Carian
Redmi Watch 2 Dilancarkan Dengan Rekaan Skrin Lebih Besar
October 28, 2021 Amy Maizuraa

Selain daripada telefon pintar, rangkaian peranti boleh-pakai Redmi turut dikemaskini dengan penawaran model baharu. Melaluinya, Redmi Watch 2 telah diumumkan dengan beberapa penambahbaikan menarik.

Jelas kelihatan, Redmi Watch 2 masih mengekalkan elemen rekaan seumpama yang terdapat pada pendahulunya. Di mana, ia lengkap dengan muka jam berbentuk segi empat bersama satu butang fizikal yang terbina pada sisi kanan. Kemudian, tali yang disertakan pula menggunakan bahan berasaskan plastik TPU yang boleh ditukar ganti mengikut keperluan.

Namun begitu, Redmi Watch 2 ditambah baik dengan sokongan paparan AMOLED sebesar 1.6-inci beresolusi 320 x 360 piksel yang lebih terang. Ia juga dilengkapi sehingga 100 pilihan muka dan terdapatnya 117 mod sukan berbeza untuk kemudahan pengguna. Difahamkan, 17 jenis daripada mod sukan berkenaan terdiri daripada senaman jenis profesional.

Di samping itu, ia juga hadir dengan sejumlah sensor terbina untuk pemantauan kesihatan seperti pemantauan kadar degupan jantung, pengesanan pola tidur, penjejakan kitaran haid dan banyak lagi. Sokongan pengesanan ketepuan oksigen (SpO2) yang turut disertakan juga adalah salah satu penambahan ciri baru.

Tidak habis di situ, ia juga mempunyai ketahanan bateri lebih baik mencapai 12hari lamanya. Lain-lain spesifikasi termasuklah – sokongan GPS, GLONASS, Galileo, BeiDou, NFC, penarafan kalis air 5ATM, pembantu maya Xiao AI dan banyak lagi. Di China, Redmi Watch 2 dijual pada RMB399 (~RM259) dengan tiga pilihan warna menarik.

Komen