Cari @ Amanz

Google TV ialah pelancar kepada Android TV yang diperkenalkan menerusi Chromecast with Google TV tahun lalu. Satu isu yang sentiasa menjadi rungutan pengguna ialah Android TV tidak menyokong profil untuk pengguna berbeza di dalam isi rumah yang sama. Akaun YouTube hanya boleh digunakan oleh satu akaun. Akibatnya apabila anak menonton YouTube, algoritma peribadi boleh terganggu kerana kandungan berbeza dari biasa ditonton.

Menurut The Verge, bermula bulan depan Google TV akan akhirnya menyokong ciri Profile. Menerusinya peranti Google TV boleh memaparkan profil khusus untuk pengguna berbeza seperti yang dilakukan oleh Netflix dan Amazon Prime Video. Kandungan yang lebih relevan akan disarankan kepada pengguna berdasarkan apa yang ditonton sebelum ini. Tiada lagi isu ia bercampur aduk dengan isteri, teman wanita, suami, adik beradik atau anak. Ciri ini akan diberikan kepada Chromecast with Google TV dan televisyen pintar Google TV keluaran Sony dan TCL terlebih dahulu.

Turut akan diberikan kelak ialah ciri “glanceable cards”. Kad dengan maklumat mengenai cuaca, keputusan sukan dan berita terkini akan dipaparkan ke skrin ketika mod Ambient. Dengan ini maklumat yang penting dalam dilihat pada skrin dan bukan sekadar imej latar belakang statik yang digunakan sekarang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd