Samsung sebelum ini sedia hadir penawaran Samsung Galaxy A03s. Ia hadir dengan spesifikasi kelas asas menerusi janaan cip MediaTek Helio P35. Di Malaysia, ia boleh dibeli pada harga RM559 untuk seunit.

Terkini, timbul pula desas-desus baharu yang mengatakan jenama ini dalam perancangan untuk hadir dengan Samsung Galaxy A03, yang mana bakal menjadi versi lebih berpatutan. Malah, peranti berkenaan juga telah ditemui tersenarai menerusi beberapa laman pensijilan termasuklah FCC dan Geekbench.
Bercakap lebih lanjut mengenainya, penyenaraian FCC menunjukkan bahawa peranti akan dilengkapi bateri 5,000mAh. Seterusnya, Geekbench pula mendedahkan ia akan menggunakan cip keluaran UNISOC.
Penyenaraian bagaimanapun, tidak pula mendedahkan jenis cip secara khusus. Namun beberapa sumber menyasarkan, terdapat kebarangkalian tinggi untuk peranti ini dilengkapi cip UNISOC SC9863A.

Seterusnya, ia juga akan menampilkan memori sebesar 2GB RAM dan menjalankan sistem operasi terkini Android 11 yang mungkin berasaskan OneUI 3.1 (Core).
Tidak ketinggalan, penyenaraian dilihat turut sama memperlihatkan kutipan untuk markah penanda aras – di mana ia mencatatkan 123 mata untuk ujian satu teras. Sementara itu, sebanyak 468 mata pula untuk ujian pelbagai teras. Maklumat mengenai tarikh pelancarannya masih menjadi misteri setakat ini.
Sumber : Sammobile, Gizmochina