Carian
Ulasan Vivo X70 Pro – Idea Kemasan A+, Prestasi Juga Boleh Tahan
November 5, 2021 Amy Maizuraa

Vivo berjaya menarik perhatian ramai atas kerjasamanya bersama pakar optik Zeiss untuk membawakan pengalaman fotografi yang mengagumkan dalam sesebuah peranti pintar. Melaluinya, Vivo menawarkan prestasi kamera yang baik pada peranti pintar premiumnya iaitu siri Vivo X60. Perkara berkenaan juga dilihat mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak – rata-ratanya disambut baik dan dianggap sebagai idea yang seharus dipuji.

Lanjutan daripada itu, Vivo dilihat menggunakan pendekatan yang sama pada peranti premium baharu mereka – iaitu siri Vivo X70. Di Malaysia, terdapat sebanyak dua model berbeza yang telah diperkenalkan. Ianya terdiri dengan Vivo X70 dan Vivo X70 Pro. Kedua-duanya berkongsi sebahagian besar spesifikasi utama yang sama. Beza ketara hanya terletak pada sokongan kamera utama dan kapasiti bateri.

Tetapi, mampukah Vivo menawarkan pengalaman penggunaan peranti yang lebih baik berbanding pendahulunya? Mari kita lihat. Tapi sebelum itu, mesra untuk kami katakan artikel ulasan ini hanya memfokuskan kepada model Vivo X70 Pro.


Spesifikasi Ringkas Peranti

Telefon PintarVivo X70 PRO
Skrin6.56-inci AMOLED 120Hz, HDR10+, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~395 ppi)
PemprosesMediaTek Dimensity 1200(6 nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-A78
3 x 2.6 GHz Cortex-A78
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G77 MC9
RAM12GB RAM
Muatan Dalaman256GB ROM
Kamera UtamaSudut-Lebar – 50 MP (f/1.8)
Periskop – 8MP (f/2.2)
Telefoto -12MP (f2.0)
Ultra-lebar – 12MP (f/2.2), OIS
Kamera Swafoto32MP (f/2.5)
Bateri4,450mAh
Pengecasan pantas 44W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano
NFCAda
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Imbasan Wajah
Harga JualanRM3,299 (12GB/256GB)

Rekaan Dan Skrin

Perlu kami katakan, ada pro dan juga kontranya untuk reka bentuk pada peranti pintar ini. Vivo X70 Pro adalah peranti yang nipis dengan rekaan premium. Tidak dinafikan, ia memiliki reka bentuk yang setanding dengan beberapa telefon pintar kelas perdana di pasaran. Nipis, premium dan bergaya. Pada masa sama, peranti juga sangat selesa dipegang kerana ia mempunyai skrin yang melengkung pada bahagian sisi kiri dan kanan. Bingkai pula adalah logam. Turut melengkapinya, sebuah lubang kamera yang bersaiz kecil diletakkan pada bahagian tengah.

Dalam penelitian ini, kesemua pendekatan yang digunakan adalah baik bagi menjadikan bezel kelihatan kecil. Jadinya, skrin kelihatan lebih seimbang, luas dan sedap dipandang mata. Tetapi, binaan skrin melengkung sebegini sering kali mengakibatkan isu tersentuh skrin secara tidak sengaja. Di samping itu, isu skrin melimpah juga berlaku sewaktu menonton dengan mod paparan penuh.

Skrin Vivo X70 Pro adalah bersaiz 6.56-inci AMOLED beresolusi FHD+ (2376 X 1080 piksel). Ia juga menyokong kadar segar semula 120Hz untuk pengalaman penggunaan cukup lancar. Ia bagaimanapun perlu diaktifkan secara manual menerusi ruang tetapan. Kombinasi ini bertambah menarik apabila paparannya turut menyokong pensijilan HDR10+ untuk pengalaman tontonan kandungan multimedia lebih baik. Seperti yang dijangkakan, paparannya cukup terang, tajam dan penghasilan semula warna juga cukup baik.

Secara keseluruhannya, memang kami akui pengalaman penggunaan yang baik boleh sahaja dinikmati – baik digunakan sewaktu di dalam mahupun luar sesebuah bangunan. Mod 120Hz juga berfungsi dengan baik. Di mana tatalan terasa lancar dan kebanyakan aplikasi serta peralihan animasi juga mampu beroperasi dengan baik. Sungguhpun begitu, ia sebenarnya tidaklah sentiasa menyokong mod 120Hz, sebaliknya ada sesetengah kandungan yang akan dihadkan pada kadar segar semula 60Hz secara lalai.

Seterusnya, ia juga dihiasi permukaan tubuh berasaskan matte yang menarik dengan beberapa pilihan warna seperti Cosmic Black dan Aurora Dawn (sama seperti unit ulasan yang kami terima). Kemasan digunakan memperlihatkan kilauan halus yang memberikan kesan lebih menyerlah. Pada masa sama, warna tubuh juga boleh berubah mengikut sudut pandangan tertentu. Secara kasarnya, ia memperlihatkan warna biru tetapi kadang kala berrubah menjadi kemasan bewarna kuning.

Kemasan yang digunakan ini tidak mudah untuk mengumpul kotoran tetapi agak licin untuk dipegang. Secara tidak langsung, risiko untuk terlepas daripada tangan dan kemudiannya terjatuh ke lantai adalah tinggi sekali. Justeru itu, penggunaan kerangka adalah amat disarankan. Meskipun, ia bukanlah jaminan penuh untuk peranti kekal cantik selamanya. Tetapi, sekurang-kurangnya agak membantu.

Kemudian, perlu diakui yang mana kami kurang berkenan dengan saiz bonggol kamera utamanya yang tebal. Akibatnya peranti terasa sedikit berat. Ketebalannya juga sedikit kurang selesa kerana ia mudah calar jika tidak dijaga dengan baik. Bersama-sama dengannya terdapat sistem kuad-kamera yang disusun secara menegak, di samping sokongan LED Flash memanjang yang diletakkan secara bersebelahan.

Jika diteliti dengan baik juga, terdapatnya penjenamaan ZEISS dengan pengiktirafan khusus ZEISS T* Coating untuk kualiti imej lebih baik dengan warna yang semula jadi. Tidak kira sama ada penggambaran pada waktu siang atau malam. Kameranya juga mempunyai sistem gimbal yang sangat membantu untuk rakaman lebih jelas. Sungguhpun begitu, ia tidak mempunyai cip pengimejan V1 sepertimana yang terdapat pada model versi China.

Kesemua butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Kemudian, ketiadaan sokongan sistem sekuriti secara fizikal jelas menunjukkan Vivo X70 Pro menggunakan pengimbas cap jari pada paparan. Ia berfungsi dengan pantas dan mampu mengimbas cap jari dengan tepat. Sebagai pilihan, terdapat juga sokongan sistem imbasan wajah yang mana dirasakan lebih sesuai dengan zaman kita sentiasa memakai pelitup muka.

Kemudian, tiada bicu audio 3.5mm yang disertakan dan kekurangan lebih ketara adalah pembesar suaranya sekadar mono sahaja. Adalah lebih baik Vivo menyertakan sokongan pembesar suara stereo pada peranti premium mereka. Secara tidak langsung ianya dapat memberikan lebih banyak faktor menarik untuk menjangkau lebih banyak pengguna. Kalau kita lihat sendiri sekarang ini sudah banyak pesaing yang mampu memberikan ciri berkenaan pada peranti yang mampu milik. Seterusnya, Vivo X70 juga menyokong slot dwi-SIM tanpa kebolehan kad microSD dan ia diletakkan pada bahagian bawah peranti.


Penggunaan Dan Perisian:

Vivo X70 Pro menggunakan antaramuka Funtouch OS 12 yang dibina berasaskan Android 11. Tidak dinafikan ramai yang mengharapkan agar Vivo menyertakan perisian OriginOS pada peranti ini. Ini disebabkan oleh OriginOS mempunyai paparan visual lebih baik berbanding sistem operasi FunTouchOS. Namun begitu, ia tidak berlaku kerana perisian berkenaan hanya terhad untuk peranti di pasaran China.

