Beberapa hari lepas, maklumat mengenai kemaskini Pixel 6 dan Pixel 6 Pro telah tertiris. Dua peranti ini disahkan melalui imej promosi rasmi Google yang tertiris akan menerima kemaskini tampalan sekuriti selama lima tahun. Ini adalah pertama kali untuk Pixel yang selama ini hanyalah sekitar 2-3 tahun sahaja.
Dengan cip pemprosesan tersendiri, Google mempunyai kawalan yang lebih dalam pembangunan berbanding bergantung kepada pihak lain. Tetapi kemaskini sistem operasi tidak diketahui lagi, sehinggalah hari ini apabila peniris @_snoopytech_ yang sejak kebelakangan ini mendedahkan banyak informasi yang tepat menyatakan Pixel 6 dan Pixel 6 Pro akan menerima kemaskini sistem operasi selama empat tahun.
Jika Pixel 6 dilancarkan dengan Android 12, ini bermakna peranti ini akan menerima kemaskini sehingga Android 16 pada tahun 2025 dan akan bertahan sehingga 2026. Buat pertama kalinya peranti Android ada ketahanan yang lama seakan iPhone. Semalam juga imej pengolokan rasmi kedua-dua peranti ini telah tertiris sepenuhnya.
Sama-sama kita nantikan pengumuman lebih lanjut.