Cari @ Amanz

SpinLaunch Menggunakan Sistem Seakan Melontar Tukul Besi Untuk Melancarkan Satelit Ke Orbit

Link Copied!

Kesemua sistem melancarkan satelit sekarang memerlukan roket untuk meletakkannya di orbit yang ditetapkan. Bezanya hanyalah dari mana roket dilancarkan sahaja. SpaceX melancarkannya dari permukaan bumi dan Virgin Orbit melancarkannya dari sayap Boeing 747 yang diubahsuai. SpinLaunch ialah sebuah syarikat tunas rintis yang ingin melancarkan satelit menggunakan sistem seakan melontar tukul besar tanpa sebarang roket.

Satelit dengan berat sehingga 200 kilogram akan diputarkan sehingga mencapai kelajuan 8,047 kmj di dalam kebuk hampagas berbentuk cakera. Apabila mencapai tenaga kinetik yang mencukupi, satelit di dalam kapsul berbentuk peluru akan dilepaskan dari cengkaman lengan pemutar dan ia akan terbang ke orbit yang telah ditetapkan.

Dalam ujian yang dilakukan penghujung Oktober lalu, objek berjaya dilontar ke ketinggian sub-orbit menggunakan sistem ujian mempunyai ketinggian seperti Status of Liberty. Sekiranya semua berjalan lancar, sistem L100 Orbital Mass Accelerator dengan jejari lengan melontar lebih panjang akan melontar satelit milik pelanggan ke angkasa menjelang 2024. Sistem ini menurut SpinLaunch bukan sahaja sehingga 10 kali ganda lebih murah berbanding sistem pelancaran roket tetapi juga lebih mesra alam kerana tidak ada bahan api dibakar.


Komen ()