Spotify sebelum ini telah memperkenalkan langganan Spotify Premium Mini yang membolehkan pengguna menikmati akses kepada Spotify Premium untuk tempoh terhad – sama ada secara harian atau mingguan.
Ia amat berguna bagi anda yang sedia selesa dengan pelan percuma, tetapi inginkan langganan sementara – sebagai contoh ketika di luar negara dan inginkan akses luar talian.
Ketika pengenalan, Spotify Mini ditawarkan pada harga bermula RM1.50 sehari, sebelum dikurangkan kepada RM1 sehari.
Kini, Spotify mengemaskini sekali lagi harga penawaran, dimana ia ditawarkan pada harga RM0.75 sehari, atau seminggu pada RM2.90 (sebelum ini pada harga RM3.90).
Apa yang menariknya berkenaan dengan pelan Spotify Premium Mini kali ini adalah langganan mingguan dilihat mungkin sedikit menguntungkan beberapa pengguna berbanding langganan tahunan.
Sebagai contoh, untuk setahun, langganan mingguan adalah sekitar RM150.80 (52 minggu * RM2.90), sementara untuk langganan bulanan ianya adalah sekitar RM178.80 (14.90*12).
Namun, dari segi penawaran lain yang membezakan adalah dimana Premium Mini hanya menyokong muat-turun sehingga 30 lagu sahaja, sokongan satu peranti sahaja (berbanding Premium sehingga 5 peranti), selain kualiti audio 160kbps (Premium pada kadar 320kbps).