Ulasan Honor MagicBook 15 2021 – Ada Magis Tanpa Harga Tragis

Diterbitkan pada Jun 23, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sejak mula ditawarkan tiga tahun lalu, siri MagicBook dengan pantas membina reputasi sebagai jenama komputer riba yang ditawarkan pada harga lebih rendah tetapi dengan prestasi yang masih baik. Sama seperti yang berlaku pada pasaran telefon pintar Huawei dan Honor, jika anda tidak mempunyai wang yang lebih, Honor ialah alternatif yang tidak kurang hebatnya.

Selepas kedua-dua jenama berpisah untuk memastikan kelangsungan syarikat ramai tertanya-tanya sama ada Honor akan meneruskan strategi pemasaran yang sama. Dengan pelancaran Honor MagicBook 15 awal bulan lalu persoalan terjawab dan ia adalah berita baik kepada pengguna komputer riba di Malaysia.

Honor MagicBook 15 2021
Skrin15.6″ IPS LCD 1080P, nirsentuh
PemprosesIntel Core i5-1135G7
Cip2.4 GHz Empat Teras
Cip GrafikIntel Iris Xe
RAM16GB DDR4
Muatan Dalaman512GB SSD PCIe-NVMe
Kamera Utama720P
I/O1 XUSB-C, 1X USB 3.2, 1X USB 2.0, 1X HDMI
Bateri42 Wh
Pengecasan 65W USB-C
SIM/TelefoniTiada
WiFi802.11a/b/g/n/ac/6
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas cap jari
Harga JualanBermula RM3699

Skrin

Skrin besar 15.6″ adalah dari keluarga IPS LCD dengan resolusi 1080×1920 pixel yang agak standard. Panel juga tidak menyokong sentuhan dan harus kami katakan mengecewakan kerana sudah terbiasa dengan skrin lebih tinggi pada skrin yang lebih kecil. Untuk mengurangkan harga tiada langsung sokongan HDR, kadar segar semula lebih tinggi atau resolusi yang lebih tinggi. Ini pengorbanan yang perlu dilakukan Honor untuk menawarkan MagicBook 15 pada harga yang lebih mampu milik.

Oleh sebab itu ada perubahan warna yang ketara apabila sudut pandangan diubah. Secara peribadi kami merasakan panel adalah cukup baik untuk kegunaan kerja. Tidak menyakitkan mata dan penghasilan warna yang memuaskan pada sudut tertentu. Bercakap mengenai sudut, skrin boleh dibuka sehingga sekitar 120% dan ini pada hemat kami adalah cukup baik sama seperti pengalaman menggunakan sebuah MacBook Air.Bezel juga tidak terlalu besar dengan hanya bezel bawah sedikit tebal.

Dengan skrin yang besar bernisbah 16:9, ia amat selesa digunakan untuk membuat kerja terutamanya pada perisian seperti Adobe Photoshop. Sungguh mewah melakukan kerja suntingan apabila ruang kerja yang ditawarkan adalah cukup besar. Ia juga membuatkannya amat serasi digunakan untuk menonton kandungan video.Keterangan skrin juga amat baik dengan hanya sedikit masalah silau yang merupakan isu standard pada komputer riba dari kelas mampu milik.

Pemproses Dan Spesifikasi

CPU Intel Core i5-1135G7 dipadankan dengan memori sebesar 16GB RAM DDR4 dan storan sehingga 512GB SSD PCIe-NVMe. Ini adalah satu-satunya model yang ditawarkan di Malaysia pada waktu. Model dengan AMD Ryzen sebelum ini telahpun dihentikan. Menerusi cip Intel generasi ke-11 ini, grafik terbina Intel Iris Xe disertakan. Modul RAM dipateri terus kepada papan induk dan tidak boleh dinaik taraf. Satu-satunya komponen yang boleh ditambah baik ialah SSD.

Bateri yang digunakan adalah 42Wh dengan sokongan pengecasan pantas 65W. Saiz bateri ini adalah agak kecil untuk komputer riba 16″. ThinkPad X1 Nano yang kami ulas sebelum ini dilengkapi bateri 48Wh. Pengecasan adalah menerusi port USB-C sahaja. Kekurangan di sini ialah apabila pengecasan dilakukan, tiada sambungan aksesori USB-C lain boleh dilakukan.

Kekecewaan sedikit terubat kerana masih terdapat pilihan I/0 1X USB 3.2, 1X USB 2.0 dan HDMI bersaiz penuh. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak pernah menggunakan sebarang penyesuai walaupun sekali. Pilihan I/O adalah baik cuma masih kurang lengkap kerana tiada pembaca kad memori. Adalah aneh dengan saiz tubuh yang besar Honor tidak memanfaatkan ruang kosong yang ada untuk menawarkan lebih banyak I/O tambahan seperti LAN atau kunci Kensington.

Pembesar suara stereo diletakkan pada bahagian bawah. Sekali lagi mengapa rekaan sistem audio untuk komputer riba kompak digunakan pada MagicBook 15 yang mempunyai ruang yang cukup besar pada sisi kanan serta kiri papan kekunci serta di atasnya.

Kamera web pula diletakkan pada papan kekunci. Ia mudah disorokkan apabila tidak digunakan tetapi membuatkan kesemua sesi telesidang menjadi aneh. Sudut kamera tidak boleh diubah seperti kamera web yang diletakkan di atas skrin. Harus diakui kami bukan peminat rekaan kamera web ini walaupun ia memang kelihatan futuristik. Kadang kala rekaan lebih praktikal adalah lebih baik dari rekaan yang unik

Kesemua ini dimasukkan ke dalam kerangka hanya sebesar 358 x 230 x 16.9 mm dan sebesar 1.56 kg. Memang ia bukan komputer riba yang paling kompak dan ringan tetapi apabila kesemua komponen diambil kiri, MagicBook 15 pada hemat kami ialah komputer riba yang masih mudah alih.

Rekabentuk

Rekaan Honor MagicBook 14 dikitar semula pada MagicBook 15. Ini bukan dosa besar kerana ia dilakukan oleh Apple, Acer dan Lenovo. Seperti pepatah Inggeris kalau tak rosak mengapa nak tukar, Honor merasakan rekaan komputer riba tahun lalu tidak perlu dikemaskini.

Tubuh berkotak dengan terdapat bahagian sisi yang diberikan potongan sendeng bagi memberikan kesan warna biru. Dari sudut tertentu ia kelihatan seperti lampu LED biru tetapi hanyalah pantulan cahaya biasa. Memang nampak cantik dan bergaya. Port USB-C, USB 3.2 Type A, dan HDMI diletakkan pada sisi kanan. Sementara itu USB 2.0 Type A dan bicu audio 3.5mm. Tiada pilihan I/O lain yang telah kami katakan di beberapa perenggan di atas yang adalah merugikan kerana terdapat banyak ruang untuk menambah sokongan LAN dan pembaca kad.

Tubuh diperbuat daripada logam tetapi bahagian skrin melentur jika tekanan diberikan. Bahagian penutup disambungkan kepada engsel yang tegap. Skrin tidak bergegar apabila papan kekunci digunakan. Namun begitu engsel yang agak keras ini membuatkan penutup tidak boleh dibuka menggunakan sebelah tangan. Bahagian tapak MagicBook 15 akan terangkat jika ia cuba dibuka dengan sebelah tangan.

Ruang udara untuk penyejukan disorokkan di antara engsel dan skrin serta pada bahagian bawah tapak. Udara panas dari kipas penyejuk tidak dihembus ke arah pengguna. Tetapi dengan wujudnya lubang udara pada bahagian bawah, pengguna perlu berhati-hati apabila meletakkan MagicBook 15 di permukaan meja. Semasa zaman pra-pandemik, ini adalah isu yang kami hadapi apabila bekerja di restoran mamak yang basah selepas dilap oleh macha.

