Nothing adalah syarikat yang ditubuhkan oleh Carl Pei selepas beliau keluar dari OnePlus. Syarikat ini menerima pelaburan daripada ramai syarikat teknologi besar seperti Google, pempengaruh seperti Casey Neistat dan ramai lagi. Produk pertama mereka adalah Nothing Ear (1), iaitu TWS dengan rekaan yang unik.
Ear (1) adalah set fon telinga nirwayar sebenar pertama mereka yang ditala oleh Teenage Engineering. Ia menggunakan rekaan lutsinar yang seksi, cantik dan kelihatan sungguh menawan. TWS ini turut hadir dengan pemacu audio sebesar 11.6 mm, sokongan pembatalan hingar aktif (ANC), tangkai dengan pad sesentuh untuk kawalan gestur dan melepasi piawaian IPX4.

Setiap fon telinga boleh beroperasi selama 4.5 jam dengan ANC dan sehingga 24 jam dengan bantuan pod pengecas merangkap pod simpanan. Manakala tanpa ANC masa penggunaan boleh melangkau sehingga 30 jam. Terkini pihak Nothing Malaysia telah mengesahkan yang produk ini akan dijual di Malaysia secara rasmi.
Mereka juga sudah hadir dengan kedai atas talian rasmi mereka di Shopee, Nothing_OS. Harga jualan walau bagaimanapun masih tidak diumumkan, begitu juga dengan tarikh jualan. Di luar negara, ia dijual pada harga $99 iaitu sekitar RM413.