Cari @ Amanz

Ulasan Honor MagicBook 14 – Ada Kuasa Magis Santau Yang Memukau

Link Copied!

Honor telah mula kembali aktif di pasaran Malaysia. Mereka secara perlahan melancarkan satu demi satu produk, daripada peranti boleh pakai, produk audio, telefon pintar atau juga komputer riba. Siri MagicBook sudah mula dijual di Malaysia dengan antara model terawal ditawarkan adalah MagicBook 15 yang telah kami ulasan sebelum ini.

Honor Malaysia kali ini telah menghantar model MagicBook 14 ke makmal Amanz untuk diuji. Selepas menggunakannya untuk beberapa minggu, kami dapati MagicBook ini adalah seakan RealmeBook atau Infinix INBook X1 Pro sahaja. Iaitu laptop bajet kelas pertengahan yang cuba menawarkan kemampuan seakan laptop kelas mercu. Adalah ia sama magis tanpa tragis seperti model yang lebih besar? Atau kali ini ia acah-acah berbisa sahaja kerana tiada kemampuan luar biasa? Ini adalah artikel ulasan.


Spesifikasi dan Rekaan

Skrin14-Inci HONOR FullView Display IPS,
16:9, 1920 x 1080, 100% sRGB
PemprosesAMD Ryzen 5 5500U
GrafikAMD Radeon Graphics
RAM8 Gigabyte DDR4
Muatan Dalaman256/512 GB SSD
Kamera1MP, 720p
I/O1x USB-C, 2x USB-A, 1x bicu audio
1x HDMI
Audio2x Speaker, Surround
2x Mikrofon
ImbasanCap jari (pada butang kuasa)
SIMTiada
Bateri56Wh, Pengecas 65W
0% ke 65% 1 jam
Harga JualanRM2,699/RM2,999

Selepas menguji RealmeBook, Huawei MateBook siri D dan kini Honor MagicBook 14 – apa yang boleh kami katakan adalah MagicBook ini cuba sebaik mungkin mengekalkan magisnya untuk menjadi komputer riba premium mampu milik. Binaan aluminium yang boleh dikatakan cukup padat memberikan satu beban yang baik atau bahasa mudahnya solid.

Walaupun begitu, komputer riba ini masih tidak cukup hebat untuk membuka skrin dengan satu tangan tanpa bahagian papan kekunci terangkat. Beralih kepada bahagian skrin dengan tiga sisi bezel nipis bersama dagu tebal dengan logo Honor. Dagu tebal ini memberikan resolusi dan nisbah skrin MagicBook 14 ini 1920 x 1080 16:9.

Warna Space Grey dan Mystic Silver yang ditawarkan juga memberikan satu persepsi yang komputer riba mampu milik ini mampu tampak profesional dan ada gaya. Port sambungan yang disediakan hanyalah 1x USB-C, 2x USB-A, 1x bicu audio 3.5mm dan 1x HDMI. USB-C yang satu ini terhad dengan pengecasan dan pemindahan data pantas sahaja dan tiada sokongan Thunderbolt.

Papan kekunci juga disusun dengan baik, memberikan satu gaya seakan MacBook tapi kita tahu yang komputer riba hanya sekadar try hard sahaja untuk rekaan biasa acah berbisa. Tetapi untuk penawaran bawah RM3000, Honor dilihat masih mampu mengekalkan magisnya untuk sentiasa menawan hati orang ramai.

Skrin

Apabila cakap pasal Honor dalam minda saya akan terlintas Huawei, walaupun sudah tahu mereka kini dua jenama berbeza. Dengan sudah biasa dengan komputer riba Huawei dengan nisbah 3:2, kembali menggunakan skrin dengan nisbah 16:9 adalah aneh tetapi memuaskan. Lebih-lebih lagi untuk menonton video seperti menstrim Netflix, video YouTube atau Prime Video.

Ketiadaan skrin sesentuh juga rasa aneh, tetapi ia bukan satu perkara penting untuk orang ramai – cuma jika ada itu adalah bonus. Walaupun begitu, hasil warna pada skrin tidak begitu hidup dan menarik. Ia tidak mempunyai hasil yang menarik mata pengguna dan lebih ke arah natural yang sedikit pudar. Walaupun Netflix menyokong HD, resolusi tinggi ini menarik sayang sekali warnanya tidak memuaskan.

Skrin ini juga pada hemat saya baik-baik sahaja. Sepanjang menggunakannya untuk menulis artikel, menyunting video asas dan menyunting gambar – ia tidak membawa sebarang masalah pun. Cuma warna yang tidak begitu menyerlah menyukarkan diri saya untuk melihat butiran yang ada pada skrin berbanding skrin lain yang lebih berkualiti.

Papan Kekunci

MagicBook hadir dengan papan yang memberikan pengalaman yang magis untuk penulis. Ia pantas, tepat dengan travel yang baik dan mempunyai kesan klik yang memuaskan. Selepas penggunaan beberapa minggu, ia mula rasa selesa dan seakan sudah biasa menggunakan papan kekunci lebih kurang sama pada jangka masa panjang.