Pelapik getak yang digunakan di bahagian bawah MagicBook 15 pula cukup besar untuk memberikan tapak menaik yang stabil. Masalah mudah bergerak-gerak atau tergelincir tidak akan berlaku pada komputer riba ini.

Butang kusa yang digunakan pula besar dengan pengimbas cap jari terbina yang menyokong Windows Hello. Tiada perkara negatif boleh kami katakan mengenai butang kuasa atau pengimbas cap jari yang digunakan. Lokasinya di bahagian atas adalah cukup ergonomik.

Papan Kekunci

Sekilas pandang ia menyerupai susunan kekunci papan kekunci butterfly MacBook. Walaupun rupa serupa tetap prestasinya adalah tidak sama. Saiz kekunci dan ruang antara kekunci adalah sama membuatkan amat mudah untuk kami menaip menggunakan MagicBook 15. Tetapi kekunci MagicBook 15 adalah sedikit lebih lembut dengan tekstur yang sedikit lebih kasar.

Perbezaan paling besar ialah tiadanya sokongan lampu terbina. Pada tahun 2021 kami rasakan adalah aneh ciri yang sepatutnya menjadi standard pada komputer riba moden ini tidak disertakan. Sebagai insan yang kerap bekerja di waktu malam sebelum tidur, ketiadaan lampu adalah sedikit menyukarkan.

Terdapat ruang yang besar untuk meletakkan tangan. Ini membuatkan MagicBook 15 selesa digunakan untuk menaip di atas meja dan juga di atas paha. Terdapat ruang yang cukup untuk pengguna mencari kedudukan tangan yang selesa untuk menaip. Selepas sedikit terseksa dengan papan kekunci ThinkPad X1 Nano yang sempit tempoh hari, pengalaman menggunakan papan kekunci MagicBook 15 adalah amat melegakan.

Kerana saiznya yang besar dan tubuh yang agak berat juga, menaip di atas paha menjadi amat selesa kerana ia boleh digunakan dengan stabil. Sebagai insan yang yang banyak bekerja di luar dan tidak suka menggunakan meja, MagicBook 15 dapat kami gunakan dengan cukup selesa sepanjang tempoh ulasan.

Pad Sesentuh

Pada sesentuhnya agak besar dengan sokongan perisian pemandu Windows Precision yang diakui terbaik untuk Windows 10. Terdapat banyak sokongan gestur lalai yang memudah kerja dilakukan tanpa menggunakan sebuah tetikus luaran. Permukaannya licin dan selesa dengan keperincian mengesan pergerakan yang cukup baik. Menghasilkan suntingan gambar menggunakan Photoshop misalnya tidak bermasalah.

Komen negatif yang ingin kami berikan hanyalah alangkah baiknya jika ia lebih besar. Tema tidak menggunakan ruang kosong dengan sebaik mungkin juga berterusan pada pad sesentuh MagicBook 15. Pada sesentuh pada sebuah MacBook Pro 13 adalah lebih besar walaupun saiz fizikal komputer riba Apple ini sekitar 20% lebih kecil.

Kamera Web

Kamera web yang disembunyikan pada papan kekunci dipelopori oleh Huawei. Ia memang kelihatan cool tetapi untuk penggunaan dunia sebenar ia kurang praktikal. Sudut pandangan kamera tidak boleh diubah dan sentiasa mendongak dari bawah ke atas. Mengambil video dari bawah bukanlah sudut yang terbaik untuk sesi telesidang.

Dari segi kualiti ia juga hanya sekadar 1MP dengan resolusi 720P. Bayangkan kamera 720P pada tahun 2021. Tindakan menggunakan kamera resolusi sub-FHD ini sama seperti yang dilakukan oleh Apple. Sebelum pandemik ia boleh dimaafkan kerana kamera web hampir langsung tidak pernah digunakan. Kini ia dilakukan hampir setiap hari bagi perbincangan dengan rakan sepejabat dan ditemubual di kaca TV. Kamera beresolusi rendah membuatkan wajah kelihatan kabur.

Penggunaan

Dengan pemproses Intel Corei-5 dan memori sebesar 16GB RAM, tiada urusan yang tidak dapat dilakukan oleh MagicBook 15 sepanjang tempoh ulasan. Tugasan pejabat seperti Excel dan Words berjalan lancar. Memori yang besar membantu memastikan tiada masalah sela masa apabila banyak program dilancarkan atau tab Edge dibuka.

Kami turut mencuba menyunting video 4K secara asas dan sekali lagi MagicBook 15 mampu melakukannya. Kipas mula berderu untuk memastikan pemproses tidak menjadi terlalu panas. Dalam kesemua situasi yang kami gunakan, MagicBook 15 berfungsi tanpa mendatangkan sebarang isu yang besar. Menggunakannya untuk permainan video juga boleh dilakukan asalkan ia bukan permainan AAA yang memerlukan GPU diskrit yang lebih berkuasa. Permainan MOBA seperti Dota II dan RTS klasik Command and Conquer 3 berjaya kami mainkan pada tetapan sederhana.

Sebagai komputer riba Honor, ia serasi dengan ekosistem PC Manager yang dibangunkan oleh Huawei. Menerusi PC Manager, kandungan dari telefon pintar Huawei dan Honor boleh diakses semudah menyentuh pad NFC yang terletak berhampiran papan kekunci. Terdapat ciri Collaborative Screen yang membolehkan kandungan telefon dipaparkan pada skrin MagicBook tetapi ini tidak disokong banyak peranti.

Sebagai komputer riba Intel, isu biasa yang wujud ialah pemanasan berlaku walaupun sedang menonton video dan menghadiri sesi telesidang. Akibatnya kami tidak sarankan ia diletakkan pada bahagian paha jika tugasan yang lebih berat dari menggunakan pelayar web atau Office digunakan. Paha anda tidak akan terbakar sehingga menjadi ayam Nando’s tetapi suhu yang terhasil boleh mendatangkan ketidakselesaan.

Saiz tubuh MagicBook 15 yang besar membuatkannya menjadi platform menulis mudah alih yang amatlah selesa. Terdapat ruang yang cukup untuk tangan diletakkan pada jarak optimum ketika menaip dengan ruang meletakkan tangan yang cukup mewah. Ini terutamanya jika anda menaip di atas paha. Sangatlah selesa sehingga kami boleh menaip selama beberapa jam tanpa pergelangan tangan terasa seperti akan tercabut.

Rekaan MagicBook 15 adalah cukup ergonomik khususnya bagi insan yang berbadan besar seperti kami. Beberapa komputer riba untuk kerja yang kami ulas sebelum ini mementingkan saiz yang kecil dan tubuh yang ringan sehingga mengorbankan keselesaan apabila tidak digunakan di atas meja. MagicBook 15 serasi digunakan di atas paha dan meja sekaligus membuatkannya sebuah komputer kerja yang sesuai untuk norma baharu.

Penanda Aras

Dalam Geekbench 5, 1387 markah dicatatkan untuk ujian satu teras dan 4765 markah untuk ujian multi teras. Ini ialah markah hampir setanding dengan cip Intel Core i7-1165G7 pada ASUS Zenbook Flip S OLED yang mencatatkan 1466/4716 markah dalam ujian yang sama. Dalam ujian SSD pula, ia mencatatkan kelajuan membaca 3364 Mb/s dan 2983 Mb/s untuk menulis. Ini adalah lebih baik daripada ThinkPad X1 Nano dan setanding dengan MacBook Air M1.Jadi tidak mengejutkan prestasi MagicBook 15 adalah amat lancar.

Dalam ujian PCMark 10 pula ia mencatatkan 3918 markah yang adalah lebih tinggi berbanding purata markah komputer riba kerja sementara dalam ujian 3D Mark Night Raid pula ia mencatatkan 11030 markah. Ini adalah lebih lebih rendah berbanding sebuah komputer riba gaming tetapi baik untuk komputer riba tanpa GPU berasingan. Secara keseluruhan markah yang dicatatkan adalah baik bagi sebuaj komputer riba kerja.

Audio

Audio adalah memuaskan jika ia diletakkan di atas permukaan meja yang rata. Speaker menembak ke bawah maka audio tidak terus masuk ke telinga pendengar. Sepanjang PKP yang lebih ketat ini kami lebih kerap bekerja di atas kerusi dengan komputer riba diletakkan pada paha. Akibatnya audio MagicBook 15 diserap oleh seluar sehingga kurang lantang walaupun pada tetapan audio yang paling tinggi.

Mengapa kekisi audio tidak diletakkan di bahagian atas adalah misteri. Sama misteri mengapa pilihan I/O yang lebih banyak dan pad sesentuh yang lebih besar tidak digunakan oleh Honor. Jawapan kami mungkin kerana ingin mengurangkan kos maka pengorbanan prestasi audio juga perlu dilakukan. Bagi menyelesaikan masalah audio yang kurang kuat ini kami gunakan sepasang fon kepala yang disambung kepada bicu audio 3.5mm. Masalah tidak mendengar audio dengan jelas ketika sesi Google Meet terus selesai.

Bateri

Secara purata kami dapat menikmati waktu penggunaan sehingga 10 jam pada penggunaan seharian. Prestasi yang selesa tetapi bukan yang terbaik pernah kami nikmati pada sebuah komputer riba kerja tahun 2021. Dengan waktu kerja dari rumah yang lebih panjang, kami kini merasakan standard sekitar 12 jam sepatutnya ditawarkan. Ini kami nikmati dengan menggunakan pelayar Microsoft Edge dan disambungkan kepada WiFi sepanjang masa. Kami rasakan ini ialah cara penggunaan yang lazim pada waktu ini kerana Chrome memang menghabiskan bateri.

Namun begitu ini ialah hayat bateri yang memuaskan pada sebuah komputer riba Windows 10 yang menggunakan cip Intel generasi ke-10. Jika hayat bateri yang lebih baik adalah perlu bagi anda, pilihan yang ada adalah MacBook Air M1 (yang jauh lebih mahal) dengan hayat bateri sehingga 14 jam.

Bateri 42 Wh MagicBook 15 boleh dicas semula dalam masa sekitar 90 minit. Agak pantas kerana pengecasan pantas 65W yang disokong. Setanding dengan pengalaman kami menggunakan ThinkPad X1 Nano yang dilengkapi cip Intel generasi yang sama.

Kesimpulan

Pada harga RM 3699. Honor MagicBook 15 ialah komputer riba yang tidak terlalu mahal dan tidak juga terlalu murah. Tetapi apabila mengambil kira saiz skrin, cip, memori, RAM, papan kekunci dan prestasinya kami rasakan ialah adalah berbaloi dengan harga yang ditawarkan.

Cukup baik untuk melakukan tugasan lazim di dalam kelas, kuliah dan pejabat. Tidak mengecewakan dalam menggunakan perisian suntingan fotografi dan cukup makan untuk permainan video kelas permulaan dengan keperluan grafik yang sederhana.

Kekurangan terletak pada papan kekunci yang tidak berlampu, kamera web resolusi rendah dari sudut yang aneh dan audio yang kurang lantang.

PRO dan Kelebihan
  • Prestasi yang amat baik untuk penggunaan kerja dan permainan video tahap sederhana.
  • Saiz besar selesa diletakkan di atas paha jika menaip tanpa meja.
  • Papan kekunci yang selesa digunakan dengan ruang meletak tangan yang besar.
  • Pilihan I/O yang baik tanpa pengguna perlu membawa penyesuai sepanjang masa.
  • Hayat bateri yang memuaskan.
  • Pengecas 65W yang pantas.
KONTRA dan Kekurangan
  • Papan kekunci tidak berlampu.
  • Kamera web pada papan kekunci tidak boleh diubah sudut dan beresolusi rendah.
  • Pembesar suara yang tidak cukup lantang.
  • Ruang udara besar pada bahagian bawah. Berhati-hatilah apabila diletakkan di atas meja.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami