Cari @ Amanz

Peranti-peranti pintar di pasaran sekarang mempunyai pelbagai ciri ketercapaian bagi membolehkan golongan OKU menggunakannya tanpa masalah. Google sejak beberapa tahun yang lalu mula mengumumkan aplikasi Live Transcribe untuk OKU pendengaran dan Project Euphonia untuk memudahkan orang ramai memahami apa yang cuba diucapkan oleh OKU dengan masalah pertuturan.

Mereka kini mengumumkan pula Project Relate untuk memudahkan lagi OKU dengan masalah pertuturan difahami oleh orang sekeliling. Aplikasi mempunyai tiga fungsi utama iaitu Listen, Replay dan Assistant. Dengan Listen, aplikasi akan mendengar apa yang diucapkan dan kemudian mengubah audio kepada teks. Ini boleh ditunjukkan kepada orang atau disalin untuk menghantar mesej teks.

Replay pula menyebut apa yang diucapkan ole pengguna aplikasi dalam audio yang lebih difahami. Akhir sekali Assistant melancarkan Google Asssitant kerana pembantu maya Google selama ini sukar memahami OKU dengan masalah pertuturan apabila cuba digunakan.

Project Relate menggunakan pembelajaran mesin dan kecerdasan pintar untuk memahami apa yang cuba diucapkan oleh pengguna kepada audio yang lebih mudah difahami orang ramai. Google kini mencari sukarelawan untuk menguji Project Relate di dunia sebenar bagi melatih kecerdasan buatan supaya transkripsi yang lebih tepat dapat dilakukan. Jika berminat sila pergi ke pautan Project Relate ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd