Ini Komen TM Berkaitan Peralihan Pelanggan Unifi Ke IP Peribadi

Diterbitkan pada Okt 15, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Lanjutan daripada laporan semalam, kini pihak Telekom Malaysia telah mengeluarkan kenyataan rasmi kepada pihak Amanz, dan berkongsi lanjut berkenaan perubahan ini. Berikut merupakan kenyataan pihak TM berkaitan peralihan pengguna Unifi ke IP peribadi:

“Dengan peningkatan ketara penggunaan Internet, Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) di seluruh dunia berdepan dengan kekurangan alamat IPv4. Oleh yang demikian, TM telahpun mula memindahkan pelanggan unifi ke IP peribadi bagi membolehkan sambungan yang lebih lancar dan keselamatan yang lebih terjamin. Peralihan ini akan melibatkan pelanggan unifi yang melanggan pakej unifi 30Mbps, 50Mbps dan 100Mbps dan kini menggunakan alamat Protokol Internet (IP) IPv4 awam yang dinamik. Pelanggan-pelanggan ini sedang dialihkan ke IP peribadi, yang akan membolehkan mereka menikmati sambungan yang lebih lancar di dalam persekitaran yang lebih terjamin. 

Proses ini akan dilaksanakan secara jarak jauh oleh pihak TM, oleh itu, tiada sebarang tindakan perlu diambil oleh para pelanggan yang terlibat dengan proses peralihan ini. 

Para pelanggan yang menggunakan CCTV berasaskan IP dan pengehosan yang telah dikenalpasti (known hosting) tidak akan terjejas kerana mereka akan dikecualikan daripada aktiviti peralihan ini. 

Aktiviti ini sedang berjalan, dengan tempoh gangguan yang minimal (jika ada) iaitu antara 2 – 5 minit. Setelah aktiviti peralihan ini selesai sepenuhnya, prestasi sambungan internet para pelanggan tidak akan terjejas. Kesemua pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan terlebih dahulu berkenaan aktiviti ini. 

TM percaya aktiviti ini dapat memberikan lebih jaminan keselamatan kepada para pelanggan unifi semasa mereka melayari Internet atau menggunakan alatan dan aplikasi dalam talian. TM sentiasa meningkatkan dan memperbaiki penawaran produk TM untuk memenuhi keperluan dan penggunaan pelanggan daripada pelbagai segmen yang sentiasa berubah.”

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami