Carian
Kecerdasan Buatan Deepmind Kini Mampu Meramal Hujan Dengan Ketepatan Tinggi
September 30, 2021 Effi Saharudin

Bermula dengan bermain Go kemudian Starcraft, kecerdasan buatan Deepmind kini membuktikan ia boleh digunakan di luar permainan video sahaja. Dalam sebuah kertas kajian yang diterbitkan di jurnal Nature ia kini mempunyai kemampuan meramal hujan sehingga 2 jam sebelum ia turun.

Deepmind bekerjasama dengan Met Office – Jabatan Kajicuaca UK – untuk meramal hujan menggunakan kecerdasan buatan. Data dari presipitasi dan radar beresolusi tinggi dimasukkan ke dalam Deepmind untuk diproses untuk ramalan hujan yang diberi nama Nowcasting. Data yang dikumpul adalah pada frekuensi tinggi setiap lima minit dalam lingkung 1 kilometer. Apabila dibandingkan dengan ramalan dilakukan oleh 50 pakar meteorologi, ramalan yang dilakukan oleh Deepmind adalah sehingga 89% lebih tepat.

Nowcasting adalah penting terutamanya untuk sektor pengurusan air, pertanian, penerbangan, perancangan kecemasan, dan acara yang dilakukan di luar. Ia adalah amat perlu terutamanya dengan dunia yang kini berhadapan dengan isu perubahan iklim.

Seperti yang dapat kita lihat berlaku di Eropah dan negara kita sendiri, hujan lebat menghasilkan banjir kilat yang mengakibatkan berlakunya kerosakan teruk. Ramalan awal yang lebih tepat boleh memberikan amaran kepada penduduk di kawasan berisiko tinggu untuk melakukan persediaan atau keluar sebelum terlambat.

Sumber Deepmind

Komen