Ulasan Lenovo ThinkPad X1 Nano – Nano Pada Nama Mega Pada PrestaX1

Diterbitkan pada Jun 7, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Beberapa tahun yang lalu saya ada mengulas Lenovo ThinkPad X1 Yoga yang katakan sebagai komputer riba pilihan untuk pengguna profesional. Spesifikasi yang baik dipadankan dengan papan kekunci yang baik, rekaan tahan lasak dan dalam tubuh yang tidak membebankan bahu. Selepas tiga tahun saya akhirnya diberikan pula sebuah Lenovo ThinkPad X1 Nano.

Selepas tiga tahun banyak perubahan telah berlaku pada landskap komputer riba. Ia kini menjadi peranti penting untuk bekerja dari rumah (berbanding pra-pandemik), pemproses semakin berkuasa dan saya sendiri telah berpindah dari Windows ke Mac. Harapan lebih tinggi diletakkan sekarang kerana MacBook Air M1 kini pada hemat saya ada raja komputer riba mudah alih. Adakah X1 dapat mengalahkan M1? Baca ulasan ringkas ini untuk mendapatkan jawapan saya.

Lenovo ThinkPad X1 Nano
Skrin13″ IPS LCD 2160×1350 pixel, nirsentuh
PemprosesIntel Core i7-1160G7 Gen 11
Cip2.10 GHz Empat Teras
Cip GrafikIntel Iris Xe
RAM16GB LPDDR4X
Muatan Dalaman1TB SSD M.2 PCIe-NVMe
Kamera Utama720P dengan IR
I/O2 USB-C (Thunderbolt 4), bicu audio 3.5mm
Bateri48 Wh
Pengecasan 65W USB-C
SIM/TelefoniPilihan 4G LTE
WiFi802.11a/b/g/n/ac/6
Bicu AudioYa
Kalis AirPapan kekunci kalis percikan air
Sistem ImbasanPengimbas cap jari, Imbas wajah Windows Hello
Harga JualanBermula RM7347

Skrin

Sudah agak lama saya tidak mengulas sebuah ThinkPad dan ThinkPad X1 Nano ialah siri baharu yang bukan sahaja kecil tetapi juga amat ringan bagi memenuhi keperluan yang tidak ingin menggalas komputer riba yang boleh mematahkan bahu. Saiznya cukup kompak tetapi masih ditawarkan dengan skrin 13″ IPS LCD dengan resolusi 2K. Skrin yang agak besar ini mampu ditawarkan kerana penggunaan bezel yang cukup nipis. Ia membuatkan bezel MacBook Air M1 kami kelihatan hodoh dan ketinggalan zaman.

Skrin unit yang diulas tidak menyokong sentuhan. Malahan di Malaysia pilihan skrin sesentuh tidak diberikan langsung seperti di negara lain. Ini pastinya mendatangkan isu kepada mereka yang sudah biasa dengan komputer riba dengan skrin sesentuh. Secara peribadi saya tidak menggemari komputer riba dengan skrin sesentuh kerana ia hanya membuatkan ia kelihatan comot.

Saya juga kurang menggemari lapisan anti-silau yang disertakan sebagai standard. Ia berguna untuk mereka yang banyak bekerja di luar tetapi sudah lebih setahun saya bekerja di rumah kerana pandemik. Lapisan anti-silau yang diberikan hanya membuatkan warna kelihatan lesu

Skrin dengan nisbah 16:10 adalah memuaskan untuk menonton kandungan video tetapi lebih serasi untuk mereka yang banyak menghasilkan kertas kerja. Dengan sokongan resolusi tinggi, imej kelihatan tajam dan tidak menyakitkan mata selepas bekerja sepanjang hari.

Sudut pandangan skrin adalah sehingga 180 darjah. Tiada isu untuk mencari sudut terbaik ketika menaik kerana kebebasan yang diberikan. Skrin turut akan menaikkan bahagian tapak X1 Nano dari permukaan meja apabila dibuka bagi tujuan pengudaraan dan sudut menaip yang lebih ergonomik.

Pemproses Dan Spesifikasi

CPU Intel Core i7-1160G7 Gen 11 dipadankan dengan memori sebesar 16GB RAM LPDDR4X dan storan sehingga 1TB SSD M.2 PCIe-NVMe. Terdapat juga pilihan CPU Intel Core i5-1140G7 vPro dan Intel Core i5-1160G7 vPro. Semasa membeli pastikan saiz RAM yang mencukupi dipilih kerana modul memori dipateri terus ke papan induk. Satu-satunya komponen yang boleh digantikan ialah memori M2. Tiadanya kemampuan untuk menaik taraf RAM adalah mengecewakan kerana ini ialah ciri ThinkPad untuk sekian lama tetapi terpaksa dilakukan untuk mengekalkan saiz komputer riba yang padat.

Membekalkan kuasa pula ialah bateri berkapasiti 48Wh yang menyokong pengecasan pantas 65W. Saiz bateri adalah lebih kecil berbanding MacBook Air M1 tetapi sistem pengecasan yang jauh lebih pantas akan membuatkan anda tidak merungut apabila kehabisan bateri. Bercakap mengenai pengecasan, X1 Nano dicas menggunakan port USB-C dan bukannya port empat segi ThinkPad yang ikonik. Sebagai insan yang sudah mempunyai banyak pengecas USB-C, keputusan Lenovo ini adalah bijak kerana mengurangkan keperluan membawa lebih dari satu pengecas apabila melakukan tugas luar (apabila dunia kembali ke keadaan pra Covid).

Kerana satu port USB-C Thunderbolt 4 telah diambil, pengguna hanya mempunyai satu sahaja port USB-C Thunderbolt 4 tambahan. Tiada langsung port USB-A atau pembaca kad memori disertakan. Yang ada hanyalah bicu audio 3.5mm. Pengorbanan yang perlu dilakukan untuk mengecilkan saiz menyebabkan Lenovo mengambil langkah Apple dengan hanya memberikan dua USB-C sahaja.

Slot untuk kad SIM bagi mereka yang inginkan sambungan LTE ketika di luar diberikan sebagai pilihan dengan bayaran tambahan RM750. Ini ialah pilihan tepat kerana ketiadaannya boleh menjadi deal braker kepada pengguna ThinkPad yang sebelum ini memiliki model lama yang mempunyai slot SIM.

Dua pembesar suara diletakkan di bahagian atas papan kekunci dengan sokongan Dolby Atmos. Dengan konfigurasi ini bunyi yang lantang boleh dinikmati kerana tidak memerlukan permukaan rata untuk melantunkan audio. Akhir sekali sebuah kamera web 720P dengan sistem pemancar infra merah bagi menyokong imbasan wajah Windows Hello disertakan. Sebuah pengimbas cap jari fizikal juga disertakan bagi mereka yang inginkan sistem biometri yang lebih selamat.

Kesemua ini dimasukkan ke dalam kerangka hanya sebesar 313.87mm x 292.8mm x 207.7 mm dan seberat 962 gram. Sungguh menakjubkan pelbagai komponen berkuasa tingi dan papan kekunci penuh dapat disumbat ke dalam sebuah mesin yang hanya 30% lebih berat dari sebuah iPad Pro.

Rekabentuk

Jika dah elok mengapa perlu diubah? Ini ialah pepatah yang boleh digunakan mengenai rekaan X1 Nano. Ia mengekalkan kesemua rekaan klasik sebuah ThinkPad sejak azali. Tubuh hitam kusam dengan kerangka diperbuat daripada gentian karbon dipadankan dengan penggunaan logo ThinkPad yang titik pada hurup “i” menyala dengan lampu merah apabila komputer riba mempunyai kuasa bateri.

Adakah ia cantik dan seksi? Jika ditanya diri saya yang berusia 40 tahun, rekaan ThinkPad adalah tidak lapuk dek hujan tidak lekang dek panas. Ianya klasik seperti kerusi Eames, Jaguar E-Type dan Supermarine Spitfire. Tetapi masalahnya golongan muda merasakan rekaan berkotak, minimalis dan kusam ThinkPad adalah sudah ketinggalan zaman yang menyasarkan pengguna seusia dengan ibu bapa mereka.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan ini tetapi saya juga berpendapat bahawa Billie Eilish, BTS dan Ariana Grande tidak menghasilkan muzik yang berseni. Jadi cantik ataupun tidak rekaan ThinkPad X1 Nano adalah berkadar terus dengan usia anda.

Yang boleh saya sentuh ialah jumlah I/O yang sedikit (hanya dua USB-C) seperti mencemarkan legasi ThinkPad sebagai komputer pejabat yang tidak berkompromi. Kedudukan lohong udara untuk penyejukan pada bahagian kanan menyebabkan udara panas dihembuskan ke tangan sekiranya anda tidak kidal. Butang kuasa juga terletak berhampiran lohong udara menyebabkan butang menjadi sedikit panas selepas beberapa ketika. Kedudukan yang kami rasakan kurang mesra pengguna.

