Cari @ Amanz

Perkhidmatan internet menggunakan satelit bukanlah teknologi baharu dengan CONNECTme Now oleh MEASAT menawarkannya di Malaysia. Tetapi perkhidmatan yang lebih dikenali ramai mungkin ialah StarLink oleh SpaceX kerana giat dipromosikan oleh Elon Musk. Amazon tidak mahu ketinggalan dan mengumumkan Project Kuiper.

Project Kuiper akan melancarkan dua satelit ujian KuiperSat-1 dan KuiperSat-2 ke orbit bumi rendah bagi menguji sistem telekomunikasi serta teknologi rangkaian yang akan digunakan pada satelit sebenar. Selain itu sistem parabola, kuasa dan tujahan juga akan diuji.

Impak satelit KuiperSat terhadap pencemaran cahaya juga turut akan dilakukan. Selepas StarLink dilancarkan, ahli astronomi merungut rangkaian satelit Starlink mencemarkan pandangan sehingga mengakibatkan bintang tertentu terhalang. Kemudian selepas usia ujian, KuiperSat akan memasuki semula atmosfera bumi untuk mengurangkan serpihan angkasa lepas yang mengorbit bumi.

Apabila beroperasi sepenuhnya kelak, Project Kuiper akan menawarkan perkhidmatan Internet pada kelajuan 400 Mbps dengan masa pendam yang rendah. Ini adalah lebih pantas berbanding 150 Mbps yang ditawarkan Starlink. Penduduk kawasan pedalaman yang selama ini tercicir kerana halangan infrastruktur akan dapat menikmati perkhidmatan Internet yang pantas. Sebanyak 3236 satelit dan 98 pesawat akan digunakan oleh Project Kuiper bagi menjayakan sistem mereka kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd