Carian
iPhone Dengan USB-C Kini Realiti Menerusi Proses Modifikasi Buatan Sendiri
October 12, 2021 Effi Saharudin

Apple enggan menggunakan port USB-C pada iPhone 13 tahun ini sekaligus membuatkan kami kecewa untuk dua tahun berturut-turut. Mengecewakan sekali keran iPad Pro dan iPad Mini tidak mempunyai masalah menggunakan port yang kini menjadi kegunaan biasa pada pelbagai peranti Android. Kerana Apple terlalu lambat menawarkan iPhone USB-C, Ken Pillonel seorang jurutera menambahnya sendiri pada peranti milik beliau.

Ken Pillonel menggantikan port Lightning pada iPhone X milik sendiri dengan USB-C. Setakat ini hanya video pendek dimuat naik pada akaun YouTube untuk membuktikan ia benar-benar berjaya dilakukan dan berfungsi seperti sepatutnya. Projek memakan masa beberapa bulan kerana memerlukan perancangan dan komponen bagi memastikan peranti boleh berfungsi pasca ubahsuai.

Ramai meminta USB-C digunakan pada iPhone bukan sahaja untuk menyeragamkan kepala pengecas seperti yang diinginkan Kesatuan Eropah tetapi juga untuk menikmati kelajuan pemindahan data yang lebih pantas. Ini bukanlah projek modifikasi iPhone yang pertama dihasilkan. Beberapa tahun yang lalu saluran Strange Parts berjaya menambah semula bicu audio 3.5mm pada sebuah iPhone 7. Saluran yang sama juga berjaya membina sendiri iPhone menggunakan komponen yang dibeli di China.

Sumber AppleInsider

Komen