ASUS Republic of Gamer ialah jenama yang cukup dikenali oleh peminat permainan video yang serius. Rekaan agresif dipadankan dengan spesifikasi tahap kayangan bagi memberikan prestasi tertinggi ketika memainkan permainan video terkini. Hari ini rekaan ASUS ROG Flow Z13 telah ditiriskan oleh @evleaks dengan bentuk seakan sebuah Microsoft Surface.

Komputer tablet untuk gaming ini mempunyai papan kekunci yang disambungkan seperti sebuah Surface. Ia turut mempunyai tongkat pada bahagian belakang bagi membolehkan didirikan. Kerana produk ROG memang khusus untuk gaming, terdapat kemungkinan Flow Z13 boleh disambungkan kepada eGPU ROG XG yang ditawarkan untuk ROG Flow X13 yang dilancarkan awal tahun ini.
Kami tidak tahu sama ada terdapat pasaran untuk komputer tablet dengan kemampuan gaming yang tinggi. Tetapi sekiranya ia komputer yang memenuhi keperluan anda, nantikan pelancaran ASUS ROG Flow Z13 kelak.