Selain daripada Realme GT Neo2T yang dilancarkan semalam, Realme turut melancarkan Realme Q3s – sebuah peranti kelas pertengahan premium yang memfokuskan penggunaan multimedia, gaya hidup dan pengalaman seakan peranti mercu.

Peranti ini adalah satu lagi peranti dengan cip Snapdragon 778G, bersaing dengan Xiaomi 11 Lite NE 5G. Skrin adalah LCD bersaiz 6.6-inci dengan resolusi FHD+, paparan HDR 10, kecerahan 600 nits dan sokongan HDR10 serta kadar segar semula 144Hz. Memori adalah sehingga 8GB RAM dengan storan dalaman mencapai 256GB.

Kamera adalah jenis 48+2+2 Megapixel dengan kamera swafoto 16 Megapixel, bateri 5000mAh dengan pengecasan pantas 30W, menjalankan Realme UI 2.0 dengan Android 11 dengan janji akan menerima Realme UI 3 berasaskan Android 12.

Peranti ini dijual pada harga yang mampu milik dan buat masa ini terhad di China. Ia bermula pada 1499 Yuan untuk 6/128 GB iaitu sekitar RM975 dan mencapai sehingga 1999 Yuan untuk 8/256 GB sekitar RM1300.