Carian
Nothing Ear (1) Kini Rasmi Di Malaysia – Berharga RM499
October 13, 2021 Fahim Zahar

Nothing ear (1) akhirnya dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Selepas satu minggu mengacah kehadiran produk ini oleh pihak Nothing Malaysia melalui laman rasmi Shopee mereka, TWS yang hangat di Internet ini boleh dibeli oleh anda jika berminat dengannya.

Ia adalah produk audio pertama daripada Nothing, yang mana adalah syarikat milik Carl Pei selepas beliau meninggalkan OnePlus. Syarikat ini dibiayai oleh ramai orang, termasuk Google, selebriti seperti Casey Neistat dan banyak lagi. Ia juga merupakan produk TWS pertama yang ditala oleh Teenage Engineering yang pakar dalam audio serta rekaan unik.

Bercakap mengenai rekaan unik, set fon telinga nirwayar sebenar ini menggunakan rekaan lutsinar pada pod pengecas/kerangka simpanan, serta pada kedua-dua fon telinga. Komponen dalaman juga direka dengan rapi serta diberi penuh perhatian. Ia adalah TWS dengan rekaan novelti bagi yang sukakan rekaan unik dan aneh.

Nothing ear (1) hadir dengan pemacu audio 11.6 mm, sokongan pembatalan hingar aktif, mempunyai mod tembus bunyi, serta tambatan pantas Google Fast Pair. Terdapat tiga mikrofon terbina pada produk audio ini dengan bantuan algoritma tersendiri.

Ia juga mempunyai perlindungan IPX4, pengecasan USB-C dengan ketahanan bateri sehingga 24 jam dengan ANC atau 30 jam tanpa ANC. Pengecasan turut boleh dilakukan secara nirwayar melalui pengecas Qi atau pada belakang telefon pintar yang menyokongnya.

Pengguna juga boleh menggunakan aplikasi untuk mengawal TWS ini, seperti mengubah kepada mod suara, menambah bass, menambah trebel. Aplikasi ini juga boleh digunakan mencari fon telinga ini jika hilang. Selain itu, kawalan sentuhan pada permukaan setiap fon telinga turut ditawarkan.

Harga jualan Nothing ear (1) di Malaysia adalah RM499. Anda boleh mula beli bermula 17 Oktober ini.

Komen