Google Pixel 6 dan Pixel 6 Pro dilancarkan secara rasmi pagi tadi selepas sudah lama rekaan serta spesifikasinya tertiris ke arena web. Walaupun tiada lagi kejutan dari Google, kami yakin ramai pembaca Amanz ingin mengetahui apakah yang menarik serta tidak menarik pada telefon pintar mercu Google tahun ini.
Baguskah untuk dibeli walaupun terpaksa diimport masuk dari Negara Selatan? Adakah penawaran tahun ini lebih baik jika dibandingkan apa yang ditawarkan oleh Apple, Samsung, Xiaomi, Oppo, Vivo dan banyak lagi pengeluar lain? Tanpa berlengah masa ini 10 perkara menarik dan mengecewakan pada Google Pixel 6 dan Pixel 6 Pro.
1.Menarik – Rekaan Yang Unik
Di pasaran sekarang banyak peranti yang rupa pelanduk dua serupa. Rekaan kamera yang hampir sama sehingga boleh dikatakan agak membosankan. Tahniah diucapkan kepada Google kerana berani menggunakan rekaan yang lain dari yang lain. Pixel 6 dan Pixel 6 Pro kelihatan seperti sebuah Nexus 6P dengan tubuh lebih berkotak, bonggol lebih besar tetapi dengan multi warna yang sekali lagi tidak dilakukan oleh pengeluar lain.
Memang bonggol kamera Pixel 6 dan Pixel 6 Pro adalah besar serta lebih memanjang. Tetapi ia sekurang-kurangnya rata dengan bingkai logam untuk mengelakkan panel kaca dari retak (isu yang menghantui Nexus 6P). Peranti tidak terjungkit seperti permainan taman kanak-kanak yang kini menjadi pandemik pada kesemua pengeluar telefon pintar yang lain. Bahagian dahi belakang juga mempunyai warna yang berbeza dari warna tubuh. Ini memberikannya rekaan yang mirip dengan lukisan Piet Mondrian. Pixel 6 dan Pixel 6 Pro secara automatik menjadi rekaan klasik moden.
2. Menarik – Google Tensor Dengan Titan M2
Selamat datang ke arena menghasilkan cip sendiri kepada Google. Dengan Google Tensor, mereka akhirnya mengikuti jejak Apple dan Samsung menghasilkan cip yang memenuhi keperluan mereka sendiri. Walaupun spesifikasi lengkap Google Tensor masih lagi Misteri Nusantara, kita kini mengetahui ia dilengkapi lapan teras. Dua teras Cortex X1 yang berkuasa, dia teras Cortex A76 dan empat teras Cortex A55.
Konfigurasi teras CPU yang digunakan Tensor adalah aneh kerana mempunyai dua Cortex X1 yang berkuasa berbanding satu sahaja pada Snapdragon 888. Tetapi dipadankan dengan dua teras Cortex A76 yang berusia berbanding tiga Cortex A78 pada Snapdragon 888.
Masih tiada markah penanda aras rasmi setakat ini untuk menilai sama ada Tensor boleh menandingi Snapdragon 888 atau Apple A15 Bionic. Namun begitu Google tidak mementingkan kuasa memproses tetapi lebih menumpukan kepada kecerdasan buatan dalam cip serta kemampuan fotografi. Kemudian cip Titan M2 turut digunakan untuk memastikan keselamatan peranti yang lebih baik berbanding generasi terdahulu. Hanya ulasan penuh akan membuktikan sama ada perjudian Google ini akan berjaya ataupun sebaliknya.
3. Kecewa – Tidak Semua Skrin 120Hz
Hanya Pixel 6 Pro dilengkapi skrin 120Hz adaptif manakala Pixel 6 hanya dilengkapi skrin 90Hz yang tidak adaptif. Satu lagi pilihan aneh oleh Google tahun ini kerana meminjam strategi Apple dengan hanya model Pro mempunyai skrin yang mempunyai kadar segar semula yang tinggi. Tiadanya sokongan adaptif pada Pixel 6 akan membuatkan penggunaan bateri lebih tinggi. Entah mengapa teknologi yang berusia masih digunakan Google pada peranti baharu.
4. Menarik – Android 12 Dengan Material You
Pixel 6 dan 6 Pro ialah dua peranti pertama dilancarkan dengan Android 12 tahun ini dengan Pixel 3 dan ke atas turut menerimanya awal pagi tadi. Tetapi untuk pengalaman terbaik Android 12, dua peranti ini adalah yang terbaik pada waktu ini. Dengan Android 12, Google mengubah sekali lagi “wajah” Android yang sudah menggunakan Material Design sejak 7 tahun yang lalu.
Rekaan Material You mengambil alih dengan tumpuan diberikan kepada kustomasi elemen-elemen antaramuka peranti. Ikon, tema warna, tona warna dan rekaan ikon berubah secara automatik selepas menganalisa imej latar belakang yang digunakan pemilik Android 12 pada peranti Pixel. Tiada lagi keperluan memuat turun pek ikon dan bertarung dengan tema warna yang aneh. Material You melakukannya bagi pihak pengguna.
Android 12 juga membawakan sistem keselamatan baharu Security Hub, Privacy Dashboard dan kawalan mengaktifkan kamera serta mikrofon pada peringkat sistem. Sekaligus memastikan data peribadi kekal peribadi dan tidak dikongsi tanpa disedari oleh pemilik peranti.
5. Menarik/Kecewa – Sokongan Sekuriti Sehingga 5 Tahun
Sokongan tampalan sekuriti akan diberikan selama lima tahun untuk Pixel 6 dan Pixel 6 Pro. Perkembangan yang baik kerana selama ini ia hanya ditawarkan selama empat tahun. Dalam dunia yang semakin berlonggok sampak elektronik, menambah sokongan selama setahun sahaja lagi akan membuatkan pengguna tidak membersarakan peranti awal disamping memastikan peranti selamat digunakan. Tahniah Google.
Tetapi sokongan yang diberikan oleh Google ini masih mengecewakan kerana ia bukan sokongan kemas kini sistem operasi selama lima tahun seperti ura-ura sebelum ini. Sistem operasi masih akan hanya diberikan sebanyak tiga versi sahaja. Sekali lagi meletakkan Android di belakang iOS yang menyokong peranti sehingga lima versi sistem operasi.
Malahan Apple kini masih memberikan sokongan tampalan sekuriti walaupun pada pengguna yang tidak menaik taraf ke versi iOS terkini. Banyak peranti lama masih boleh digunakan kerana tampalan sekuriti diberikan melangkaui lima tahun. Takziah Google anda masih berdiri dalam bayang-bayang Apple dalam hal ini.
6. Menarik – Kamera Akhirnya Dipertingkatkan Dengan Zum Periskop
Setelah bertahun enggan menggunakan sensor besar dan tri-kamera, Google akur dengan permintaan pasaran dan menggunakannya pada Pixel 6 Pro. Pada Pixel 6 pula, sensor utama yang lebih besar digunakan bagi menangkap lebih banyak cahaya. Ini semua adalah inovasi yang telah digunakan pengeluar peranti Android yang lain sejak tiga tahun yang lalu cuma hanya sekarang digunakan Google.
Perisian fotografi pengkomputeran Google Pixel yang terbaik di pasaran kini dipadankan dengan perkakasan yang lebih cocok dengan tahun 2021. Dengan sistem zum periskop, Pixel 6 Pro boleh melakukan zum optikal sehingga 4X dan hibrid sehingga 20X. Masih tidak setinggi yang ditawarkan Samsung dan Xiaomi kerana Googl mementingkan kualiti gambar daripada zum yang melampau. Perkembangan baik yang sudah dua tahun ditunggu akhirnya menjadi realiti.
7. Menarik – Magic Eraser, Real Tone, Motion Mode dan Face Unblur
Kamera yang padu tidak berguna tanpa perisian yang juga mantap. Tahun ini Google Pixel hadir dengan empat ciri pada aplikasi kamera yang cukup berguna. Magic Eraser memadam orang, objek atau elemen yang tidak dikehendaki dari gambar. Ia boleh dilakukan terus dari viewfinder dengan aplikasi memberikan saranan objek yang elok dipadam. Ada gambar lama dengan bekas kekasih? Kini wajah mereka boleh dipadam dari gambar-gambar lama sama seperti Josef Stalin menggunakan KGB memadam bukti fotografi kewujudan bekas anggota tentera yang telah dihantar ke gulang.
Motion Mode menghasilkan ilusi pergerakan air, kenderaan atau roda Ferris di latar belakang secara automatik untuk gambar yang kelihatan lebih dinamik. Face Unblur menerangkan gambar wajah yang kabur kerana pergerakan yang pantas. Akhir sekali Real Tone akan memaparkan warna kulit yang tepat bagi insan-insan yang tidak berkulit putih seperti orang Asia. Akhirnya keadilan setelah sekian lama gambar kita yang diambil tidak menunjukkan realiti sebenar.
8.Menarik – Bateri Lebih Besar Pengecasan Lebih Pantas
Apa guna cip berkuasa jika bateri tidak tahan lama? Pixel 6 dan Pixel 6 Pro dilengkapi bateri yang lebih berbanding peranti mercu Pixel 4 XL sebelum ini. Rungutan utama pengguna Pixel 4 ialah bateri yang terlalu kecil dipadankan dengan SOC berkuasa mengakibatkan SOT bawah 5 jam adalah konsisten pada penggunaan yang berat. Bateri pada Pixel 6 Pro sebesar 5003 mAh adalah terbesar dalam sejarah Google dan Pixel 6 pula dengan 4614 mAh dengan mudah memintas bateri 3700 mAh pada Pixel 4 XL. Bateri kemudiannya boleh dicas semula secara berwayar dengan kuasa 30W dan nirwayar dengan kuasa 23W juga lebih pantas berbanding hanya 18W pada Pixel terdahulu.
9. Kecewa – Masih Ada Ciri Yang Terhalang
Hello assalamualaikum! Saya Effi Saharudin dan kembali kita dalam segmen ciri-ciri Pixel yang tidak boleh dinikmati sekiranya anda tidak duduk di negara-negara terpilih. Masihkah anda ingat dengan kontroversi Motion Sensri Soli pada Pixel 4 yang boleh digunakan di Singapura tetapi dinyahaktifkan sejurus selepas melintas Tambak Johor? Itu adalah antara kontroversi awal peranti Pixel yang digunakan di luar pasaran rasmi Google. Kemudian ciri Call Screen berteknologi Google Duplex pula hanya boleh digunakan di Amerika Syarikat.
Kontroversi ini diteruskan lagi dengan Wait Times dan Direct My Call yang hanya boleh digunakan pengguna di Amerika Syarikat sahaja. Pengguna Pixel di luar pasaran rasmi harus akur dengan realiti bahawa mereka seakan pengguna kelas ketiga. Ciri-ciri paling menarik hanya boleh dinikmati pada peranti Pixel masih tidak boleh mereka gunakan walaupun membayar harga yang lebih mahal.
10. Kecewa – Di Malaysia Pixel Masih Belum Ditawarkan Secara Rasmi
Jika pada iPhone 13 saya kecewa dengan Apple berkeras menggunakan port Lightning, pada Pixel saban tahun ialah kekecewaan ia tidak dijual secara rasmi oleh Google. Peranti boleh dibeli dari negara jiran pada harga yang lebih mahal jika dibandingkan di Amerika Syarikat. Google tahu terdapat banyak peminat Pixel di Malaysia tetapi ia masih belum mencukupi untuk memberikan sokongan seperti di Singapura.
Sekiranya berlaku kerosakan, pengguna di Malaysia perlu menghantar peranti ke Singapura. Oleh sebab itulah pengguna Pixel di Malaysia boleh dikategorikan sebagai fanatik tegar kerana sanggup membayar lebih kemudian berhadapan dengan proses mendapat alat ganti yang lama.
Adakah 10 perkara menarik dan mengecewakan ini mengubah minat anda untuk miliki Pixel 6 dan Pixel 6 Pro? Kongsi pendapat anda di ruangan komen.