Huawei Watch Fit sudah hadir ke pasaran Malaysia sejak Ogos tahun lalu, ia dijual pada tanda harga RM499. Ia mirip dengan Huawei Band 6 tetapi dengan sedikit perubahan. Versi lebih premium iaitu Huawei Watch Fit Elegant dilancarkan pula pada Mac lalu dan terkini, versi lebih kompak – Huawei Watch Fit Mini telah dilancarkan.

Ia hadir dengan skrin AMOLED segi empat yang memanjang bersaiz 1.47-inci, sedikit tirus berbanding Watch Fit biasa yang lebih lebar. Resolusi adalah 194 x 368 piksel, hadir dengan beberapa ciri dan fungsi asas jam tangan pintar seperti notifikasi, penggera, pemasa, penjejakan tapak, membaca SpO2, memantau tekanan, pemantauan tidur dan lain-lain yang sama pada Watch Fit sebelum ini.

Ia turut hadir dengan 96 mod sukan termasuk berbasikal, berenang, berlari dan pelbagai lagi. Perlindungan air adalah 5ATM dan menawarkan ketahanan bateri sehingga 14 hari dengan kapasiti bateri 180mAh. Huawei Watch Fit Mini ini kelihatan satu lagi iterasi Mi Band daripada Huawei.
Ia dijual di Jerman pada harga RM476, yang mana di negara ini cukai agak tinggi. Jika ditolak ia berharga hanya sekitar RM400 sahaja. Tidak pasti jika ia akan ditawarkan di Malaysia ataupun tidak.