Dengan pelancaran cip Apple M1, era baharu komputer Apple bermula tahun lalu. Tiga peranti macOS memasuki pasaran iaitu MacBook Air M1, MacBook Pro M1 dan Mac mini M1. Kesemuanya mempunyai prestasi yang hampir setanding tetapi dengan ciri-ciri yang berbeza. Secara lazimnya MacBook Air ialah pilihan paling selamat untuk mereka yang ingin berjinak-jinak dengan ekosistem Apple maka adakah MacBoor Air M1 turut akan meneruskan tradisi ini? Tentunya soalan yang ingin dijawab ialah masihkah berbaloi untuk membeli MacBook dengan cip Intel yang pada waktu ini dijual pada harga runtuh di pasaran? Ulasan akan menjawab kesemua soalan ini dan banyak lagi.
Spesifikasi Dan Rekabentuk
Apple MacBook Air M1 (2020) | |
---|---|
Skrin | 13.3″ IPS LCD Retina Display 2460×1600 pixel. |
Pemproses | Apple M1 (5nm) |
Cip | 3.2 GHz 8 Teras |
Cip Grafik | Apple GPU |
RAM | 16GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 1TB PCIe |
Kamera Utama | FaceTime HD (720P) |
I/O | 2 USB-C (Thunderbolt 3/USB 4) |
Bateri | 4379mAh / 49.9 Wh Pengecasan 30W USB-C |
SIM/Telefoni | Tiada |
WiFi | 802.11a/b/g/n/ac/6 |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin Touch ID |
Harga Jualan | Bermula RM4399 |
Tiada perubahan yang besar dilakukan oleh Apple pada MacBook Air. Ia masih dilengkapi skrin 13.3″ IPS LCD dengan resolusi retina 2560×1600 pixel bernisbah 16:10 tanpa sokongan sesentuh. Pada model M1, penambahan sokongan warna P3 juga disertakan sekali dengan keterangan maksimum mencecah 400 nits.
Hanya dua pilihan cip pemproses diberikan kali ini iaitu Apple M1 lapan teras dengan empat teras prestasi tinggi dan empat lagi teras prestasi rendah dengan GPU 8 teras atau GPU 7 teras. Secara teknikalnya M1 ialah cip A14 dengan tambahan dua teras prestasi tinggi. Pilihan RAM pula adalah 8 atau 16 GB LPDDR4X manakala pilihan storan SSD pula ialah 256, 512, 1000 dan 2000 GB. Model yang diulas kami ialah 16GB LPDDR4X dan storan 1TB.
Seperti kesemua MacBook yang ditawarkan oleh Apple, modul RAM dan SSD dipateri terus pada papan induk. Lakukan pilihan yang bijak sebelum melakukan pembelian kerana pengguna tidak boleh melakukan penambahan pasca pembelian.
Tradisi lain yang masih diteruskan ialah penggunaan kamera web FaceTime HD 720P yang ditawarkan sejak 2012. Ya tuan-tuan dan puan-puan, teknologi klasik yang berusia hampir 9 tahun masih digunakan pakai sedangkan ia sudah menjadi rungutan pengguna MacBook sejak tiga tahun yang lalu. Aneh sekali Apple tidak meningkatkan kualiti ke HD penuh sedangkan di dalam dunia pandemik, kamera web beresolusi tinggi kini adalah keperluan kerana kekerapan melakukan telesidang.
Bateri juga masih 49.9Wh yang boleh dicas menggunakan dua port USB-C Thunderbolt 4 pada sisi kiri komputer. Untuk mengecas anda hanya perlu menggunakan sebuah pengecas 30W. Kedua-dua port Thunderbolt 4 yang sama boleh menyokong output dua monitor 4K 60Hz secara serentak atau satu monitor 5K 50Hz. Jumlah port adalah sedikit dan bermakna penggunaan penyesuai untuk USB-C, pembaca kad memori, LAN dan HDMI adalah keperluan.
Menemani dua port USB-C ini ialah satu bicu audio 3.5mm pada sisi kanan. Kami berterima kasih kepada Apple kerana masih belum berani untuk membuangnya dari MacBook. Masih ramai memerlukan bicu audio pada komputer riba sekali lagi untuk tujuan telesidang serta melakukan rakaman audio misalnya.