Kamera web diletakkan pada bezel atas skrin dan ia tidak mengganggu kerana berjaya disorokkan dengan baik. Ia hadir dengan sistem privasi ThinkShutter yang menutup terus lensa secara fizikal bagi mereka yang risau diintip tanpa disedari.

Bahagian penutup dan tapak dengan kemasan kusam tidak mudah kotor tetapi jika tangan anda berminyak ia akan jelas kelihatan. Berita baiknya ialah permukaan X1 Nano mudah dibersihkan dengan menggunakan tisu.

Papan Kekunci

Papan kekunci ThinkPad mempunyai reputasi sebagai yang terbaik di pasaran. Walaupun kelihatan aneh dengan rekaan smiley dan sedikit berlekuk ia adalah atas sebab untuk memberikan tahap keselesaan yang tinggi ketika menaip. Pada X1 Nano kekunci yang digunakan masih mempunyai travel yang baik tetapi saya mempunyai isu dengan saiz keseluruhan papan kekunci ini sahaja.

Bagi menghasilkan komputer riba yang kecil. papan kekunci turut dikecilkan. Pada hemat saya kerana saiznya yang terlalu kecil, proses menaip tidak seindah dahulu kerana kedudukan tangan yang semakin rapat menyebabkan pergelangan tangan menjadi sakit. Kekunci juga terasa sedikit lembut berbanding model ThinkPad lain yang pernah diulas.

Apabila digunakan di atas permukaan meja, proses menaip masih lagi selesa tetapi apabila menaip di atas paha (yang kini menjadi posisi pilihan ketika bekerja dari rumah) keselesaan menaip tadi terus hilang. Apa yang boleh saya katakan ialah rekaan papan kekunci yang lebih kompak ini adalah tidak sesuai untuk insan bertubuh besar.

Saya mengulas X1 Nano selama dua minggu dan di akhir tempoh tersebut saya tidak mampu membiasakan diri dengan konfigurasi kekunci yang lebih sempit ini. Pergelangan tangan menjadi sakit dan typo menjadi semakin berleluasa kerana kekunci yang salah ditekan.

Satu lagi isu ialah kedudukan butang Fn dan Ctrl yang diterbalikkan pada kesemua ThinkPad. Jika anda baru pertama kali menggunakan ThinkPad, perubahan lokasi butang ini boleh menimbulkan kemarahan. Jadi sebagai orang lama sukacita saya maklumkan butang Fn dan Ctrl boleh dikembalikan ke konfigurasi papan kekunci biasa menerusi BIOS.

Pad Sesentuh

Dahulu saya kerap memuji pad sesentuh ThinkPad kerana mempunyai tiga butang fizikal tambahan dan satu puting tetikus berwarna merah. Ini ialah tradisi turun temurun kesemua ThinkPad. Ia adalah rekaan klasik yang masih dikekalkan. Saya memuji dahulu sebelum berjinak-jinak dengan pad sesentuh MacBook. Selepas menggunakan MacBook selama dua tahun, kini saya merasakan pad sesentuh ThinkPad bukan lagi yang terbaik.

Permukaannya kasar dan mekanisme mengesan klik adalah terlalu sensitif. Ia masih boleh mengesan sentuhan dengan baik tetapi saiznya terlalu kecil untuk digunakan ketika memproses gambar dalam Photoshop dan menyunting video dengan Premiere Pro. Saya faham tradisi perlu dikekalkan, tetapi mungkin sudah tiba masanya ThinkPad dengan pad sesentuh lebih besar ditawarkan.

Dengan pad yang lebih besar, ThinkPad tidak perlu lagi menyertakan puting tetikus. Puting tetikus ini dicipta 29 tahun yang lalu kerana pad sesentuh yang jitu masih belum wujud. Selepas hampir tiga dekad teknologi sudah semakin baik saya sendiri tidak menggunakannya dengan kerap kerap pad sesentuh memberikan kawalan yang lebih pantas.

