Honor telah menjadualkan sebuah acara pelancaran di China pada 28 Oktober depan untuk pengenalan beberapa peranti pintar baharu. Ini termasuklah Honor X30i yang tertiris sebelum ini, kemudian sebuah lagi model adalah Honor X30 Max.

Bercakap lebih lanjut Honor X30 Max, ia bakal menjadi model kemaskini untuk Honor X10 Max yang diumumkan tahun lalu. Tetapi, jelas kelihatan ia masih meminjam elemen rekaan daripada pendahulunya secara menyeluruh. Di mana, ia mempunyai panel hadapan yang dilengkapi rekaan bertakuk kecil bersama skrin sejenis rata. Di samping, binaan dagu yang agak tebal.

Kemudian, panel belakang pula menunjukkan rekaan modul kamera berbentuk segi empat. Ia juga memperlihatkan penggunaan dwi-kamera di belakang bersama LED Flash yang disusun secara menegak. Turut kelihatan, terdapatnya bicu audio 3.5mm yang diletakkan pada bahagian bawah bersama dengan port sambungan USB-C dan pembesar suara.
Seperti namanya, Honor X30 Max 5G dijangka masih mengekalkan paparan yang besar bersaiz 7.09-inci seperti pendahulunya. Bateri juga adalah 5,000mAh yang menyokong pengecasan 22.5W. Pun begitu, cip pemprosesan pula adalah MediaTek Dimensity 900 dan kamera utama juga dinaik-taraf kepada 64MP.

Honor X30 Max dijangka hadir dalam beberapa pilihan warna seperti Midnight Black, Sea Blue dan Titanium Silver. Harga jualannya masih rahsia dan ia bakal terjawab sewaktu pelancaran rasmi kelak.
Sumber : Honor Weibo