Dua pembesar suara pula menghimpit kedua-dua sisi papan kekunci. Kekisi audio adalah besar bagi membolehkan audio yang lantang dihasilkan menghala terus ke atas. Ini pada hemat kami adalah rekaan paling optimum untuk pembesar suara pada komputer riba. Konfigurasi lain yang menembak ke bawah akan mendatangkan masalah sekiranya komputer riba tidak diletakkan pada permukaan rata.
Kesemua ini dimasukkan ke dalam kerangka hanya sebesar 304.1 x 212.4 x 16.1 mm seberat 1.29kg. Apabila dibandingkan dengan MacBook Air 2019, ia sedikit lebih berat dan tebal. Tetapi sebagai pemilik MacBook Air 2019, perubahan dimensi serta berat ini tidak langsung kami sedari. Kesemua aksesori dari generasi lalu masih boleh dipakai semula pada MacBook M1. Saiznya masih lagi kompak dan ianya tidak berat untuk digendong sepanjang sehari ketika melakukan tugasan luar.
Rekabentuk
Tiada perubahan langsung dilakukan dari sudut rekaan luaran. Tubuh pipih MacBook Air yang menjadi ikonik sejak 13 tahun yang lalu dikekalkan. Bak kata pepatah sekiranya sudah sempurna mengapa perlu diubah. Apple percaya rekaan yang digunakan ini ialah kemuncak tanpa perlu melakukan perubahan untuk setiap generasi baharu seperti yang dilakukan oleh pengeluar komputer riba Windows. Hanya Lenovo sahaja yang kami rasakan berani mengekalkan rekaan klasik ThinkPad mereka walaupun generasi muda merasakan rekaan sudah agak berusia.
Tubuh masih lagi diperbuat daripada logam dengan kemasan yang kusam. Cap jari hanya melekap pada logo Apple pada bahagian penutup tetapi tubuh MacBook Air M1 masih lagi mampu memerangkap kotoran sekiranya tangan berminat. Ia juga masih tidak begitu tahan lasak kerana selepas seminggu kami menyedari panel bawah MacBook mempunyai kesan calar mikro yang ketara.
Jadi tidak mengejutkan wujud industri kecil kerangka tahan calar untuk MacBook di pasaran sekarang. Kerana rekaan setiap generasi adalah sama, mereka yang mempunyai kerangka lama masih boleh menggunakannya semula pada MacBook Air M1 walaupun adalah sedikit ketat disebabkan tubuh yang sedikit lebih besar.
Satu perubahan yang mungkin tidak disedari ialah tiada lagi ruang udara diletakkan di antara skrin dan tubuh bagi tujuan pengudaraan. Buat pertama kali dalam sejarah MacBook, tiada sistem penyejukan aktif disertakan. Memandangkan cip M1 adalah berasaskan cip Apple A14, Apple cukup yakin sistem kipas tidak diperlukan. Dengan kata lain MacBook Air M1 kini lebih hampir kepada iPad dan iPhone dari sebuah MacBook. Jika anda masih belum cukup yakin dengan cip ini, sistem kipas aktif masih ditawarkan pada model MacBook Pro 13 M1 baharu.
Tanpa lubang udara tiada lagi kerisauan debu akan memasuki ruang dalaman komputer riba dan tiada lagi deruman kipas apabila pemproses lebih tinggi diperlukan. Pada waktu ini masih tiada lagi laporan isu pemanasan melampau yang membuatkan keputusan tidak menyertakan kipas adalah langkah yang salah.
Bercakap mengenai engsel skrin, ia juga masih boleh dibuka sehingga 135 darjah bagi membolehkan proses menaip dilakukan dengan selesa. Sebagai insan yang suka menaip ketika berbaring di atas katil (tabiat buruk yang kami lakukan sepanjang PKP), sudut bukaan skrin MacBook Air M1 adalah cukup memuaskan. Engsel ini juga cukup ketat untuk membolehkan skrin dibuka dengan sebelah tangan tetapi tidak bergegar ketika menaip. Nyata cukup seimbang.
