Xiaomi beberapa bulan lalu telah melancarkan Mi TV Q1 mereka di Malaysia, iaitu televisyen pintar Android TV dengan panel paparan QLED yang dijual pada harga lebih kompetitif berbanding pesaing. Xiaomi menjualnya pada harga RM7,999 yang mana jika kita lihat pesaing TV dengan panel ini dijual pada harga mencapai belasan ribu.
Persoalannya adalah televisyen ini berbaloi untuk dimiliki? Bagaimanakah kualiti paparan, kualiti audio dan pengalaman penggunaannya sebagai medium hiburan. Televisyen ini sudah tiba di Makmal Amanz sejak beberapa bulan lalu dan selepas kami mengujinya ini adalah artikel ulasan kami.
Mi TV Q1 | |
---|---|
Skrin | 75-inci QLED, 3840 x 2160, 4K UHD 120Hz, Dolby Vision, HDR10+, HDR10, HLG |
Pemproses | MediaTek MT9611 Kuad-teras 1.5GHz |
Cip Grafik | Mali G52 MP2 |
Sistem Operasi | Android TV 10 |
Memori/Storan | 2/32 GB |
Audio | 2x 15W stereo 2x tweeters + 4x woofers Dolby Audio, DTS-HD |
Sambungan | Bluetooth 5.0, WiFi 2.4GHz/5GHz HDMI 2.0 x2, HDMI 2.1 eARC/ALLM x1 USB 2.0 x2 AVDigital tuner x1 LAN/Ethernet x1, Optical x1 Bicu audio 3.5mm x1, DVB-T2/C x1 DVB-S2 x1 |
Harga Jualan | RM7999 |
Apa Yang Patut Anda Tahu
QLED adalah alternatif kepada OLED. Tetapi masih tidak sehebat OLED, dan apa sebenarnya panel ini? QLED adalah akronim bagi quantum dot light-emitting diode. Ia adalah satu teknologi bagi menyelesaikan masalah burn-in. QLED ini dihasilkan oleh Samsung, yang mana rekaan panel LED itu direka dengan konsep titik kuantum. LED bersaiz kecil memfokuskan kepada warna biru dan saiz LED yang lebih besar memfokuskan kepada warna merah.
Penggunaan QLED sudah semakin berleluasa, jadi kos pembangunan panel ini sudah menjadi semakin murah jika dibandingkan dengan mini-LED atau micro-LED. Televisyen ini juga adalah antara yang terawal di Malaysia terus hadir dengan Android TV 10 yang lebih baharu selepas bertahun pasaran Malaysia hanya mempunyai Android TV 8 atau 9.
Televisyen ini juga boleh dikatakan antara yang termurah di Malaysia dengan panel QLED. Bukan itu sahaja, perkara lain yang perlu tahu adalah rekaan televisyen ini yang begitu premium seakan berada dalam kelas atasan dan televisyen yang mewah. Saiz 75-inci ini juga besar sehinggakan di media sosial apabila kami kongsi gambar, ada yang katakan adakah ini sejenis perabot dinding penghadang?
Bezel nipis, di belakang ada sokongan VESA, kaki juga besar dan lebar memberikan kestabilan tambahan dan menjadi televisyen lebih kukuh, serta hadir dengan sambungan 2x port HDMI 2.0, 1x port HDMI 2.1 eARC, 2x USB-A 2.0, port Ethernet, optikal, RF, Bluetooth 5.0 dan juga sambungan WiFi (2.4GHz/5GHz). Untuk audio, ia hadir dengan sistem stereo daripada 2x pemacu 15W, 2x tweeter dan terdapat 4 woofer.
Apa Yang Menarik
Warna skrin ini adalah antara yang terbaik pernah kami saksikan. Ia seakan OLED kerana warna hitam yang cukup gelap dan dalam. Hasil warna yang terang dan cantik kerana sokongan Dolby Vision, HDR 10-HLG dan HDR 10+ yang boleh ditonton pada Disney+ Hotstar, Netflix, Prime Video atau juga YouTube. Kecerahan juga adalah sangat terang dan memuaskan untuk penggunaan sepanjang hari. Terdapat sokongan 120Hz yang menjadikan antaramuka sedikit lebih pantas apabila menggunakan alat kawalan untuk memilih aplikasi, menukar tetapan dan lain-lain.
Sepanjang menguji televisyen ini, pengalaman menonton adalah baik sekali. Untuk saya yang pertama kali menguji panel paparan QLED, berani saya katakan kualitinya menghampiri satu paparan OLED. Tidak dinafikan yang QLED adalah alternatif terbaik sementara menanti penggunaan mini-LED atau micro-LED menjadi lebih baik dan berleluasa serta dijual pada harga mampu milik.
Skrin yang besar dengan bezel nipis memang memberikan satu pengalaman menonton yang berlainan. Jika menggunakan akaun Amerika Syarikat, antaramuka Android TV 10 menjadi mirip Google TV yang menarik digunakan dengan pelbagai cadangan kandungan, serta memberikan penggunaan yang lebih menarik kerana ia lebih kemas dan cantik.
Saiz gergasi ini juga sudah memberikan penggunaan yang menarik, apatah lagi jenama lain yang menawarkan saiz sehingga 85-inci atau juga yang lebih besar. Televisyen ini juga sudah cukup cantik dan selesa dilihat di atas rak, dan kami dapat bayangkan yang ia juga akan kelihatan cantik di dinding atau panel lain jika menggunakan VESA.
Aplikasi PatchWall juga sebagai hab multimedia adalah satu konsep yang menarik, mengumpulkan banyak perkhidmatan penstriman di satu tempat. Aplikasi-aplikasi mengurus media juga menarik untuk muzik, gambar-gambar dan video tersendiri – ia mudah digunakan. Ia juga boleh dikatakan sebagai satu pelancar yang lebih mudah digunakan bagi mereka yang ingin rasakan penggunaan tidak memeningkan.
Perkara menarik seterusnya adalah sokongan sambungan port yang banyak dan paling menarik ada sokongan HDMI 2.1 eARC yang membenarkan pengguna sambungkan pada aksesori audio bangsawan. Jadi seseorang pengguna tidak menggemari hasil audio daripada televisyen ini, mereka boleh gunakan sistem audio tersendiri untuk memuaskan hati – menjadikan televisyen ini sebagai satu skrin yang berkualiti sahaja.
Port RF, optikal, Ethernet, semuanya disediakan untuk memudahkan lagi pengguna memanfaatkan televisyen ini agar boleh menjadi teater rumah tersendiri. Hasil audio juga adalah cukup kuat dan lantang untuk digunakan di dalam pejabat atau rumah. Penggunaan banyak pemacu, woofer dan tweeter benar-benar membantu memberikan pengalaman pendengaran menyeluruh.
Alat kawalan jauh pula direka dengan rekaan yang kami boleh terima, ada dua butang rata untuk akses pintas ke platform penstriman video. Butang-butang tersedia juga cukup banyak dan membantu walaupun ada beberapa yang sedikit mengelirukan, tetapi boleh dimaafkan.
Apa Yang Tidak Menarik
Tiada apa-apa yang negatif boleh diberikan pada kualiti warna dan skrin kecuali daripada masalah perisian sahaja. Ini kerana, jika ingin mengubah tetapan warna atau kecerahan – televisyen ini tidak mempunyai atau tidak mengeluarkan tetapan ia tersendiri. Sebaliknya menggunakan sistem Android TV sepenuhnya. Perkara ini agak menjengkelkan, kerana apabila mengubah tetapan warna ini – ia tidak memaparkan secara langsung semasa melaras dan hanya boleh lihat perubahan apabila keluar daripada tetapan.
120Hz pada televisyen ini kami rasakan hanyalah simulasi daripada perisian sahaja. Pada pelancar atau skrin utama, tidak ada rasa 120Hz langsung. Sekurang-kurangnya pada televisyen Huawei yang pernah kami uji sebelum ini dapat rasa bezanya. Kemudian port HDMI 2.1 pun tidak menyokong 4K 120Hz pada PlayStation 5. HDR juga tidak disokong untuk konsol permainan generasi baharu ini. Kami sudah usaha lakukan pelbagai hack untuk cuba turut tidak berjaya.
Masalah yang sama dilihat pada Skyworth. Televisyen, lain walaupun ada yang menggunakan Android TV – mereka masih mempunyai sistem tetapan televisyen itu sendiri. Contohnya ingin tukar ke saluran HDMI lain, tukar ke sumber audio dan sebagainya. Mereka seakan menggunakan dongel Android TV. Tetapi Mi TV Q1 ini bergantung sepenuhnya dengan PatchWall dan Android TV menjadikan tetapan sistem sedikit leceh.
Bercakap mengenai sistem lagi, Android TV pada televisyen ini walaupun sudah Android 10 ia masih tidak mempunyai antaramuka seakan Google TV – tetapi mirip dengan Android TV 9 sahaja. Perubahan hanya akan kelihatan jika akaun Google adalah akaun Amerika Syarikat. Itu mungkin masalah kecil sahaja, masalah besar adalah sistem PatchWall yang kelihatan menarik ini tidak menyokong negara Malaysia. Ia mempromosikan banyak kandungan daripada Netflix, Prime Video dan banyak lagi – tetapi tetapan adalah berdasarkan India, Indonesia atau Eropah.
PatchWall inilah yang paling lancar digunakan berbanding menggunakan Home Screen Android TV. Walaupun 2GB RAM, televisyen ini tidak mempunyai cukup kuasa mengendalikan sistem dengan baik. Walaupun sudah mengaktifkan ciri Smooth pada tetapan, ia masih ada rasa lengah masa yang melampau. Tukar aplikasi, bermain-main di skrin utama Android TV semuanya perlahan. Malah apabila ingin mengubah aras suara, selepas tekan butang pada alat kawalan ia tidak mengeluarkan indikasi. Ada perubahan, tetapi grafik visual aras suara itu keluar beberapa saat lambat.
Televisyen ini juga terpaling Xiaomi apabila terlampau bergantung kepada aplikasi Xiaomi tersendiri. Kami cuba matikan PatchWall ia mengeluarkan amaran untuk terus menggunakannya. Walaupun sudah dimatikan, ia tetap ada dan mengganggu penggunaan keseluruhan. Pilihan tukar ke HDMI lain, tukar ke aplikasi media untuk mainkan atau buka fail daripada pemacu USB semuanya adalah daripada aplikasi terbina dalam Android TV dan tidak mempunyai sistem asing.
Ini menjadikan televisyen ini terlampau perlahan untuk dikendalikan. Turut terbina perkara yang jarang ada dalam televisyen adalah TV Manager yang membenarkan pengguna mengurangkan penggunaan memori seakan Memory Boost pada Phone Manager dalam peranti-peranti Xiaomi Clear RAM. Kelihatan seakan baik, tetapi tidak sampai seminit penggunaan RAM dan CPU daripada bawah 50% terus menjadi hampir 70% dan penggunaan ini adalah daripada PatchWall.
Jelas di sini, Xiaomi menginginkan pengguna menggunakan PatchWall. Tetapi ketiadaan sokongan negara Malaysia yang tidak boleh memberikan cadangan kandungan tempatan menjadikan ia sukar untuk digunakan.
Walaupun pilihan audio kelihatan menarik, sayang sekali selain daripada masalah lengah masa – ia sekadar kuat dan lantang sahaja. Ia tidak mempunyai pementasan audio yang baik serta pengasingan yang memberikan satu pengalaman pendengaran yang memuaskan. Audio kedengaran sedikit serabut dan memeningkan jika penggunaan tempoh masa yang panjang.
Sudah habis belanjakan RM7999 atau harga promosi RM7499, tetapi masih perlu menggunakan sistem audio luaran – ini adalah sukar untuk diterima.
Berbaloi Ke?
Walaupun begitu, untuk sebuah televisyen dengan panel QLED – Xiaomi Mi TV Q1 75″ adalah antara yang paling “mampu milik” berbanding televisyen daripada Samsung, Huawei, LG dan lain-lain. Harga jualan yang boleh diterima jika anda benar-benar inginkan panel QLED yang mampu memberikan hasil warna yang cantik dan antara yang terbaik.
Tetapi jika anda tidak boleh bezakan sangat warna pada panel OLED dengan LED, OLED dengan LCD dan sebagainya, pilihan lain yang mampu milik dengan sokongan yang lebih baik banyak sahaja di luar sana. Jika anda gunakan Tizen pada Samsung, WebOS pada LG atau HarmonyOS pada Huawei – gunakan sahaja dongel Android TV yang akan memberikan pengalaman penggunaan lebih baik pasti akan memuaskan hati juga.
Tetapi jika anda ingin mencuba kerana ada wang lebihan tersorok di mana-mana dan tidak tahu ingin buat apa dengan nilai RM7,999 – silalah beli televisyen ini dan alaminya sendiri.
Pro
- Skrin menyeluruh dengan kamera tersembunyi
- Prestasi mantap yang pantas dan lancar
- Pengecasan pantas yang memuaskan
- Harga TV QLED yang berbaloi
Kontra
- Pembesar suara yang tidak seimbang dan tidak enak
- Perisian yang lengah masa dan tidak stabil
- PatchWall yang tidak menyokong negara Malaysia
- 120Hz tidak disokong pada PS5
- Tiada sokongan HDR yang sebenar