Bercakap lebih lanjut mengenai Funtouch OS 12 pula, ia membawakan reka bentuk antaramuka serba baharu. Kemudian, ia juga menawarkan ciri widget yang menarik dan berguna bagi menjadikannya lebih produktif dan mudah diakses. Melaluinya juga, terdapat pemain muzik nano yang membolehkan anda menukar beberapa aplikasi pemain muzik kegemaran dengan murah. Di samping itu, ia turut menawarkan ciri Always-On Display (AOD) dengan pilihan animasi yang bewarna-warni, mod tema gelap yang dipertingkatkan, kebolehan audio yang boleh dikostumasi mengikut umur dan sebagainya. Masih terdapat juga aplikasi gedut seperti Booking.com, Agoda, Bigo Live dan sebagainya. Tetapi, kesemuanya boleh dibuang sekiranya mahu.

Seterusnya, Vivo X70 Pro menggunakan cip MediaTek Dimensity 1200. Ia merupakan cip berteknologi 6nm dengan sokongan rangkaian 5G terbina. Melaluinya, lapan teras digunakan dengan konfigurasi 1+3+4. Melaluinya, ia terdiri dengan 1X Cortex A78 (3.0GHz), 3X Cortex-A78 (2.6GHz) dan 4X Cortex-A55 (2.0GHz). Kemudian, GPU yang digunakan pula adalah Mali-G77 MC9. Baiklah, ini adalah cip yang sama boleh ditemui pada Xiaomi 11T yang dilancarkan tempoh hari.

Unit ulasan kami dilengkapi memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB tanpa sebarang sokongan ruangan tambahan menerusi kad microSD. Sungguhpun begitu, peranti ini masih menyokong sistem penambahan memori secara maya sehingga 4GB RAM. Kesemua ini adalah konfigurasi yang sangat baik. Beberapa ujian penanda aras turut dijalankan dan catatan markah adalah seperti di bawah:

Sepanjang penggunaan, kami tidak mengalami sebarang masalah kecil mahupun besar. Prestasi tatalan adalah pantas dan lancar sahaja. Pertukaran aplikasi juga dapat dilakukan dengan mudah sekali sepanjang ulasan. Menyentuh sedikit mengenai permua pula, prestasi adalah baik secara umumnya. Mobile Legends: Bang Bang boleh dimainkan sehingga grafik tertinggi Ultra dengan sokongan HD dan HFR Mode yang boleh diaktifkan.

Kemudian, permua-permua lain seperti PUBG Mobile pula mempunyai tetapan asal grafik pada HD dan kadar bingkai High. Namun, ia masih boleh dimainkan dengan tetapan tertinggi kadar bingkai Extreme pada grafik Smooth. COD Mobile pula mempunyai tetapan asal grafik High dan kadar bingkai High. Tetapi turut boleh dimainkan mencapai kadar bingkai Max apabila dimainkan pada grafik tertinggi Very High.


Telefoni Dan GPS

Vivo X70 Pro mempunyai sokongan untuk 5G secara terbina. Sungguhpun begitu, kami tidak pula mengujinya kerana ia masih belum ditawarkan secara terbuka kepada pengguna oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi. Seterusnya, tiada isu untuk mendapatkan isyarat 4G yang stabil. Prestasi panggilan telefon juga amat memuaskan. Di mana, panggilan suara boleh didengari dengan jelas dan terang tanpa sebarang masalah panggilan yang terputus-putus. Kemampuan GPS juga adalah baik dengan kebolehan menjejak dan mengunci lokasi cukup baik. Sepanjang ulasan dibuat, kami juga langsung tidak menghadapi sebarang isu yang berkaitan kehilangan isyarat. Sebaliknya, kami mampu tiba di lokasi dengan jayanya tanpa sesat.


Keupayaan Kamera

Sistem kuad-kamera yang digunakan pada Vivo X70 Pro terdiri dengan tetapan 50-Megapixel (sudut-lebar) + 12-Megapixel (ultra-lebar) + 12-Megapixel (telefoto) + 8-Megapixel (periskop). Ini adalah suatu peningkatan ketara berbanding model terdahulu yang dibekalkan sensor utama 48-Megapixel. Sensor utama ini juga dibantu oleh sistem penstabilan imej optik (OIS) bagi membolehkan imej lebih baik dan terperinci diambil. Turut melengkapinya, kamera hadapan sebesar 32-Megapixel.

Buka sahaja aplikasi kamera, sebahagian antaramuka kelihatan sama dengan model terdahulu dan mesra pengguna. Dari segi fungsi pula, terdapat pelbagai mod penggambaran terbina yang disediakan. Antaranya ialah Night Mode, Potrait Mode, Live Photo, Panorama, Time-Lapse, AR Stickers, Super Moon, Pro Mode, Astro Mode danSports Mode. Proses pengambilan gambar makro adalah mudah pada peranti ini. Ini disebabkan oleh ia mampu diaktifkan secara automatik apabila peranti dihalakan pada subjek dengan jarak yang dekat. Hasilnya adalah memuaskan untuk kelasnya.

Seterusnya, terdapat juga pilihan sehingga empat mod potrait Zeiss seperti Distagon, Planar, Sonar dan Biotar. Kesemua mod ini menawarkan kesan latar belakang pada sesebuah gambar dengan gaya yang berbeza. Fungsi ini menarik tetapi harus diakui agak sukar untuk mendapatkan hasil gambar yang sempurna. Kami dapati penghasilan semula untuk warna tona kulit kelihatan berbeza dan puncat. Pada masa sama, edge detection juga tidak sempurna dan ia juga mengaburkan latar belakang yang salah untuk sesetengah situasi. Sejujurnya, kemampuan bokeh pada Vivo X60 pada hemat kami adalah lebih baik.

Sungguhpun begitu, kualiti gambar untuk kamera utama adalah baik. Imej kelihatan terang dan tajam dengan fokus yang baik. Pada masa sama, penghasilan semula warna juga cukup baik dalam pelbagai situasi. Sungguhpun begitu, lensa ultra-lebar pula menunjukkan hasil yang kurang konsisten. Kadang kala penghasilan semula imej adalah baik dan sebaliknya. Seterusnya, imej pada pencahayaan rendah pula memberi hasil gambar yang terang dengan kawalan hingar yang minima. Kebolehan zum pula adalah baik sehingga 5X sahaja. Kebolehan rakaman video pula sekadar baik-baik sahaja. Sistem penstabilan juga mampu berfungsi dengan baik.


Ketahanan Bateri

Vivo X70 Pro dibekalkan bateri sebesar 4,450mAh. Ialebih besar berbanding model terdahulu yang dibekalkan bateri 4,300mAh pada Vivo X60. Sementara itu, Vivo X60 Pro pula adalah 4,200mAh. Penambahbaikan lain adalah pada sokongan pengecasan yang kini lebih baik iaitu 44W FlashCharge berbanding 33W FlashCharge sebelum ini. Pengecasan semula untuk Vivo X70 Pro adalah sekitar 1 jam. Bacaan SOT pula adalah sekitar 7 jam lamanya bergantung pada penggunaan masing-masing.


Perbandingan Pesaing Peranti

Vivo X70 ProOnePlus Nord2Xiaomi 11T
6.56-inci AMOLED 120Hz, HDR10+, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~395 ppi) 6.43-inci Fluid AMOLED, FHD+, (1080 x 2400 piksel), 90Hz, HDR10+, FHD+ (~409ppi)6.67-inci AMOLED DotDisplay, FHD+ (1080 x 2400 piksel), 120Hz, HDR10+, FHD+ (~395 ppi)
MediaTek Dimensity 1200(6 nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-A78
3 x 2.6 GHz Cortex-A78
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
MediaTek Dimensity 1200(6 nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-A78
3 x 2.6 GHz Cortex-A78
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
MediaTek Dimensity 1200(6 nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-A78
3 x 2.6 GHz Cortex-A78
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Mali-G77 MC9Mali-G77 MC9Mali-G77 MC9
12GB RAM
256GB ROM
8GB / 12GB RAM
128GB / 256GB ROM
8GB RAM
128GB / 256GB ROM
Utama – 50 MP (f/1.8)
Periskop Telefoto – 8MP (f/2.2)
Telefoto -12MP (f2.0)
Ultra-lebar – 12MP (f/2.2), OIS
Utama – 50MP (f/1.9)
Sudut Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2)
Monokrom-2MP (f/2.4)
Utama – 108MP (f/1.8)
Sudut Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2)
Makro-5MP (f/2.4)
32MP (f/2.5) 32MP (f/2.2)16MP (f/2.5)
NFCNFCNFC
TiadaTiadaIP53
Audio Mono Audio Stereo Audio Stereo
4,450mAh
Pengecasan pantas 44W
4,500 mAh
Pengecasan pantas 65W
5,000mAh
Pengecasan Pantas Berwayar 67W
RM3,299 (12GB/256GB) RM 1,699 (8GB/128GB)
RM 2,299 (12GB/256GB)
RM 1,699 (8GB/128GB)
RM 1,899 (8GB/256GB)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Vivo x70 Pro dilihat hadir dengan beberapa penambahbaikan berbanding model terdahulu. Misalnya, sokongan kamera dan bateri yang lebih besar. Kemasan pula masih ditahap yang baik kerana Vivo sememangnya bijak dalam memilih bahan binaan untuk setiap koleksi peranti mereka. Tambahan pula, Vivo X70 Pro adalah peranti premium sudah semestinya mereka lebih teliti terhadap setiap apa yang cuba dipersembahkan. Kemasannya boleh dikatakan beradi di tahap A+. Begitu juga dengan prestasi yang tidak kurang hebatnya. Pengalaman penggunaan adalah lancar sepanjang ulasan ini. Seterusnya, mod untuk potret Zeiss juga kini lebih pelbagai dengan sehingga empat pilihan yang tersedia.

Tetapi pada hemat kami adalah sukar untuk mendapatkan hasil yang sempurna. Kami lebih menyukai hasil daripada kamera model yang terdahulu. Seperkara lagi yang masih belum ditambahbaik oleh Vivo adalah sokongan pembesar suara mono. Bukanlah mahu katakan prestasinya di tahap yang kurang baik langsung, masih okay. Cuma rasanya adalah lebih baik sekiranya pembesar suara stereo digunakan. Begitu juga dengan sokongan bicu audio 3.5mm. Mungkin bagi sesetengah pihak ia bukanlah suatu hal yang besar tetapi ketiadaannya menjadikan pengguna akan terhad dengan aksesori audio USB-C atau TWS sahaja.

Bagi yang berminat, Vivo X70 Pro dijual pada harga RM3,299. Sekiranya anda mahukan versi yang lebih murah, Vivo X70 boleh dimiliki pada harga RM2,499. Seperti yang dikatakan, kedua-duanya berkongsi sejumlah spesifikasi yang sama. Beza ketara hanya terletak pada sokongan kamera utama dan kapasiti bateri.


Pro

  • Rekaan yang baik, nipis dan premium.
  • Skrin adalah terang dan cantik.
  • Kadar segar semula 120Hz yang pantas & lancar.
  • Prestasi lancar, tiada masalah memanas teruk.
  • Kemampuan kamera memuaskan dalam kebanyakan situasi.
  • Video stabil dan boleh memberi kesan sinematik menarik.

Kontra

  • Pilihan mod potret Zeiss adalah menarik tetapi agak sukar dapatkan hasil yang sempurna.
  • Pembesar suara mono sekadar baik-baik sahaja.
  • Tiada bicu audio 3.5mm.
Komen