Papan Kekunci
Papan kekunci Magic Keyboard dikembalikan semula pada MacBook Air Mac 2020 setelah sekian lama menjadi bahan rungutan pengguna. Isu papan kekunci yang mudah tersekat dan tidak begitu tahan lasak untuk pengguna yang menaip secara agresif beberapa kali kami laporkan sehingga Apple menawarkan program gantian percuma kepada pembeli.
Sebagai pengguna MacBook Air dengan kekunci Butterfly, pada awalnya proses menaip pada kekunci Magic adalah agak canggung kerana telah biasa dengan travel Butterfly yang lebih cetek. Tetapi selepas beberapa hari kami boleh katakan menaip pada kekunci Magic adalah lebih selesa untuk jangka masa panjang travel yang lebih dalam. Proses menaip sebenarnya lebih pantas pada Butterfly tetapi secara peribadi kami memilih untuk menaip lebih selesa dari lebih pantas. Kurang seksaan pada hujung jari di akhir waktu bekerja 10 jam setiap hari.
Kami tidak boleh meramal sama ada kekunci Magic mempunyai ketahanan jangka panjang. Yang boleh kami katakan MacBook Air Butterfly kami sudah mempunyai beberapa kekunci yang haus dan hancur kerana tabiat menaip yang agresif. Ketika menaip juga bunyi yang dihasilkan tidak sebising pada Butterfly. Jika komputer rakan sepejabat yang sudah menggunakan MacBook Air Magic sejak lima tahun lalu boleh dijadikan kayu pengukur, Magic lebih tahan lasak berbanding Butterfly.
Kesemua 78 kekunci hadir dengan sokongan lampu berwarna putih. Terdapat 16 tahap keterangan lampu yang boleh diubah oleh pengguna mengikut keselesaan mata dan situasi. Sebuah butang kuasa dengan pengimbas cap jari Touch ID disertakan bagi membolehkan log masuk tanpa menggunakan kata laluan. Proses nyahkunci Touch ID masih boleh dilakukan dengan masalah walaupun tangan sedikit berminyak. Satu kekunci khas untuk Emoji juga disertakan buat pertama kali kerana ia kini digunakan dengan meluas di media sosial serta aplikasi pemesejan.
Pad Sesentuh
Pad sesentuh Force Touch yang agak besar turut dikekalkan tetapi masih tidak sebesar pada MacBook Pro. Ia masih lagi pada hemat kami pad sesentuh yang terbaik pernah digunakan pada komputer riba. Dari segi kejituan mengesan pergerakan jari dan gestur, Apple adalah yang terbaik di dalam industri. Ianya cukup jitu sehingga kami tidak pernah lagi memerlukan tetikus untuk melakukan suntingan gambar dalam Adobe Photoshop.
Jika ada komen negatif yang ingin diberikan ialah kami mengharapkan saiz pada sesentuh yang lebih besar seperti pada MacBook Pro 13. Alang-alang Apple yang terkenal dengan simetri, apa salahnya jika saiz pad sesentuh yang ditawarkan pada MacBook diselarikan pada kesemua model.
Penggunaan
Sistem operasi macOS Big Sur diberikan secara terpasang dengan beberapa penambahbaikan diberikan sepanjang tempoh ulasan. Kami hanya mula menggunakan MacBook ini pada permulaan Mac dan ketika artikel ditulis terdapat banyak aplikasi yang menyokong M1 secara natif seperti Google Chrome, VLC, Adobe Photoshop dan Adobe Lightroom. Terdapat juga aplikasi yang sudah memulakan ujian Beta sekiranya anda berani mencuba.
Secara keseluruhan pengalaman adalah hampir sama sahaja dengan versi cip Intel. Aplikasi yang masih lagi berasaskan Intel X86 boleh dijalankan menerusi Rosetta 2. Kesemuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar. Perbezaan paling ketara ialah tiada isu pemanasan. Isu utama kami pada MacBook Air Intel ialah pemanasan apabila menstrim video, aplikasi telesidang dan Photoshop. Apabila suhu meningkat prestasi akan turut mendadak sekaligus menjejaskan prestasi bateri.
Semasa tempoh PKP hayat bateri sekitar 7 jam adalah normal pada hari bekerja yang memerlukan kami menggunakan Zoom dan Photoshop dengan kekerapan yang tinggi. Macbook Air Intel menjadi panas sehingga tidak selesa diletakkan pada paha. Kesemua isu ini tidak berlaku langsung pada MacBook Air M1.
Adalah seperti ilmu sihir MacBook Air M1 boleh melakukan kesemua tugasan yang sama tanpa ia menjadi panas walaupun sekali. Sudah masuk minggu ke-lima kami menggunakan MacBook ini dan ia mampu memberikan prestasi yang tinggi pada waktu yang sama mengekalkan suhu sesejuk salju. Janji Apple bahawa ia boleh beroperasi dengan sejuk, pantas dan senyap berjaya ditepati.
Tetapi masih ada beberapa isu yang perlu kami rasa perlu diketengahkan. Sekiranya anda menggunakan pemalam pada Photoshop dan Premiere Pro, beberapa pemalam popular masih tidak disokong pada dua perisian popular ini.
Kami juga tidak boleh menyarankan anda menggunakan MacBook Air M1 sebagai mesin memproses video. Ketiadaan kipas membuatkan ia menjadi hangat terutamanya apabila memproses video 4K. Tanpa kipas dan lohong udara, kami tidak merasakan ini adalah kombinasi baik untuk jangka masa panjang. Tambahan lagi menggunakannya sebagai peranti untuk gaming juga tidak disarankan. Beberapa permua 3D dari Apple Arcade dengan pantas meningkatkan suhu ke tahap ia menjadi agak tidak selesa.
MacBook Air sejak dari permulaan lagi adalah komputer yang dihasilkan untuk tugasan sederhana ringan kegunaan pelajar dan pekerja pejabat. Sekiranya digunakan seperti MacBook Pro, isu pemanasan mula muncul. Ini adalah sebab mengapa kipas disertakan pada MacBook Pro M1. Adakah isu ini perlu diletakkan di kolum negatif? Kami rasakan tidak kerana MacBook Air tidak direka untuk tugasan-tugasan berat.
Penanda Aras
Dalam Geekbench 5, 1730 markah dicatatkan untuk ujian satu teras dan 7656 markah untuk ujian multi teras. Ini ialah markah yang tinggi apabila dibandingkan dengan Intel Core i7-1165G7 pada ASUS Zenbook Flip S OLED yang mencatatkan 1466/4716 markah dalam ujian yang sama. Prestasi Apple M1 bukan sekadar cakap kosong untuk melakukan jualan.
Ini semua adalah ujian sintetik tetapi adalah ia menunjukkan prestasi dunia sebenar? Jawapannya ya. Memang terasa kepantasan MacBook Air M1 ketika memproses video 4K menggunakan Final Cut Pro. Tiada isu untuk melakukan scrubbing susur masa dan melakukan prebiu. Kami hanya boleh bermimpi menyunting video 4K pada MacBook Air Intel 2019 kami kerana ia akan menjadi panas melampau sebelum mula tersengguk akibat throttling.
Bercakap tentang throttling, pada MacBook Intel secara lazimnya kelajuan pemproses akan dikurangkan apabila bateri mencapai tahap 10%. Ini tidak berlaku pada MacBook Air M1 dengan kuasa yang konsisten diberikan sehinggalah bateri mencapai tahap sifar.
Audio
Dua pembesar suara stereo yang mengepit papan kekunci memberikan pengalaman audio yang lantang dan jelas. Kerana ia menambak terus ke telinga, audio yang dihasilkan konsisten baik walaupun apabila komputer diletakkan pada paha. Tiada komen negatif yang boleh kami berikan kerana prestasi pembesar suara kami sedari bukan antara ciri terpenting ketika melakukan pembelian komputer riba.
Bateri
Apple mengiklankan hayat penggunaan melayari web sehingga 18 jam dengan sekali caj peningkatan 33% berbanding model Intel yang bertahan hanya sehingga 12 jam. Ini dapat dinikmati sekiranya pengguna melayari web menggunakan Safari. Tetapi dalam dunia yang realistik tidak ramai menggunakan hanya Safari.
Dalam ujian menggunakan Google Chrome binaan natif M1 dan Photoshop (juga natif M1), secara purata kami dapat menikmati hayat penggunaan sehingga 12 jam. Ini adalah jauh lebih baik berbanding purata 7 jam pada MacBook Intel. Mentsrim video selama sejam hanya menurunkan bateri sekitar 3%. Ini adalah mustahil pada MacBook Air Intel.
Apabila kehabisan bateri pula, proses mengecasnya semula adalah sekitar 2.5 jam menggunakan pengecas 30W USB-C yang disertakan dengan setiap pembelian. Tidak seperti pada iPhone dan Apple Watch, Apple masih menyertakan pengecas dalam kotak.
Kesimpulan
Apple MacBook Air M1 ialah permulaan yang baik untuk Apple Silicon kerana berjaya menawarkan sebuah komputer riba kompak ringan dengan prestasi setanding sebuah MacBook Pro Intel pada harga yang lebih mampu milik. Tiada perubahan besar dilakukan pada rekaan tetapi bagi kebanyakan pengguna, prestasi cip M1 dan baterinya adalah dua sebab mengapa kami kategorikan MacBook Air M1 sebagai yang terbaik dalam kelasnya.
Tanpa masalah memintas prestasi MacBook Pro 13″ Intel Core-i5 yang dilancarkan Mei tahun lalu dan juga ASUS ZenBook Flip S OLED UX371 dengan Intel Core i7-1165G7 (16GB / 1TB) yang kami ulas Mac lalu. Untuk tugasan biasa ia mampu melakukan perkara yang sama pada MacBook Intel cuma tanpa sebarang haba, bateri yang mengalir seperti air dan lebih pantas. Walaupun tidak dipasarkan sebagai komputer tugasan berat seperti suntingan video, ia masih boleh dilakukan lebih pantas cuma kami tidak boleh sarankan kerana barulah tubuh memanas.
Isu lama seperti kekurangan I/O dan keperluan untuk memiliki ekosistem masih lagi wujud tetapi ini ialah “bayaran” untuk menggunakan produk Apple. Ada yang mengatakan ia berbaloi dan ramai juga yang mengatakan tidak. Dari perspektif pengguna Mac yang dahulunya menggunakan Windows 10, kami boleh katakan M1 ialah penambahbaikan yang amatlah dinantikan dan berbaloi sekiranya boleh bersabar dengan aplikasi yang masih belum 100% natif dan harga jualan yang lebih tinggi.
Bagi pengguna MacBook Air, kami boleh katakan dengan penuh keyakinan supaya beli MacBook Air M1 hari ini dan abaikan MacBook Air Intel yang kini ditawarkan pada harga jauh lebih mudah. Prestasi cip, kepantasan, bateri dan tiada isu haba adalah amat berbaloi untuk membayar lebih tahun ini.
PRO dan Kelebihan
- Prestasi yang jauh lebih baik berbanding model dengan cip Intel. Pantas bak peluru.
- Pantas bak peluru tetapi tanpa berfungsi sejuk bak salju dalam 99% situasi.
- Rekabentuk klasik yang premium.
- Paparan yang tajam dan terang. Boleh dilihat dengan jelas walaupun digunakan di luar.
- Masih pad sesentuh terbaik untuk komputer riba.
- Magic Keyboard hanya mampu ditandingi kekunci ThinkPad
- Hayat bateri yang terbaik dalam kelas.
KONTRA dan Kekurangan
- Pilihan I/O yang terhad kepada dua USB-C Thunderbolt 4. Perlu membeli penyesuai.
- RAM dan SSD dipateri ke papan induk. Tidak boleh ditambah baik.
- Tiada semua perisian menyokong M1 secara natif.
- Tiada kipas bermakna ia menjadi panas apabila menyunting vide dan menjalankan permainan video.
- Harga masih kelas bangsawan.