Ada butang-butang yang masih kecil untuk pengguna dengan jari besar, tetapi tidak ada masalah untuk mengambil masa beberapa hari untuk memahami corak penggunaan produk baharu.

Apa yang kurang selesa adalah cahaya backlight papan kekunci ini tidak cukup terang dan membuat kerja pada waktu malam atau suasana yang gelap tidak memuaskan dan sukar bekerja dengan komputer riba ini.

Pad Sesentuh

Pad sesentuh yang lebih ke arah nipis berbanding lebar. Ia mengikut gaya skrin untuk ada nilai estetik lebih kurang sama. Pada hemat kami, pad sesentuh ini cukup selesa dan baik sahaja. Tetapi jika pengguna mempunyai kulit pada tangan yang mudah berpeluh, ia akan mudah rasa licin dan kawalan gestur semuanya tidak tepat.

Saiz nipis ini juga kurang selesa dengan penggunaan gestur terbina Windows. Masalah lain pada pad sesentuh ini adalah klik kanan dan klik kiri yang tidak kuat dan bagus. Kerap kali salah klik dan ini agak menjengkelkan. Apabila ia jadi, jadi – tapi apabila tidak jadi amatlah sakit hati.

Prestasi Dan Penanda Aras

Komputer ini hadir dengan Windows 10 dan selepas dua minggu penggunaan saya terus kemas kini ke Windows 11. Jadi ulasan ini akan disampaikan berdasarkan pengalaman penggunaan kepada kedua-dua sistem operasi.

Dua minggu dengan Windows 10 pada komputer riba ini, ia memberikan pengalaman penggunaan yang tidak menarik. Banyak masalah perisian dan sistem tergendala, prestasi yang rasa sangat perlahan serta masalah sangkut-sangkut yang menjengkelkan. Penggunaan memori dilihat mencapai 90%, begitu juga dengan CPU.

Melakukan tugasan ringkas seperti membaca artikel, menulis, dan menyunting gambar asas sahaja pada Photoscape X (belum Photoshop lagi) sudah menjadi perlahan dan membuatkan saya tertekan. Tetapi apabila melihat penawaran yang Honor lakukan untuk produk ini, ia lebih kurang MateBook D atau MateBook sahaja yang mana tiada isu-isu yang saya hadapi ini.

Aneh sekali, sebaik sahaja Windows 11 dipasang – pengalaman penggunaan terus berubah dan menjadi lebih memuaskan dan lebih seronok. Windows 11 entah bagaimana mampu dikendalikan dengan baik pada komputer riba Ryzen 5 ini dengan baik sekali.

Tugasan harian seperti menonton video, menulis artikel, kerja-kerja suntingan semuanya tiada masalah yang sama ada pada Windows 10 sebelum ini. Dalam anggaran saya sendiri, peningkatan prestasi ini adalah lebih 60-70% beza berbanding Windows 10.

Bercakap lagi mengenai Windows 11, menggunakan pada MagicBook 14 memang tenang. Walaupun lengah masa yang manja-manja masih boleh terasa. Tetapi saya tidak lagi tertekan atau rasa laptop ini menjengkelkan sepanjang penggunaan dengan platform yang lebih baru.

Untuk ujian penanda aras, memandangkan MagicBook 14 ini sekadar komputer riba produktiviti asas sahaja – mata 4958 yang diperoleh selepas berbincang dengan pasukan editor ia berada dalam kategori yang boleh diterima. Honor tidak menjelaskan komponen yang mereka gunakan seperti daripada jenama apa dan sebagainya – tetapi untuk laptop dalam kelas ini ia berada dalam kategori yang baik sahaja.

Ujian pemindahan data seperti membaca dan menulis untuk SSD yang digunakan pula dilihat sederhana sahaja untuk laptop pada tahun 2021. Kelajuan membaca sekitar 1937.73 MB/s dan kelajuan menulis pula adalah 425.76 MB/s adalah rendah dan tidak setanding dengan laptop kategori sama pada harga setanding. Tetapi sepanjang penggunaan tiada masalah berlaku sehingga membuatkan kami mengeluh panjang.

Kamera Web

Tidak kira Huawei atau Honor, kamera web mereka mesti tidak akan berkualiti. Kekal dengan sensor 720p yang banyak hingar, pasca-proses yang menjadikan hasil imej terlampau lembut serta pengalaman penggunaan yang tidak begitu baik. Penggunaan untuk telesidang juga tidak memuaskan kerana kualiti video yang rendah untuk sebuah komputer riba bernilai hampir RM3000.

Juga kerana kedudukannya yang agak rendah, kamera sentiasa menghala ke atas hidung dan membuatkan dagu kelihatan besar. Umum diketahui jika ingin kelihatan menarik, kamera perlu pada aras yang sama dan bukan mendongak ke atas. Sudut kamera juga tidak boleh diubah jika dibandingkan dengan kamera yang diletakkan di atas skrin komputer. Ini adalah sebab mengapa rekaan yang unik ini tidak digunakan oleh pengeluar lain. Ia hanya kelihatan cool tetapi sebenarnya tidak praktikal.

Walaupun begitu, mereka masih berpegang tegas dengan konsep penjagaan privasi dan sekuriti pengguna – di mana kamera web terbina di dalam barisan kekunci fungsi. Ia menggunakan mekanisme pop-naik yang menggunakan spring.

Audio

Pembesar yang tersedia terbina daripada dua pemacu audio. Ia cuba menawarkan pengalaman pendengaran surround. Ia cuba mengasingkan mengikut saluran tersendiri memberikan pengasingan yang lebih baik dan satu pementasan audio yang luas. Sayang sekali ia seakan kedap dan lemah. Walaupun kuat dan lantang, tetapi ia tidak enak memberikan satu rasa yang tidak senang.

Ada aplikasi Nahimic yang membantu memberi kuasa tambahan dengan menawarkan pelbagai preset untuk kegunaan berbeza memberikan satu kualiti penggunaan yang lebih baik. Telesidang ada mod khas untuk suara, ada mod untuk hiburan dan juga filem.

Bateri

Saiz bateri 56Wh adalah saiz yang agak baik untuk komputer riba kategori ini. Dengan ada pula penawaran pengecasan pantas 65W yang menjanjikan 0%-100% dalam masa satu jam. Kuasa GaN atau PD amat menarik kerana satu pengecas untuk semua boleh mengecas komputer riba ini juga.

Bateri boleh dikatakan tidak konsisten. Kejap tahan lama dan kejap tidak walaupun dengan corak penggunaan sama. Penggunaan tonton video, strim muzik, baca artikel, tulis artikel dan melayari web boleh memberi sekitar 6-7 jam tanpa masalah. Tetapi apabila mula menggunakan perisian seperti Adobe Photoshop dan Premiere Pro, bateri akan mula turun sekitar penggunaan 5 jam maksima sehari.

Agak kecewa ia tidak mampu bertahan lama untuk satu hari bekerja yang biasanya adalah 8 jam. Ini membuatkan pengecas 65W harus di bawa ke mana sahaja.

Sekuriti dan Ekosistem

Honor MagicBook masih ada konsep penjenamaan semula sahaja daripada Huawei. Untuk ekosistem mereka yang digelar Honor MagicLink yang menggunakan perisian Honor PC Manager yang mirip dengan Huawei PC Manager. Malah konsep Multi-screen Collaboration mereka juga adalah sama.

Ini memberikan penggunaan dengan mana-mana peranti Honor seperti Honor 50.

Huawei juga mempunyai ekosistem ini, seperti telefon pintar boleh mengawal televisyen mereka, Huawei FreeBuds menyokong tambatan pantas daripada telefon ke tablet ke komputer riba dan lain-lain lagi. Meneruskan lagi Huawei Share mereka dengan hanya tap peranti Huawei pada pad sesentuh melalui NFC, telefon akan bersambung dengan komputer riba. Melaluinya, fail mudah dipindahkan, aplikasi telefon boleh dijalankan pada komputer riba, dan lain-lain lagi.

Kesimpulan

Honor MagicBook 14 seakan berada di tengah-tengah antara MateBook D dan MateBook biasa daripada Huawei. Mereka cuba tawarkan pengalaman penggunaan sama dengan ada sedikit pengorbanan. Dari segi harga jualan dan kemampuan laptop ini, tidak menjadi masalah pun untuk menobatkannya sebagai komputer riba kelas pertengahan berkuasa terbaik jika harga adalah bawah RM3000.

Dengan RealmeBook janaan cip Intel Core i3 generasi ke-11 dijual pada harga mencapai RM3000 dan Honor dengan Ryzen 5 siri 5 pada harga lebih mampu milik dan ternyata lebih berkuasa – Honor dilihat masih mampu menarik perhatian orang ramai.

Cuma dengan Honor yang turut fokus ke arah ekosistem mereka tersendiri, sebagaimana Huawei ingin lakukan – mampukah Honor ini bersaing dengan Huawei, Realme, atau jenama lain yang sudah ada ekosistem tersendiri?

PRO
  • Skrin 16:9 yang terasa selesa digunakan.
  • Binaan tubuh yang kukuh.
  • Pilihan I/O yang mencukupi lengkap degan HDMI.
  • Pengecasan yang pantas.
  • Prestasi yang baik selepas kemas kini Windows 11.
KONTRA
  • Kamera web dengan 720P sahaja dan tidak boleh dilaras sudutnya, mikrofon juga tidak memuaskan.
  • Lampu pada papan kekunci tidak cukup terang untuk digunakan dalam gelap.
  • Warna skrin yang agak pudar.

Komen ()