Cari @ Amanz

Kalau perasan, ramai yang bertanyakan adakah Realme Pad akan ditawarkan untuk pasaran tempatan? Jawapannya adalah ya dan perkara ini dikongsi sendiri oleh pihak Realme menerusi laman Facebook rasminya, sebentar tadi. Bagaimanapun, jenama ini bukan sahaja hadir dengan Realme Pad.

Malahan, telefon pintar baharu mereka iaitu Realme GT Neo2 turut sama akan dibawa masuk ke Malaysia tidak lama lagi. Buat masa ini, Realme dilihat sekadar mengacah sahaja dan mengambil langkah untuk terus berteka-teki mengenai tarikh pelancaran khususnya.

Realme Pad telah diumumkan terlebih dahulu di India dan ia merupakan tablet pertama keluaran jenama berkenaan. Ia dilengkapi skrin 10.4-inci beresolusi WUXGA+, cip MediaTek Helio G80, memori sehingga 4GB RAM, storan dalaman sehingga 64GB dan menggunakan antaramuka Realme UI for Pad berasaskan Android 11. Bateri adalah sebesar 7,100mAh dengan pengecasan 18W yang turut menyokong pengecasan berbalik. Seterusnya, tablet ini turut dilengkapi empat pembesar suara dengan sokongan Dolby Atmos.

Bercakap mengenai Realme GT Neo2 pula, ia menggunakan skrin 6.62-inci AMOLED FHD+ (1080×2400 piksel) dengan kadar segar semula 120Hz. Ia dijana oleh cip Snapdragon 870, memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB, bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 65W SuperDart Charge. Tetapan kamera terdiri dengan 64MP (utama) + 8MP (ultra-lebar) + 2MP (makro). Manakala, pada bahagian hadapan pula kamera 16MP digunakan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd