah fon kepala dan sebuah fon telinga TWS yang menawarkan ciri premium siri XM4 tetapi dijual pada harga yang lebih mampu milik.

Fon kepala Sony WH-XB910N dilengkapi ANC dengan dua mikrofon berbanding empat pada XM4. Ia mempunyai rekaan boleh lipat lengkap dengan tempat simpanan khas yang melindungi dari sebarang kerosakan. Mod Ambient boleh diaktifkan dengan meletakkan tangan pada cawan telinga kawan mirip sistem yang disokong pada XM3. Dengan sekali caj, WH-XB910N boleh beroperasi sehingga 30 jam.

Ciri 360 Reality Audio Sony turut disokong dengan kawalan audio lebih terperinci boleh dilakukan menerusi aplikasi Sony Headphone Connect. Bercakap mengenai kawalan, pad sesentuh pada telinga diberikan untuk mengawal media yang sedang didengari.

Bagi mereka yang menambat kepada peranti pintar, pembantu maya Google Assistant dan Amazon Alexa boleh diseru. Selain itu bagi pengguna Android, fon kepala boleh ditambat dengan pantas menerusi sokongan Google Fast Pair. WH-XB910N dijual pada harga €200 (~RM972) dalam warna hitam dan biru.

Sony WF-C500 pula ialah fon telinga mampu milik yang menyokong ciri DSEE yang meningkatkan kualiti audio dari sumber asal dan 360 Reality Audio. Setiap putik audio boleh bertahan sehingga 10 jam atau sehingga 20 jam dengan bantuan pod pengecas.

Ia boleh digunakan untuk bersenam kerana melepasi piawaian kalis peluh IPX4. Seperti WH-XB910N, WF-C500 boleh dikawal profil audionya menggunakan aplikasi Sony Headphone Connect dan menyeru pembantu maya popular Google Assistant serta Amazon Alexa. Fon telinga ini turut menyokong Fast Pair pada peranti Android. Harga jualannya ialah €100 (~RM486) dengan pilihan warna hitam, putih, ice green dan coral orange.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd