Ada Apa Dengan Windows 11?

Diterbitkan pada Okt 6, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Microsoft hari ini telah melancarkan sistem operasi terbaru mereka, Windows 11 yang boleh dibeli dan dimuat-turun oleh khalayak umum selepas diuji melalui program Windows Insider untuk beberapa bulan. Microsoft sebelum ini mengatakan bahawa Windows 10 merupakan pelancaran sistem operasi mereka yang terakhir, dan akan menerima kemaskini berkala sahaja.

Bagi anda yang masih lagi berada diatas pagar mengenai penawaran sistem operasi baru ini, ini adalah 11 perkara mengenai Windows 11 yang mungkin akan membantu anda membuat keputusan untuk menggunakan sistem operasi ini sekarang atau tunggu sehingga fungsi-fungsi yang dijanjikan ini ditawarkan kepada pengguna secara rasmi kelak.

Kemaskini Percuma Dari Windows 10 Ke Windows 11

Bermula dengan Windows 7 dan Windows 8 ke Windows 10, Microsoft dilihat menawarkan kemas kini percuma untuk pengguna sistem operasi Windows 10 ke Windows 11 secara percuma. Akan tetapi, kemas kini percuma ini hadir dengan sejumlah kaveat yang perlu dilepasi terlebih dahulu sebelum anda boleh memuat-turun dan menggunakan sistem operasi ini.

Pertama ialah komputer anda harus melepasi spesifikasi minima untuk menggunakan sistem operasi tersebut, dimana komputer anda harus menggunakan sekurang-kurangnya cip pemprosesan Intel generasi kelapan Coffee Lake, memori DDR4 4GB dan mempunyai storan sekurang-kurangnya 64GB bersama-sama sokongan untuk cip sekuriti TPM 2.0.

Untuk memudahkan proses mengenalpasti sama ada spesifikasi komputer anda menepati piawaian Windows 11, anda boleh memuat-turun aplikasi PC Health Check yang akan memberitahu anda dengan cepat jika ia layak menggunakan sistem operasi tersebut.

Halangan utama pengguna pada hemat kami kemungkinan ialah sokongan untuk Trusted Platform Module 2.0, yang mungkin dinyah-aktifkan secara lalai walaupun spesifikasi komputer lain semuanya cukup berkuasa untuk menggerakkan sistem operasi ini.

Menurut Microsoft, kemaskini percuma Windows 11 untuk pengguna Windows 10 akan bermula hari ini secara berperingkat, di mana mereka menjangkakan ia akan mengambil beberapa bulan untuk dikemaskini ini ditawarkan kepada semua pengguna Windows 10 sedia ada.

Pemasangan Sistem Operasi Sama Seperti Sebelum Ini

Jika anda pernah memasang sistem operasi Windows 10 sebelum ini, memasang sistem operasi Windows 11 adalah sama seperti sebelum ini. Perbezaannya hanyalah tiba melalui rekaan latar belakang apabila anda memasang sistem operasi ini yang memperlihatkan antaramuka Windows 11 yang lebih baru.

Microsoft menawarkan beberapa cara untuk anda memasang sistem operasi terbaru mereka. Pertama ialah melalui notifikasi kemas kini yang akan mengatakan bahawa komputer anda kini sedia untuk menggunakan sistem operasi tersebut.

Ciri ini mula diperkenalkan pada hari ini, tetapi kebarangkaliannya ialah anda mungkin perlu menunggu beberapa hari, minggu ataupun bulan sebelum penawaran automatik ini akan diberikan. Dalam pada itu, ini mungkin satu kelebihan buat mereka yang masih mahu menunggu dan melihat bagaimanakah sistem operasi ini berfungsi sebelum mereka membuat keputusan mahu menaiktaraf sistem operasi ataupun tidak.

Jika anda tidak mahu menunggu untuk Microsoft memberikan anda kemaskini tersebut, anda boleh ke laman web Microsoft untuk memuat-turun sistem operasi ini melalui aplikasi Windows 11 Installation Assistant ataupun membuat sendiri bootable disk dengan perisian ISO dan sebuah storan USB.

Sekiranya anda sudahpun mempunyai kod lesen WIndows 10 sedia ada, ia boleh digunakan untuk mengaktifkan salinan Windows 11 anda.

Antaramuka Sistem Operasi Serba Baru

Apabila bercakap mengenai sistem operasi baru, perubahan paling besar yang dapat dilihat ialah melalui antaramuka yang ditawarkan. Dari Windows 95 ke Windows XP, Windows 7, Windows 8 dan Windows 10, perubahan dari segi antaramuka boleh dikatakan cukup ketara, tetapi kesemua antaramuka ini menggunakan rekaan sama yang mana Start Menu mengandungi pintasan kepada tetapan dan juga perisian yang dipasang.

Windows 11 dilihat menggunakan antaramuka yang sedikit berbeza kali ini. Bahagian bar tugas masih lagi merumahkan ikon perisian yang paling banyak digunakan, tetapi Start Menu baru ini dilihat sebagai gabungan Start Menu sebelum ini dan fungsi carian Spotlight yang digunakan pada peranti-peranti Apple.

Perubahan antaramuka lain yang dapat dilihat pada Windows 11 juga termasuklah pelayar fail yang baru dan menu tetapan yang lebih diselarikan untuk memudahkan pencarian tetapan yang diperlukan dalam satu menu yang mudah difahami.

Fungsi seperti Mod Gelap juga dililhat kini benar-benar menukar keseluruhan antaramuka sistem operasi ini ke warna yang lebih gelap, dan untuk perisian yang menyokongnya, tetapan ini juga akan menukar antaramuka perisian mereka ke mod lebih gelap.

Sokongan Aplikasi Parti Ketiga Yang Lebih Menyeluruh

Salah satu daripada kelebihan menggunakan komputer dengan sistem operasi Microsoft Windows ialah kebolehan untuk memuat-turun perisian secara lebih terbuka, Dengan pengenalan Windows 10, Microsoft turut memperkenalkan Microsoft Store yang merumahkan perisian “rasmi” yang dijanjikan lebih selamat untuk kegunaan pengguna.

Apabila Microsoft memperkenalkan sistem operasi Windows 11, mereka nampaknya telah mengembangkan pengesahan perisian selamat ini ke lebih banyak perisian, sebagai contohnya pelayar web Opera, yang boleh dikatakan pesaing kepada pelayar web Microsoft sendiri, iaitu Microsoft Edge.

Bukan itu sahaja, Microsoft juga baru-baru ini membuat pengumuman mengejutkan dimana Microsoft Store juga akan merumahkan perisian gedung digital daripada syarikat-syarikat lain seperti Amazon dan Epic Games melalui Microsoft Store, dimana pengguna sistem operasi ini boleh memuat-turun Amazon Appstore dan Epic Games Store secara lebih rasmi, lengkap dengan pengesahan dari Microsoft.

Integrasi Perkhidmatan Microsoft Yang Lebih Mudah

Tahun 2020 dan 2021 merupakan dua tahun dimana perisian telesidang seperti Zoom, Google Meet dan Microsoft Teams digunakan dengan sangat meluas khususnya untuk tujuan bekerja dan pembelajaran dari rumah. Dengan pelancaran sistem operasi Windows 11, Microsoft juga dilihat mengambil kesempatan untuk mengintegrasikan perisian Teams kepada sistem operasi ini.

Ini bermakna bahawa dengan akaun Microsoft sedia ada anda, anda akan dapat menyelarikan semua perkhidmatan Microsoft yang anda gunakan seperti Office 365, Microsoft Edge dan Microsoft Teams yang lebih menyeluruh, memudahkan penyelarian data di antara peranti juga.

Penawaran ini memperlihatkan bahawa Microsoft juga sedar bahawa fokus terhadap produktiviti kerjasama adalah sama penting seperti produktiviti individu, disamping aspek-aspek lain penawaran sebuah sistem operasi baru untuk memudahkan orang ramai membiasakan diri dengan norma produktiviti jarak jauh terbaru.

Sistem Operasi Terbaik Untuk Gamer Tegar

Jika anda seorang gamer PC yang tegar, penaiktarafan kepada sistem operasi Windows 11 juga mungkin sesuatu yang anda akan mahu cuba. Bagi gamer yang sudahpun memiliki perkakasan-perkakasan dan komponen gaming yang terkini dan paling berkuasa, Windows 11 dilihat menawarkan tiga fungsi gaming yang kami pasti anda akan sangat suka gunakan.

Pertama ialah aplikasi Xbox App yang telah dikemaskini untuk menunjukkan permainan-permainan dengan lebih minimalistik, dan memudahkan pengguna untuk memulakan sesi permainan mereka dengan cepat. Jika anda melanggan perkhidmatan Xbox Game Pass Ultimate, kebolehan untuk menstrim permainan kegemaran melalui xCloud juga lebih mudah menggunakan aplikasi ini.

Jika anda memiliki sebuah paparan skrin yang menyokong teknologi HDR, Windows 11 juga hadir dengan teknologi AutoHDR yang akan secara automatiknya menukar mod paparan anda kepada mod HDR apabila anda memainkan kandungan yang menyokongnya, tidak kira melalui perkhidmatan penstriman video ataupun permainan komputer kegemaran anda.

Jika anda memiliki sebuah kad grafik AMD Radeon RX 6000 ataupun NVIDIA GeForce RTX 2000/3000, API DirectX 12 Ultimate turut diperkenalkan pada sistem operasi Windows 11 yang akan membolehkan pengguna untuk menikmati grafik dengan teknologi Ray-tracing yang menjanjikan pengalaman gaming yang ultra realistik dengan penggunaan sumber grafik yang lebih cekap.

Dengan pengenalan konsol Xbox Series X, Microsoft juga dilihat memperkenalkan ciri Direct Storage yang membolehkan kad grafik untuk memproses terus data grafik permainan dari storan ke kad grafik tanpa perlu melalui CPU ataupun RAM.

Ciri Direct Storage ini juga diperkenalkan pada Windows 11 untuk membolehkan permainan dimainkan pada resolusi dan tetapan tinggi tanpa perlu membebankan CPU dan memori. Akan tetapi, untuk ciri ini, anda akan memerlukan sebuah kad grafik yang menyokong DIrectX 12 Ultimate dan juga storan SSD NVMe dengan kapasiti minima 1TB.

Gerakkan Aplikasi Android Melalui Windows 11

Salah satu ciri mengejutkan yang diperkenalkan oleh Microsoft sewaktu acara pengumuman Windows 11 ialah kebolehan sistem operasi tersebut untuk menggerakkan perisian Android tanpa memerlukan perisian parti ketiga.

Pengguna akan boleh memuat-turun aplikasi Android melalui Amazon Appstore yang akan diperkenalkan tahun hadapan, dan menggerakkan aplikasi-aplikasi ini melalui proses virtualisasi terbina dalam Windows 11. Kami menjangkakan di antara sebab mengapa fungsi ini hanya akan diperkenalkan pada tahun hadapan ialah untuk memudahkan pengguna untuk menggerakkannya tanpa terlalu banyak pengetahuan teknikal.

Disamping itu, pengenalan format fail AAB yang menggantikan APK juga boleh dikatakan salah satu alasan mengapa sokongan untuk menggerakkan aplikasi Android masih tertunda buat masa ini.

Fungsi Sekuriti Yang Lebih Menyeluruh

Secara lazimnya, keselamatan atau sekuriti digital sebuah sistem operasi bergantung kepada pelbagai aspek. Pertama ialah dari segi perkakasan dan komponen yang digunakan. Dengan Windows 11, ini dapat dilihat melalui keperluan menggunakan cip pemprosesan yang hadir dengan sokongan untuk teknologi sekuriti seperti SecureBoot dan Trusted Platform Module yang disokong melalui siri CPU Intel generasi kelapan Coffee Lake dan AMD Ryzen 3000.

Kunci kepada sistem keselamatan Windows 11 hadir melalui ciri virtualisasi yang dinamakan Virtualization Based Security (VBS) memanfaatkan ciri-ciri yang saya katakan diatas. Gabungan cip fizikal dan perisian akan mengurangkan vektor serangan penggodam, membuatkan sebuah komputer untuk lebih sukar digodam dari luar.

Windows 11 juga dilihat akan menyokong satu teknologi TPM baru yang dinamakan Pluton. Secara ringkasnya, ia adalah sebuah cip yang terbina yang akan digunakan sebagai pengantara diantara CPU dan juga cip TPM supaya kedua-dua komponen ini boleh berkomunikasi diantara satu sama lain secara selamat, kerana maklumat yang disulitkan cip ini tidak boleh dicuri oleh mana-mana pihak.

Ringkasan

Dengan pelancaran Windows 11, Microsoft dilihat memperkenalkan banyak penambahbaikan dari segi antaramuka, fungsi dan pelbagai ciri-ciri dari segi penggunaan biasa, gaming dan juga sekuriti yang memang sangat diminta oleh pengguna.

Akan tetapi, keperluan komponen yang lebih moden boleh juga dilihat sebagai slaah satu kelemahan yang sangat ketara, khususnya bagi majoriti pengguna yang masih lagi menggunakan siri CPU yang lebih tua daripada 3-4 tahun.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami