Google Pixel 6 telah dilancarkan secara rasmi sekitar bulan Oktober yang lalu. Ia merupakan peranti mercu premium Google yang dibekalkan dengan cip tersendiri dan rekaan serba baharu. Terdapat dua model berbeza yang telah diumumkan iaitu Google Pixel 6 dan Google Pixel 6 Pro.
Baru-baru ini, Dxomark telah menerbitkan laporan terkini untuk keupayaan kamera utama pada Google Pixel 6 Pro. Secara keseluruhannya Google Pixel 6 Pro menerima markah sebanyak 135 mata yang meletakkannya di tangga ketujuh peranti dengan kemampuan kamera terbaik.
Ia dilihat berada enam tangga di belakang Huawei P50 Pro yang merupakan juara bertahan setakat ini. Pada masa sama, iPhone 13 Pro Max juga berjaya mendahului peranti pintar ini memandangkan ia berada di tangga keempat terbaik setakat ini.
Pecahan kutipan markah untuk Google Pixel 6 Pro adalah 143 mata untuk keupayaan fotografi, 71 mata untuk keupayaan zum dan 115 mata pula untuk keupayaan video. Secara umumnya, ia adalah peranti pintar dengan keupayaan kamera yang memuaskan – baik dari segi penghasilan foto mahupun video.
Melaluinya, pujian diberikan pada kemampuan kamera menghasilkan kualiti imej dan video dengan butiran yang baik pada kebanyakan situasi – terutamanya pada pencahayaan yang cukup. Seterusnya, penghasilan semula warna juga adalah tepat, sistem autofokus yang pantas serta tepat, butiran yang baik untuk hasil gambar telefoto dan penstabilan video juga berfungsi dengan baik.
Kritikan pula diberikan pada kesan bokeh yang tidak tepat seperti yang dipaparkan pada pratonton imej. Seterusnya, masalah hingar ketara dalam imej pada pencahayaan rendah, kamera ultra-lebar sekadar biasa sahaja dan penstabilan video yang kurang efektif untuk rakaman pencahayaan rendah.