Penggunaan

Ringkas kami katakan tiada isu besar langsung sepanjang tempoh ulasan selama dua minggu. Pemproses Intel Core-i7 Gen 11 dengan 16GB RAM yang digunakan cukup berkuasa untuk memproses bukan sahaja kertas kerja, imej dan video yang kami lontarkan ke dalam SSD. Fail PSD Photoshop yang besar sekalipun boleh dibuka dengan pantas tanpa ianya tersedak-sedak. Video juga boleh diproses dengan pantas menggunakan Premiere Pro. Kemampuan X1 Nano sebagai komputer kerja tidak boleh dipertikaikan.

Bagaimana pula dengan permainan video? Tiada masalah memainkan permainan video klasik seperti Diablo III, Commandos, Command and Conquer Tiberian Wars dan Age of Empires. Permainan pada resolusi penuh dan sekitar 60 FPS boleh dinikmati selepas tetapan permainan diubah ke sederhana. Tetapi permainan AAA yang lebih baharu tidak boleh dijalankan kerana umum diketahui kad grafik khusus dengan VRAM yang lebih besar diperlukan.

Bila difikirkan semula tidak realistik untuk memainkan permainan AAA pada sebuah komputer riba kerja nipis dan ringan. Kemampuan gaming X1 Nano yang tidak seberapa tidak boleh dianggap sebagai negatif. Jika inginkan sangat memainkan Cyberpunk 2077 sila alihkan tumpuan dan wang ringgit anda ke siri Lenovo Legion.

Kerana ini ialah X1 Nano, ramai yang bertanya adakah ia setanding dengan Macbook Air M1 kerana kedua-duanya mempunyai banyak persamaan serta bertarung dalam segmen yang sama. Dari segi kepantasan menjalankan pelbagai program hampir tiada beza. Photoshop boleh dibuka hampir sekelip mata pada kedua-dua komputer riba. MacBook sedikit lebih pantas dalam memproses video.

Tetapi perbezaan sebenar terletak pada haba yang dihasilkan ketika melakukan tugasan yang sama. Menonton video, menghadiri sesi telesidang, memproses gambar di Photoshop dan melayari web akan membuatkan X1 Nano menjadi sedikit suam pada bahagian bawah. Memproses video akan meningkatkan lagi pengeluaran haba panas menerusi lubang udara di sisi kanan. Bahagian bawah juga menjadi semakin panas dengan bunyi kipas mula dapat didengari.

Pada MacBook Air M1 kesemua ini tidak berlaku. Satu-satunya masa kami menyedari MacBook Air M1 menjadi panas ialah apabila memainkan permainan Apple Arcade dengan tetapan grafik tinggi. Panel bawah MacBook mula memanas sehingga kurang selesa untuk diletakkan di atas paha untuk menaip.

Sekiranya X1 Nano digunakan di atas meja, pemanasan panel bawah tidak menjadi isu kerana diserap permukaan meja. Tetapi ia mula mendatangkan ketidakselesaan jika digunakan di atas paha. Dari segi keselesaan bekerja jangka panjang, tiada komputer riba yang pernah kami gunakan dapat menandingi MacBook Air M1. Bekerja 10 jam sekalipun ia langsung tidak panas. Perkara yang sama tidak boleh kami katakan mengenai X1 Nano.

Penanda Aras

Dalam Geekbench 5, 1397 markah dicatatkan untuk ujian satu teras dan 4239 markah untuk ujian multi teras. Ini ialah markah hampir setanding dengan cip Intel Core i7-1165G7 pada ASUS Zenbook Flip S OLED yang mencatatkan 1466/4716 markah dalam ujian yang sama. Tetapi cip terbaik Intel untuk komputer riba mudah alih ketinggalan di belakang 1730/7656 markah yang dicatatkan cip M1 pada MacBook Air.

Dalam ujian SSD pula, X1 Nano mencatatkan kelajuan membaca 2484 Mb/s dan 1786 Mb/s untuk menulis. Sekali lagi ini adalah lebih perlahan berbanding 3204/2776 Mb/s yang dicatatkan SSD MacBook Air M1.

Prestasi Intel Core i7-1160G7 adalah di belakang cip Apple M1 pada waktu ini. Oleh sebab itulah kami katakan M1 ialah cip yang menggemparkan industri. Kelebihan cip Intel pada waktu ini ialah sokongan perisian legasi yang lebih baik, tiada isu menjalankan perisian dengan pemalam dan sokongan perisian profesional yang masih lebih baik berbanding di macOS Big Sur.

Audio

Pembesar suara stereo diletakkan di bahagian atas berhampiran dengan papan kekunci. Kualiti audio adalah baik kerana bunyi dapat dihalakan terus ke telinga dan tidak dipantulkan ke bahawa seperti majoriti komputer riba WIndows 10. Bunyi cukup lantang untuk menonton video dan menghadiri sesi telesidang ketika bekerja dari rumah.

Bateri

Menurut spesifikasi rasmi yang diiklankan oleh Lenovo, X1 Nano boleh beroperasi sehingga 17 jam. Ini adalah anggaran yang terlalu optimistik jika dibandingkan dengan realiti. Pada penggunaan standard kami di pejabat sepanjang PKP, hayat penggunaan terbaik ialah sekitar 10 jam dan paling rendah pula adalah sekitar 8 jam.

Ini adalah hayat bateri yang sederhana sahaja untuk sebuah komputer riba kegunaan pejabat dari kategori ringan dan nipis. Ia boleh melepasi keperluan bekerja 8 jam sehari tetapi tidak melepasi piawaian peribadi kami yang bekerja sehingga 15 jam sehari secara purata. Juara bateri untuk komputer kerja masih dipegang oleh MacBook Air M1 yang boleh digunakan sehingga 17 jam pada penggunaan berat kami walaupun dengan bateri sekadar 1 Wh lebih besar.

Perkara positif yang boleh kami katakan ialah pengecas pantas 65W boleh memenuhkan bateri dalam masa 60 minit sahaja. Seperti yang kami katakan beberapa perenggan di atas, pengecas juga menggunakan kepala USB-C yang kini pantas menjadi standard pada telefon pintar, tablet, jam tangan pintar dan kini komputer riba.

Kesimpulan

Lenovo ThinkPad X1 Nano ialah iterasi seterusnya dalam keluarga ThinkPad yang berusia lebih suku abad. Dengan pengalaman yang cukup lama ini, Lenovo berjaya menghasilkan sebuah komputer riba yang bukan sahaja serasi untuk keperluan tenaga kerja profesional moden tetapi masih boleh menawarkan pengalaman permainan video kelas permulaan selepas tamatnya waktu bekerja. Pepatah Inggeris ada berkata “all work and no plat makes Jack a dull boy. Lenovo ThinkPad X1 bukanlah komputer riba yang membosankan.

Skrin resolusi tinggi yang dikahwinkan dengan pemproses Intel generasi-11 yang padu serta papan kekunci yang direka untuk menaip lama adalah kombinasi yang cukup mantap. Tiada sebarang isu besar kami hadapi semasa menggunakan X1 Nano sepanjang tempoh ulasan.

Isu hanyalah papan kekunci yang terlalu sempit untuk insan berbadan besar seakan Majin Buu kami sehingga menimbulkan ketidakselesaan ketika menaip, suhu meningkat menjadi sedikit suam walaupun menonton video dan hayat bateri yang tidak melepasi piawaian yang meningkat mendadak selepas MacBook Air M1 mula dipasarkan.

Bagi yang memang mencari komputer riba kerja Windows 10, X1 Nano boleh disarankan kerana mengetik kesemua kotak keperluan. Dengan harga bermula dari RM7,347 (selepas diskaun), X1 Nano adalah komputer riba kelas bangsawan. Sebagai perbandingan MacBook Pro M1 dengan spesifikasi hampir setanding boleh dibeli pada harga RM 6,399 sebuah. Pilihan di tangan anda kerana di akhir hanya Lenovo ThinkPad X1 Nano menawarkan prestasi yang baik dalam pakej yang cukup kompak.

PRO dan Kelebihan
  • Prestasi yang amat baik untuk penggunaan pelbagai program.
  • Boleh digunakan untuk sesi permainan video ringan.
  • Papan kekunci yang direka untuk menaip pantas dan ianya kalis air.
  • Rekabentuk klasik ThinkPad
  • Sistem imbasan wajah Google Hello yang pantas dengan sokongan pengimbas cap jari.
  • Pengecas 65W yang pantas.
  • Rekaan yang cukup padat dan berat bawah 1Kg.
KONTRA dan Kekurangan
  1. Pilihan I/O yang terhad kepada dua USB-C Thunderbolt 4.
  2. RAM disadur terus ke papan induk tidak boleh dinaiktaraf sendiri.
  3. Hayat bateri yang sekadar sederhana.
  4. Pad sesentuh kurang memuaskan.
  5. Cip Intel memanas walaupun ketika menonton video YouTube.
  6. Harga tahap bangsawan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami