Cari @ Amanz

Pelanggan Astro Kini Boleh Menstrim Kandungan Netflix Menerusi Ultra Box

Link Copied!

Seperti yang dijanjikan oleh mereka pada pertengahan tahun yang lalu, pelanggan Astro akan dapat menstrim kandungan Netflix terus menerusi kotak TV Ultra Box mereka bermula hari ini. Pelanggan hanya perlu melakukan kemas kini sistem operasi dan sebuah hab baharu untuk aplikasi penstriman ini akan muncul di Ultra Box. Bagi pelanggan yang telah membeli alat kawalan jauh baharu dengan butang Netflix terbina, anda boleh terus ke aplikasi dengan butang yang disediakan.

Kemudiannya perkhidmatan penstriman lain seperti Disney+ Hotstar, HBO GO, iQIYI, dan TVBAnywhere juga boleh diakses menerusi Ultra Box. Disney+ Hotstar disahkan akan tiba sebelum penghujung 2021 dengan aplikasi lain menyusul. Dengan ini pelanggan tidak perlu memuat turun aplikasi ke televisyen pintar mereka tetapi sebaliknya boleh menikmatinya terus dari kotak TV Ultra Box. Menarik sekali Astro mengatakan sekiranya anda sudahpun melanggan kepada kesemua perkhidmatan di atas secara berasingan, anda masih boleh menggunakan aplikasi tanpa langganan menerusi Astro.

Pada waktu ini ciri menarik ini hanya diberikan kepada pelanggan Ultra Box dengan Astro akan turut memberikannya kepada pelanggan kotak TV Ulti Box dalam masa terdekat. Selari dengan pelancaran ciri terkini ini, Astro turut menawarkan pek baharu mereka iaitu‘Primary’, ‘Entertainment’, ‘Sports’, ‘Movies’, ‘Entertainment Plus’, ‘Premium 1, 2, 3’ dan ‘Platinum’ dengan pilihan langganan tanpa kontrak, 12 bulan atau 24 bulan. Pakej-pakej ditawarkan pada harga bermula RM2 sehari.

Untuk Pek ‘Entertainment Plus’, ‘Premium 2, 3’ dan ‘Platinum’, ia akan disertakan bersama Netflix, dan sajian kandungan dari Korea serta rancangan-rancangan Seram, serta variasi hiburan seperti HGTV HD, Cartoon Network HD dan program-program terhebat Asia. Turut ditawarkan ialah berkas Astro + Broadband bersama pek ‘Entertainment Plus’ dengan pelanggan menikmati langganan Netflix selama 3 bulan tanpa bayaran tambahan.

Pengalaman baharu ini ini direka khas untuk menggalakkan pelanggan strim program-program kegemaran masing-masing di satu platform utama dan semuanya ini dalam satu bil sahaja. Untuk maklumat lebih lanjut serta terma dan syarat sila layari laman www.astro.com.my.


Komen ()